Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Saturday, May 6, 2017

Khalid tidak layak dilanjut tempoh KPN?

Khalid tidak layak dilanjut tempoh KPN, kata peguam

  | May 5, 2017
Khalid hilang keyakinan orang awam kerana kekurangan profesionalisme, dan beliau bertanggungjawab ke atas tort misfeasans di pejabat awam.
PETALING JAYA: Tempoh Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak patut dilanjutkan, kata peguam dan pakar undang-undang.
Mereka mendakwa beliau kurang profesionalisme dan mahkamah mendapati beliau bertanggungjawab atas kematian orang dalam tahanan.
Mereka berkata kekurangan profesionalisme Khalid terbukti semasa beliau sebagai ketua pegawai polis Selangor mengendalikan kematian peniaga kereta A Kugan, dalam tahanan pada 2009.
Mereka juga berkata memanjangkan tempoh penjawat awam selepas usia persaraan wajib bukan idea yang baik kerana ia akan menghalang kenaikan pangkat orang lain.
Mereka menjawab laporan The Malaysian Insight yang memetik sumber Putrajaya sebagai berkata tempoh Ketua Hakim Raus Sharif dan Khalid dijangka dilanjutkan sehingga 2 tahun untuk memastikan kesinambungan ketika Barisan Nasional berdepan pilihan raya umum ke-14.
Seorang penjawat awam yang bersara boleh kekal dalam perkhidmatan secara kontrak untuk tempoh yang ditetapkan melalui peraturan Perbendaharaan.
Khalid, Ketua Polis Negara ke-10, yang berusia 60 pada 5 September, menyertai polis pada 1976 sebagai inspektor.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata, dalam beberapa keputusan mahkamah, Khalid bertanggungjawab atas kematian orang dalam tahanan, dan juga dalam kes tembakan maut.
Katanya, Mahkamah Rayuan mengesahkan penemuan Mahkamah Tinggi yang Khalid bertanggungjawab ke atas tort misfeasans, yang mempertanggungjawab beliau dan kakitangan bawahannya atas kematian Kugan.
Begitu juga, katanya, Khalid sekali lagi dibabitkan dalam kes tembakan Aminulrasyid Amzah pada 2010 yang menyebabkan kerajaan perlu membayar ganti rugi kepada ahli keluarga remaja itu.
Malah dalam kes itu, mahkamah mendapati Khalid bersalah menyalahgunakan kuasanya sebagai penjawat awam.
Paulsen berkata penahanan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah tahun lepas di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) meninggalkan kesan buruk kerana polis dilihat menyalahgunakan kuasa siasatan.
Beliau berkata beberapa kali polis menggunakan Akta Hasutan (Akta 15) dan Akta Perhimpunan Aman (Akta 736) untuk menyiasat masyarakat awam dan pemimpin pembangkang tetapi banyak kelonggaran diberikan kepada mereka yang memihak kerajaan.
“Ini menyebabkan Khalid gagal mendapat kepercayaan orang ramai kerana dwistandard yang diamalkan dalam penyiasatan,” katanya.
Paulsen berkata polis juga seolah-olah bingung dalam siasatan ke atas kes paderi Raymond Koh, yang hilang sejak 13 Februari.
“Namun, dia memberitahu orang ramai supaya diam daripada membuat spekulasi mengenai sebab kehilangan Koh,” kata Paulsen, yang juga seorang peguam.
Beliau berkata, Khalid boleh menyokong kerajaan tetapi dia perlu dilihat sebagai seorang penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang secara adil dan objektif.
Peguam S N Nair berkata pegawai polis tertinggi seperti Khalid dijangka bertindak tanpa rasa takut atau memihak kepada kerajaan yang memerintah.
“Beliau bertanggungjawab kepada undang-undang dan hanya undang-undang sahaja,” kata bekas pegawai polis itu, memetik penghakiman yang disampaikan Lord Denning berhubung kebebasan yang dikehendaki polis.
Beliau berkata doktrin ini terguna pakai kepada polis Malaysia yang mempunyai struktur menyamai model British.
“Khalid tidak mempunyai kaliber dan profesionalisme untuk dicontohi seperti ketua polis negara ke-4, Tun Hanif Omar, untuk layak dilanjutkan tempoh jawatan,” katanya.
Bagaimanapun, Nair berkata, tidak dapat dinafikan Khalid menjalankan tugas yang baik memerangi IS dan pengganas.
Pakar undang-undang Abdul Aziz Bari berkata malang sekali pelanjutan perkhidmatan beberapa pegawai kanan kerajaan menjadi perkara biasa. Ia bermula semasa era bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Integriti sektor awam dan penjawat awam dipersoalkan apabila ada yang dikekalkan ahli politik,” katanya.
Aziz berkata ini seterusnya memberi kesan kepada moral kakitangan awam yang mungkin terpaksa bersara lebih awal, dan terlepas peluang kenaikan pangkat.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa