Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, January 2, 2017

Dasar Islamisasi di Kelantan sudah berjaya, tetapi Pas semakin lemas

Posted by admin Date: December 29, 2016
Sebelum saya menulis pandangan saya berkenaan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam kancah politik nasional, adalah lebih baik saya menjelaskan beberapa perkara. Pertama sekali, saya harus mengakui berinteraksi dengan kebanyakan pengikut PAS tidak mudah.

Tahap fanatisisme kebanyakan mereka sering menjadi tembok yang besar kepada orang luar dan dalam parti untuk memberi kritik/saran untuk kebaikan parti itu.

Mereka yang mengkritik parti itu sering diberikan pelbagai gelaran seperti melawan ulama, jebon (James Bond) atau tidak sayangkan Islam, sesuatu yang tidak patut berlaku kerana mana-mana parti yang tidak terbuka dengan kritikan akan cenderung menjadi lesu.

Perlu difahami bahawa PAS bukanlah agama, walaupun agama Islam merupakan agenda utama parti PAS; sifir PAS adalah Islam dan Islam adalah PAS tidak boleh digunakan di negara ini atau di mana-mana negara sekalipun. Islam adalah agama yang sempurna manakala parti politik cenderung untuk memiliki kelemahan dan kecacatan.

Apabila kita bersetuju dengan perkara ini, maka bolehlah kita memaknakan semula istilah “buat kerja Islam”, kerana istilah ini tidak eksklusif kepada PAS sahaja, tetapi kepada semua jemaah Islam yang berada di Malaysia.

Kelak apabila kita mendengar istilah ini, maka perlu difahami ia bukan sahaja merujuk kumpulan yang menjadikan politik sebagai wadah perjuangan, tapi kepada semua kumpulan yang membawa agenda memperkasakan Islam.

Saya percaya jika konsep asas ini boleh diterima, maka kesederhanaan dalam mengikuti sesuatu jemaah itu akan tercapai. Konsep kesederhanaan penting untuk mengelakkan ekstremisme dalam berpolitik.

Ada masanya kita akan mempertahankan pendirian politik kita jika diganggu-gugat dan ada masanya kita akan memberikan kritik/saran untuk kelangsungan hidup parti yang kita ikuti.

PAS Pasca Pakatan Rakyat

Apabila Pakatan Rakyat terkubur, antara teka-teki utama yang bermain di minda pemerhati politik “adakah PAS akan bergerak sendiri selepas ini?”. Sehingga saya menulis artikel ini PAS masih lagi belum ada sekutu politik yang baharu tapi saya melihat kebanyakan orang PAS semakin mesra terhadap Umno.

Saya cukup kecewa apabila pimpinan parti itu enggan memberi galakan kepada ahli parti untuk turun ke tunjuk perasaan Bersih baru-baru ini, satu himpunan yang menuntut agar pilihanraya yang lebih bersih diwujudkan. Tindakan ini mendapat pujian daripada perdana menteri kita.

Hegemoni perkauman dan agama menjadi perangkap utama yang dipasang untuk memikat PAS dalam jalinan kemesraan ini, keterlibatan DAP dan Amanah dalam blok pembangkang memudahkan lagi strategi ini.

Pihak yang mahu bermesra dengan PAS hanya perlu menjadikan isu DAP yang daripada dulu dikatakan ingin menjatuhkan orang Melayu dan menentang Islam sebagai modal utama untuk PAS menolak blok itu, tambah-tambah lagi PAS daripada dulu memang jarang senada dengan DAP.

Saya merasakan PAS lebih sanggup untuk bekerjasama dengan Umno berbanding DAP dan Amanah. Sekiranya PAS ingin ‘menangguhkan’ kemenangan pilihan raya umum sekali lagi, maka kita mungkin akan melihat parti ini akan bergerak secara bersendirian.

Kelantan Dalam Bahaya

Saya merasakan PAS perlu melakukan sesuatu yang drastik jika masih mahu mentadbir Kelantan selepas PRU-14. Pemergian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Haron Din, penubuhan Amanah, isu pembalakan dan pembubaran Pakatan Rakyat merupakan faktor-faktor yang menyebabkan PAS boleh hilang negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Sepanjang saya belajar di Kelantan, saya beberapa kali berbual dengan rakyat Kelantan berkenaan kerajaan sepertimana yang mereka mahukan. Kebanyakan berpandangan mereka mahukan kerajaan yang memperjuangkan Islam dan membela kebajikan rakyat.

Dasar Islamisasi di Kelantan bagi saya sudah berjaya, tapi PAS tidak boleh bergantung dengan modal itu semata-mata. Kerajaan Kelantan perlu datang dengan bukti empirikal berkenaan pencapaian daripada aspek ekonomi dan kebajikan rakyat.

Musuh politik PAS juga pasti akan menggunakan taktik “pemimpin Islam” ini, pastinya calon-calon yang dipasang nanti akan mempunyai keperibadian Islam untuk menandingi calon-calon daripada PAS.

Jika PAS berhasrat ingin menggunakan modal rang undang-undang 355, maka dengan mudah Umno akan berkata kami juga menyokong undang-undang tersebut dengan memberi ruang Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentangkan usul itu di Dewan Rakyat.

PAS perlu ingat, mereka pernah kehilangan negeri di Terengganu dan Kedah, dan faktor utama kekalahan mereka kerana kurangnya pencapaian yang jelas, disamping pelbagai faktor luaran seperti penipuan dan media.

Cadangan Kepada PAS

Pada pandangan peribadi saya, PAS masih merupakan antara parti yang terkuat dan atas sebab itulah ramai yang mahu bermesra dengan parti ini. Namun, PAS harus bijak dalam menangani pelawaan yang mereka terima agar tidak ditunggangi oleh mana-mana parti, lebih-lebih lagi parti yang nazak.

PAS juga perlu memperkemaskan bahagian penerangan agar mampu untuk membalas semula tohmahan dan kritikan kerana saya melihat ini merupakan kelemahan utama mereka. Terlalu sedikit tokoh yang boleh menjawab tuduhan/soalan dengan bijak dan berhemah.

Sayap parti seperti Gamis (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia), Nisa’ (puteri PAS) dan Unit Amal (Jabatan Amal Malaysia Pemuda PAS) perlu memainkan peranan semaksima yang boleh. Bercakap tentang Gamis, mereka baharu sahaja menerima Presiden yang baharu, selaku aktivis mahasiswa saya berharap agar Gamis kembali rancak dalam dunia aktivime sekaligus menyediakan tapak asas yang kuat untuk PAS.

PAS perlu mencari penyelesaian dan taktik terbaik menghadapi PRU-14 jika mereka masih mahu kelihatan gagah dalam kancah politik nasional.
Antara taktik yang saya lihat mungkin akan berlaku adalah kerjasama politik antara PAS-Umno; jika PAS pernah bertahaluf siyasi dengan DAP, maka kerjasama dengan Umno pasti tidak mengundang rasa marah kebanyakan penyokong PAS.

Kedua-dua parti ini saling memerlukan, Umno yang sekarang dikaitkan dengan pelbagai isu dan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedikit sebanyak akan merisaukan mereka, demikianlah juga drama PAS dan Amanah.

Jika PAS ingin bergerak sendiri, maka pendirian mereka harus jelas dan wajar mengelakkan bermesra-mesra dengan blok pembangkang dan kerajaan, biarlah menjadi kuasa ketiga yang berimpak dan berpendirian tegas.

■ Komentar bebas Rahman Imuda, seorang aktivis mahasiswa dan artikel ini pernah disiar oleh FMT | 30 Disember 2016.

2 comments:

  1. Kah Kah Kah...... Dengki letew! Sbb PAS lebih dihati Rakyat berbanding pakatan haprak.... Kah Kah Kah

    ReplyDelete
  2. Islamisasi berjaya??, kot celoh mano Awe...apo indikatornyo..maksiat hok makin tinggi, penagih dadoh bettamboh, peluang kerjo takdok, ale skitar punoh,prasarana tak cukup, ..kejayaan ko itu...mmano dio ni ngaji...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa