Walaupun PAS mengambil keputusan untuk "beralah" di kerusi DUN Kota Damansara, namun penyokong parti itu dilihat merayu undi untuk calon parti itu di luar pusat mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 6. 

Kira-kira lapan penyokong PAS memegang kain rentang dan sepanduk gambar calon parti itu , Ridzuan Ismail sambil melaungkan "Jangan lupa undi PAS". 

NONESelain itu, turut serta berkempen dan memancing undi di kawasan sekolah itu ialah beberapa orang penyokong PKR. 

Mereka bagaimanapun tidak memegang sepanduk gambar Nasir sebaliknya hanya memegang gambar logo Pakatan Rakyat sambil melaungkan "Undi Pakatan Rakyat. Undi dua (PAS dan PKR) ini sahaja". 

Sementara itu, salah seorang muslimat PAS bahagian yang turut berkempen ketika ditemui berkata, beliau bersama ahli yang lain menolak Nasir sebagai calon memandangkan beliau bukan ahli PKR. 

Nasir bukan betul-betul PKR, kata Noni
Ketika ditanya adakah tindakan mereka akan memecahkan undi kepada Pakatan, beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Noni berkata, perkara itu tidak akan terjadi kerana hanya orang tempatan sahaja yang tahu situasi sebenar. 

NONE"Tak. Tak akan pecah undi. Orang sini sahaja yang tahu apa yang terjadi. Kita memang tolak dia (Nasir) sebab dia dari PSM bukan dari PKR. 

"Kalau dia betul-betul ahli PKR kita tak kisah sebab dalam Pakatan pun hanya ada PAS, DAP dan PKR," katanya lagi. 

Pada 27 April lalu, setelah hampir seminggu berunding dengan PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), PAS akhirnya memutuskan untuk memberi laluan kepada calon PSM Mohd Nasir di Kota Damansara. 

Nasir yang juga penyandang kerusi DUN itu bertanding di bawah tiket PKR. 

Sementara itu, calon Parlimen Subang Dr R Sivarasah yang ditemui ketika melawat tempat mengundi berkata, beliau tidak mahu komen tentang situasi yang berlaku di kawasan itu. 

Sebaliknya Sivarasah berkata, beliau akur dengan keputusan pimpinan Pakatan. 

"Saya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itu sahaja saya boleh komen," katanya