Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, January 14, 2017

Adakah cadangan Zaid ini patut?

Dr Mahathir patut bertanding PRU14, kata Zaid
Posted on Friday, January 13 @ 17:28:20 MYT by paktam
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi meningkatkan peluang pembangkang untuk menang, kata Datuk Zaid Ibrahim. 

Bekas menteri undang-undang itu berkata memandangkan pembangkang akan berdepan dengan gergasi iaitu Barisan Nasional (BN), kemenangan atau kekalahan pembangkang mungkin hanya dengan 1 kerusi.

“Beliau (Dr Mahathir) patut bertanding. Kerana ia mungkin 1 kerusi itu yang amat kita perlukan. Bayangkan jika kita kalah hanya dengan 1 kerusi.

“Kemudian kita akan kata ‘kalaulah Tun bertanding, tentu dah menang’. Kerana kita bukannya berada pada kedudukan selesa di mana kita boleh menang dengan majoriti 20 kerusi.

“Kita di kedudukan 50-50. Dan Mahathir boleh menang di mana-mana,” katanya kepada FMT.

Dr Mahathir yang kembali ke arena politik tahun lalu dengan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk “menyelamatkan” negara daripada BN yang dikatakan menyalahgunakan pengurusan negara, akan mencecah usia 92 ketika PRU14 diadakan kelak.

Perdana menteri paling lama berkhidmat itu sering berkata umurnya menjadi sebab beliau tidak mahu menyertai PRU, kecuali hanya berkempen untuk calon yang diletakkan oleh pembangkang.

Bagaimanapun, Zaid berkata bekas perdana menteri itu masih sihat berbanding umurnya, dan berkata populariti Dr Mahathir masih utuh.

“Beliau lebih muda daripada saya (secara fizikal). Bila saya berjalan dengannya, beliau selalu lebih cepat, dan umur saya 65. Beliau sihat orangnya. Jadi jangan risau dengan umurnya.

“Tidak mengapa jika beliau 92 tahun dan masih jadi ahli Parlimen,” katanya.

Zaid berkata dengan Dr Mahathir bertanding, PPBM akan menjadi aset kepada pembangkang, “terutama sekali dengan penerimaan ahli Umno kepada parti itu yang agak baik”.

Sementara itu, Zaid juga berharap bekas pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zain akan menyertai politik.

Katanya, ia boleh menggalakkan lebih ramai pengundi menyokong usaha pembangkang untuk membawa perubahan kepada negara.

“Saya tidak tahu sama ada dia akan menyertai politik atau tidak, tetapi saya harap dia akan. Kerana politik ialah cara untuk kita mengubah sesuatu.

“Ada yang kata politik ini kotor. Tetapi kalau kita tak masuk, orang lain yang lebih kotor akan masuk dan kita akan ada lebih banyak masalah. Jadi, lebih baik jika dia masuk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa