Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Wednesday, May 3, 2017

Ahli PAS memang 'dipasung' dengan 'Wala'"

Pas masih 'terikat' dengan PKR
02 Mei 2017 | HARLINA SAMSON, BERNAMA
Pas nampaknya masih 'terikat' dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun muktamar ke-63 parti itu, yang berakhir hari ini, meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan parti pembangkang itu yang pernah menjadi sekutunya.

Ini kerana, keputusan meleraikan hubungan Pas dan PKR hanya akan dimuktamadkan selepas Majlis Syura Ulama bermesyuarat mengenai tahaluf siyasi itu dalam masa terdekat.

Isu tahaluf siyasi Pas dengan rakan sekutunya - DAP dan PKR - dalam gabungan pakatan pembangkang menjadi antara isu utama yang dibincangkan para perwakilan sejak muktamarnya yang ke-59 pada 2013 kerana dilihat sebagai tidak menguntungkan Pas. Pada 2015, Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP.

Usul memutuskan tahaluf siyasi PAS-PKR itu penting kerana ia akan membabitkan masa depan kelangsungan politik Pas, yang kini 66 tahun, antara parti tertua di negara ini.

Mengikuti rapat perkembangan itu, Pengarah Institut Kajian Analisis Politik Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata memang jelas terdapat perlanggaran tahaluf siyasi oleh PKR dan berlaku pengkhianatan sehingga merugikan Pas.

"Berdasarkan kepada beberapa insiden jelas pengkhianatan tahaluf siyasi ini, memang Majlis Syura akan buat keputusan. Hanya yang menjadi persoalan ialah mengenai penglibatan wakil rakyat PAS (dalam pentadbiran Selangor) iaitu kalau putus, mereka perlu kekal atau berundur meletak jawatan (Exco)," katanya kepada Bernama selepas berakhirnya muktamar tiga hari itu.

Beliau turut menjangka isu itu mungkin berlarutan selain perlu ditangani dengan berhati-hati kerana ia turut melibatkan 'restu' pihak Istana Selangor dan kemaslahatan syariat Islam di negeri itu.

Setiausaha Dewan Ulama Pas Datuk Dr Mohd Nik Zawawi Salleh pula meminta anggota parti supaya menerima, patuh dan wala' atau setia terhadap apa jua keputusan majlis tertinggi berhubung tahaluf siyasi dengan PKR.

"Waima, keputusan yang dibuat tidak masyhur atau pun tidak popular atau pun presiden Majlis Syura Ulama buat keputusan dengan pendekatan-pendekatan tertentu bagi menghadapi arus politik.

"...terutamanya apabila berlaku, (sebab) kita belum mesyuarat lagi putuskan hubungan dengan PKR, untuk kita membina masa depan parti dengan memberi wala' yang sepenuhnya dan tanpa kita mengkritik secara songsang di belakang, insya-Allah bahtera parti kita akan berjalan dengan baik," katanya pada sesi penggulungan muktamar itu.

Walaupun isu tahaluf siyasi itu belum berkesudahan, muktamar tiga hari Pas kali ini menyaksikan parti itu bersedia bergerak sendirian tanpa jalinan kerjasama dengan parti politik lain dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kita pernah menghadapi segala kemungkinan kerana sejarah politik kita, senario kita lebih panjang daripada orang lain. Kita pernah bersendirian, kita pernah tinggal satu kerusi, negeri ini ada kerusi, negeri itu kita tak ada kerusi langsung," kata Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kelangsungan Pas juga bergantung kepada kepimpinan itu, yang pada muktamar kali ini, menyaksikan status quo kepimpinan dikekalkan dengan golongan ulama terus menjadi pilihan perwakilan.

Sebahagian besar jawatan tertinggi parti terus kekal kepada penyandang malah beberapa jawatan penting dimenangi tanpa bertanding terutamanya jawatan Presiden yang kekal disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Abdul Hadi, 69, memegang jawatan nombor satu parti sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim, 56, memegang jawatannya sejak 2015.

Tiga jawatan naib presiden kekal dipegang ketiga-tiga penyandangnya iaitu Anggota Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad dipilih untuk terus memegang jawatan berkenaan bagi sesi 2017/2019.

Selain Iskandar, pemilihan Anggota Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, menyaksikan dua anggota Pas Selangor seperti Dr Halimah Ali dan Salehin Mukhyi dipilih untuk memastikan parti itu dapat mengekalkan pengaruhnya di negeri termaju itu.

"Keputusan pemilihan semula Iskandar sebagai Naib Presiden dan dua lagi anggota Pas Selangor seperti Dr Halimah dan Salehin adalah satu mandat memperkasa parti itu untuk menangani isu tahaluf siyasi dan melebarkan kuasa untuk menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang," kata Kamarul Zaman.

Barisan kepimpinan yang baharu itu juga dilihat sebagai tidak mahu menimbulkan keretakan dan perbalahan di kalangan pemimpin parti kerana PRU14 sudah begitu hampir.

Anggota Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan pula dilantik semula sebagai setiausaha agung kerana parti amat memerlukan khidmatnya, kata Abdul Hadi.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa