Pengumuman

Mulai esok (11 Julai 17) blog ini tidak akan diupdate Oleh kerana blog ini dan blog yang satu lagi mengandungi bahan yang sama, saya rasa adalah wajar untuk menghidupkan satu blog sahaja iaitu mountdweller88 untuk dilayari dengan mudah tanpa gangguan insya Allah Saudara/saudari persilakan ke - mountdweller88.blogspot.com

Monday, May 1, 2017

'Saya rasa penat dengan apa yang berlaku dengan Pas'

Tiga dialog santai pagi Rabu
28 April 2017 | AHMAD LUTFI OTHMAN
FOTO HIASAN... Kedai gunting warga Bangladesh di ibu kota Kuala Lumpur.

Sejak hadapi masalah penglihatan dan upaya tangan yang lemah, saya lebih kerap ke kedai gunting. Ya, agak sukar untuk bercukur sendiri. Itulah juga masa untuk "bermalas-malasan", selain merapikan diri. Dan kesempatan untuk berbual dan bercerita dengan tukang gunting mahupun pelanggan yang menanti.

Pagi Rabu itu, selepas berjalan-jalan agak jauh dalam sebuah pasaraya besar -- amalan rutin mingguan untuk mencari stamina dan kekuatan kaki -- saya singgah bergunting. Kali ini premis yang baru pertama kali saya masuk (walaupun saya lebih gemar dengan kedai dan tukang gunting yang biasa, dekat kawasan perumahan). Salam disambut ramah dengan wajah berseri. Senang hati saya. Susah berjumpa barber segirang itu.

Melihat saya bertongkat dan berjalan perlahan memandang lantai, dia segera memimpin saya ke kerusi. Cepat sekali dia memulakan perbualan. Warga Bangladesh, umur "dekat 30 tahun" dan sudah hampir satu dekad di Malaysia. Ditanya pendapatannya, "cukuplah untuk cari makan dan hantar sikit kepada anak dan isteri di kampung".

Rancak berbicara

Berbadan sasa, nampak sihat-segar, berperwatakan kemas, dia lebih rancak berbicara apabila saya bertanya, "macam mana bisnes sekarang?" "Kedai ini bukan saya punya, saya pekerja aja, senang tak payah pening-pening kepala, tak stress," jawabnya teratur dengan bahasa Melayu yang fasih.
Dia melanjutkan perbualan, menekankan kadar tukaran ringgit yang jatuh merosot berbanding matawang Bangladesh. Ada disebutnya tetapi saya tidak begitu ingat kadar tukarannya; lebih kurang dahulunya RM10 bersamaan 250 Taka sekarang hanya 180 Taka. Dia mengeluh apabila ditanya kadar bayaran levi sebagai pekerja asing yang sentiasa meningkat.
"Sekarang semua mahal. Dulu makan tengahari cukup RM5, sekarang dengan minuman sekali, RM12 ... paling kurang RM10. Tambah GST lagi, makin mahal," dia bercerita, masih dengan nada ceria, sambil menekankan beberapa kali tentang GST yang membebankan. Ya, tidak kurang enam kali dia mengulangi hal GST, tanda cukai itu begitu menyusahkan orang sepertinya.
"Tapi saya tetap bersyukur dapat bekerja di Malaysia, dapat kenal penduduk di sini, ramai kawan-kawan saya orang tempatan, dapat bercakap bahasa sini dengan baik, makanan pun sedap," ujar beliau, sambil merapikan misai dan janggut saya dengan cermat tetapi agak pantas. Tidak seperti sesetengah tukang gunting yang agak kasar dan kadang-kadang tidak begitu beradab.   
Serik dengan gangster
Rupanya dia pernah mengusahakan kedai gunting sendiri sekitar Pandan dan Ampang. "Cukuplah, saya serik dengan gangster yang menganggu. Ada yang bergunting tidak bayar, bila saya minta, mahu diketuk dan dibelasah dengan topi keledar, kadang-kadang diancam pisau minta duit.
"Ada yang buat-buat tidur, bila siap gunting, dan selepas saya kejutkan, marah pula, alasannya tidak puas hati dengan stail gunting, terus tak nak bayar. Dulu satu kaum saja yang buat perangai buruk itu, sekarang budak Melayu pun sudah ikut... mungkin mereka tengok senang cari duit macam ni dan lepas begitu saja."
Beliau berhasrat untuk balik Bangladesh tahun depan, 2018. "Kali ini saya nak balik kampung terus, tak mahu datang lagi. Bukankah agama kita ajar, tidak elok tinggalkan anak isteri lama-lama. Lagi pun saya mahu enjoy hidup dengan keluarga.
"Kita tak tahu bila mati, bapa saya mati umur 40 tahun, abang saya tidak sampai 35 tahun. Bila Allah panggil, kita tak boleh elak. Mesti pergi jumpa Tuhan. Itu sudah janji kita.  Tahun depan saya sudah 30 tahun. Apa lagi kita mahu dalam hidup ini? Mesti dekat dengan keluarga sendiri dan tolong adik-beradik. Jangan sampai terlambat pula," panjang dia bercerita. Saya seperti mendengar khutbah hari itu.
Nikmati hujung usia
Anak muda ini turut berpesan kepada saya agar "menikmati hujung usia" walaupun sudah bergelar OKU. "Jangan susahkan hati, bang. Allah sudah takdirkan begini, sabar dan bertawakal. Banyak pahala nanti."
Saya menitipkan juga nasihat, "jangan lupa solat dalam apa keadaan pun". Dia membalas, "ya, terima kasih bang, tapi ada yang solat tapi tipu orang, tak tunai janji, main-main dengan Allah. Kalau dengan bos pun tak boleh main-main, tentulah dengan Tuhan lagilah tak boleh main-main."
Saya tidak boleh lupa dengan kata-katanya, sambil dia mengurut bahagian belakang dengan mesin; "Kalau dengan bos di dunia pun tak boleh main-main, inikan pula dengan Allah. Di dunia bolehlah kita merayu minta maaf bila salah, orang akan ampunkan, tapi jika sudah masuk jahannam di akhirat nanti, tak ada maaf lagi walaupun menangis sampai habis airmata."
Kecewa dengan pembangkang
Selesai bergunting, sementara menunggu kereta anak sampai, sempat saya berborak dengan seorang pelanggan yang menunggu giliran. Warga emas ini mengenali saya sebagai bekas editor Harakah dan mengikuti khabar tentang keuzuran saya. Dia ternyata kecewa dengan perkembangan Pas dan pembangkang lainnya.
"Saya tak minat lagi dengan politik. Buang masa saja. Umno akan menang lagi walaupun begitu banyak isu dan skandal besar. Kalau dalam PRU14 nanti ada tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan, saya akan tengok siapa calon Pas dan Pakatan. Siapa yang boleh diharapkan untuk bantu rakyat, rajin turun padang, ringan tulang, dan bawa isu rakyat di Parlimen; itulah yang saya akan undi. Tak kira parti mana, asalkan bukan BN," jelasnya.
"Tapi seorang wakil rakyat tak boleh betulkan negara ini, pak cik. Kita mesti  pilih gabungan parti yang boleh memerintah dengan baik," saya cuba mengumpan pandangannya lagi. "Saya dah tak percaya parti politik, saya rasa penat dengan apa yang berlaku dengan Pas, tak tahu ke mana arah," pintasnya sambil bertanya beberapa soalan mengenai Parti Amanah Negara selepas mengetahui saya menulis tentang parti Islam baru itu.
"Saya pun masih baru berkenalan dengan Amanah. Ramai kawan-kawan saya dalam Pas dulu ada dalam Amanah. Saya percaya mereka ikhlas, jujur dan bekerja kuat untuk membela rakyat dan bentuk kerajaan yang baik. Mereka cuba tawarkan pilihan yang lebih baik daripada BN dan Pas. Biar rakyat tentukan," saya menjawab sambil perhatikan riak wajahnya.
Masih mengharapkan
Bimbang juga kalau dia tidak selesa dengan respons saya. Ternyata dia berfikiran terbuka. Walaupun seolah-olah patah hati dengan oposisi dia masih mengharapkan negara ini akan diuruskan oleh "orang-orang yang takutkan Tuhan, sentiasa ingatkan Akhirat dan sama sekali tidak khianati mandat rakyat".
Tidak lama berbual, saya meminta izin untuk balik ke rumah. Rabu, sejak bertugas dengan Harakah lagi, adalah hari rehat-tidur yang panjang. Apatah lagi sekarang jadual dialisis juga membabitkan petang Selasa hingga malamnya. Letih-lesu selepas rawatan hanya dapat dipulihkan selepas beradu dalam tempoh agak lama.
Sedia menunggu seorang teman baik dari Kelantan, yang selalu berkunjung setiap kali turun Kuala Lumpur. Tiga bulan lalu kami sudah berkongsi kisah. Tengah hari itu kami seolah-olah menyambungnya kembali.
"Pernah dalam satu majlis kecil Pas di kampung, saya diminta beri ucapan alu-aluan. Secara santai, saya lebih selesa menyebut nama Parti Amanah Negara, bukannya PAN dan kawan-kawan di sebelah sana sebagai orang hanya berbeda pendekatan perjuangan dengan kita, bukannya pengkhianat atau pemberontak," bicaranya cermat.
"Tapi bila penceramah jemputan berucap, disanggahnya apa yang saya kata itu dengan segala hujah yang biasa kita dengar. Sedangkan bagi saya, berlainan wadah bukan makna berbeda akidah. Kedua-dua parti, Pas dan Amanah, berlandaskan perjuangan Islam. Berbeda mungkin stail dan pendekatan saja. Sepatutnya sebagai tuan rumah saya berucap sekali lagi di hujung majlis, tetapi ditutup terus oleh penceramah itu," kata rakan saya itu sambil ketawa kecil.
Pas wajah baru
Jelasnya lagi, melihat beberapa insiden di Kelantan khususnya, beliau bimbang jika Pas berwajah baru ini dapat memerintah negara. "Saya takut pendekatan yang ramah, bertolak-ansur, berdiplomasi, sederhana, mengambil kira semua lapisan masyarakat,  bertukar menjadi keras dan kasar," sambungnya. Saya perhatikan tepat wajahnya selepas berulang kali dia menyebut "saya benar-benar bimbang dan takut" dan mengaitkannya dengan pentadbiran ala-Taliban.
Terasa benar luahan hatinya itu benar-benar ikhlas. Dia begitu sayangkan Pas dan berharap agar kesilapan pemimpinnya, yang menyebabkan ramai orang kecewa, dapat diperbetulkan segera. "Susah payah pemimpin terdahulu membina keyakinan masyarakat termasuk bukan Islam, takkan kita hari ini senang-senang mahu musnahkannya," ujarnya lagi seraya menyatakan kesal dengan sikap pemimpin Pas tertentu, "apabila bercakap sahaja, mendatangkan sakit hati pendengar".
Sahabat lama saya ini bukanlah aktivis tegar politik walaupun banyak membantu Pas Kelantan.
"Saya rasa masih ramai yang rasional dan terbuka. Rakyat akan membuat pilihan yang tepat. Mereka lebih tertekan dengan kerajaan Najib sekarang dan menolak parti yang bersekongkol. Kita doakan moga ramai lagi pemimpin Pas yang mampu melihat isu sebenar negara dan berusaha memulihkan balik kepercayaan rakyat kepada Pas," saya sebenarnya cuba mententeramkan perasaan saya berbanding menyuntik rasa selesa kepada teman saya itu.
Saya pun tidak pasti sama ada rakan saya itu masih menyokong Pas ataupun sudah berhijrah kepada Amanah. Tetapi semasa berbicara dengannya, saya beranggapan dia tetap ahli Pas. Justeru, saya cuba mengelak diri daripada mempromosi Amanah. Lagipun saya tidak mahu pagi-tengahri Rabu yang permai dan sentosa itu dicemari dialog yang boleh menyakitkan hati.
Ya, adakalanya sesuatu yang kita anggap biasa mungkin  kepada orang lain menjadi isu sensitif yang merimaskan. 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa