Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, January 11, 2017

Tertangkap: Cubaan dua lelaki menculik seorang wanita untuk lunas hutang 'ah long' - Video inside

Culik wanita untuk lunas hutang 'ah long'
11 JANUARI 2017
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Dr Abdul Aziz Awang Darus (kiri) menunjukkan senjata tajam iaitu sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh dua suspek yang cuba menculik seorang wanita merupakan pengurus kilang langsir di Sierramas semalam. - Foto Bernama

SUNGAI BULOH - Cubaan dua lelaki menculik seorang wanita untuk mendapatkan wang tebusan bagi melangsaikan hutang 'ah long' membawa padah apabila mereka ditahan polis di Batu 15, Sungai Pelong di Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, mangsa berusia 28 tahun itu yang merupakan pengurus kilang langsir di Sierramas diculik di hadapan sebuah sekolah antarabangsa di Sierramas ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.  

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata mangsa yang sedang memandu kereta jenis BMW bersama pembantu rumahya secara tiba-tiba ditahan oleh dua lelaki yang menaiki sebuah van putih yang sebelum itu mengekori mereka.  

"Selepas suspek merentap mangsa, pembantu rumahnya ditinggalkan bersendirian dalam kereta mangsa dan suspek segera membawa mangsa menghala ke Jalan Kuala Selangor.

"Orang awam yang melihat kejadian itu mengejar van putih berkenaan. Mangsa kemudiannya ditinggalkan di selekoh sebuah pasaraya di Sungai Buloh," kata Abdul Aziz sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini.

Abdul Aziz berkata selepas meninggalkan mangsa yang hanya mengalami kecederaan ringan di dahi dan lengan, van suspek terus memecut menghala ke Sungai Pelong, tetapi sebentar kemudian terbabas sebelum melanggar sebatang pokok, menyebabkan van itu terbakar.

"Orang awam yang mengejar suspek membelasah suspek di tempat kejadian dan kedua-dua mereka berjaya diberkas polis," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati motif penculikan itu adalah kerana suspek kalah judi dan hendak melangsaikan hutang 'ah long' dengan menculik anak kepada pemilik kilang langsir berkenaan.  

Katanya suspek telah melakukan pemerhatian selama sebulan sebelum menculik wanita itu untuk dijadikan tebusan.

"Dalam pada itu, kami turut merampas sebilah parang dan pisau, wang tunai berjumlah lebih RM2,000, segulung tali dipercayai untuk mengikat mangsa, nota ugutan culik dan sebuah beg.  

"Manakala van yang digunakan suspek adalah kenderaan curi dengan menggunakan nombor plat pendaftaran palsu," katanya.

Abdul Aziz berkata kedua-dua suspek warga tempatan berusia lingkungan 20an itu bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan direman selama empat hari sehingga Sabtu ini. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa