Calon PKR untuk kerusi DUN Chenderiang Amani Williams-Hunts Abdullah hari ini dihalang daripada memasuki satu kawasan Orang Asli di kawasan berkenaan untuk berkempen kepada kalangan masyarakat tersebut.
Peguam Orang Asli yang popular dengan nama Bah Tony itu berkata beliau dihalang oleh tiga orang anggota RELA, yang terdiri dari kalangan penduduk tempatan Kampung Sungai Genting Batu 9, Chenderiang.

Bah Tony ketika ditemui di bilik gerakannya di pekan Tapah petang ini berkata, anggota RELA memberi alasan bahawa halangan itu merupakan “arahan pihak atasan”. 

"Apabila saya tanya mengapa mereka larang, mereka cakap, memang ada arahan yang tidak membenarkan khususnya pihak pembangkang untuk masuk ke dalam. 

"Kami tanya mengapa? Mereka cakap ikut arahan sahaja. Saya cakap ini menyalahi undang-undang, menyalahi peraturan pilihan raya. Masa pilihan raya semua parti bebas untuk berkempen.

“Tiada alasan untuk kami dihalang. Lepas itu dia (anggota RELA) cakap minta maaf. Dia kata dia ikut arahan sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, beliau hanya meluangkan masa kira-kira lima minit untuk berunding dengan anggota RELA tersebut sebelum beredar.

Peguam itu berkata, beliau sebelum ini turut mengalami nasib sama ketika cuba memasuki satu penempatan Orang Asli di Kuala Woh, juga dalam DUN Chenderiang.

Tok Batin kampung berkenaan Lang A/L Bah Kacang pula ketika ditemui Malaysiakini selepas itu menjelaskan, Bah Tony sepatutnya memaklumkannya terlebih dahulu sebelum berkunjung ke kampung tersebut.

"Mereka (Bah Tony) salah faham. Dia ditahan sebab pihak Bah Tony tak bertanya. Kalau nak berkempen tu tanyalah saya, nak masuk minta izin. 

"Sepatutnya mereka hubungi saya dulu," kata Lang, 47 ketika ditemui di kampung berkenaan petang ini.

Kawasan kampung tersebut, yang terletak kira-kira 15 minit dari pekan Tapah merupakan salah satu kawasan penempatan utama masyarakat Orang Asli di Chenderiang.

Kumpulan berkenaan membentuk kira-kira 20 peratus daripada lebih 21,000 pengundi di DUN yang turut ditandingi wakil BN, Mah Hang Soon dari MCA.