Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, May 10, 2013

Tukar Bungkusan Dengan Isi Yang Sama: Bukankah Menipu?

Idea yang cukup bagus dari menyalahkan pihak lain selepas kegagalan kita
Carilah kelemahan kita
Selamilah ke dalam diri dan mencari sebab dengan rasional
Tapi kalau setakat menukar rupabentuk pakej tetapi mengandungi kandungan yang sama tidak ada maknanya
Tukarlah pakej dan isinya sekali kepada yang lebih berkualiti!

BN fikirkan idea untuk dapatkan semula kepercayaan selepas hilang undi popular
Perhimpunan pembangkang di stadium MBPJ di Kelana Jaya Rabu lalu
KUALA LUMPUR, 10 Mei — Pemimpin Barisan Nasional (BN) sedang memikirkan beberapa idea, termasuk memberi nama baru kepada gabungan pemerintah itu, untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas hilang undi popular dalam Pilihan Raya 2013, minggu lalu.

Ahli Parlimen Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengatakan nama BN telah menjadi sinonim dengan rasuah, isu yang menyebabkan golongan kelas menengah dan pengundi bandar beralih dari mengundi gabungan pemerintah itu dalam pilihan raya umum ke 13.
“Saya percaya, selepas 40 tahun, Barisan Nasional telah hidup lebih lama dari peranannya, jadi kita perlukan gabungan baru — mungkin 1Malaysia,” kata Nazri kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk perpaduan kaum.
“Bagi saya kita perlu ada nama baru untuk gabungan, seperti apa yang Tun Razak lakukan pada 1974, Perikatan dilibatkan dengan rusuhan pada 1969. Untuk mengubah persepsi, beliau mengubahnya kepada BN,” tambah beliau.
BN kehilangan undi popular dalam pilihan raya umum 5 Mei buat pertama kali semenjak 1969, ketika mereka masih Perikatan. Rusuhan kaum 13 Mei berlaku tiga hari selepas pilihan raya umum 1969 yang menyaksikan rekod peningkatan undi bagi pembangkang.
Di bawah pentadbiran perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, Perikatan bersama dengan parti politik lain membentuk BN, berjumlah 13 parti semasa 1974.
Nazri juga menyatakan orang muda faham tujuan penubuhan Pakatan Rakyat (PR) selepas “tsunami politik” dalam Pilihan Raya 2008, tetapi tidak BN.
“Pengundi berumur 50 tahun ke bawah, mereka tidak faham tentang BN lagi, jadi kita kena berubah,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.
“Pakatan Rakyat adalah nama baru — wain lama dalam botol baru. Pelawak di belakang Pakatan Rakyat masih orang lama — Karpal Singh, Kit Siang, Anwar. Ia adalah wain lama dalam botol baru, jadi kita perlu melakukan perkara sama untuk BN,” tambah beliau merujuk kepada veteran DAP Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara kempen Pilihan Raya 2013 BN menumpukan kepada menjaga keamanan dan keselamatan, PR menjanjikan menghapuskan rasuah dan kronisme di bawah slogan nyaring “Ubah”.
BN kehilangan tambahan tujuh kerusi Parlimen kepada PR dalam Pilihan Raya 2013, mendapat 133 kerusi berbanding PR 89, selain itu hanya mendapat 47 peratus undi popular berbanding PR 51 peratus.
Anwar mengetuai perhimpunan puluhan ribu rakyat di Petaling Jaya pada Rabu untuk membantah penipuan undi dalam pilihan raya umum yang beliau katakan menyebabkan BN terus berkuasa.
Pengarah Strategi MIC S. Vell Paari mengatakan BN tidak seharusnya menafikan jumlah besar yang hadir dalam perhimpunan tersebut yang mempersoalkan legitimasi kerajaan.
“Kita harus mencari maksud dan jalan untuk menangani beberapa rasa tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya. Jika kita tidak tangani, sudah tentu ia akan menjejaskan peluang kita dalam pilihan raya akan datang,” kata Vell kepada The Malaysian Insider.
“PRU14 akan menjadi penentu. Empat, lima tahun akan datang, jika kita tidak merombak dan menagani kebimbangan rakyat, saya tidak terkejut jika lebih sukar bagi BN dalam pilihan raya tersebut,” tambah beliau.
Akan tetapi Vell Paari mengatakan akan menjadi “sukar” bagi BN untuk mencadangkan penyelesaian tentang ketidak percayaan umum kerana: “Pada ketika ini, tidak kira apa pilihan atau jalan yang diambil kerajaan, rakyat tetap tidak akan percaya kepada kerajaan.”
Setiausaha BN Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan walau bagaimanapun melahirkan kebimbangan dengan protes rakyat, mengatakan: "Jika ia semakin merosot ke sesuatu yang melimpah ke jalan-jalan ... Saya benar-benar bimbang untuk keselamatan negara."
Pengerusi BN Selangor Datuk Donald Lim mengakui BN hilang kepercayaan orang awam, menegaskan ketelusan dan penglibatan rakyat adalah penting untuk memenangi kembali pengundi.
“Negara dalam tempoh transisi dan ia masih dalam proses membangun,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.
“Adalah satu kebiasaan dalam tempoh ini lebih ramai orang berpelajaran dan golongan berijazah muda mahu tahu lebih. Dan mereka melihat kepada kepimpinan yang lebih telus dan  bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa,” tambah beliau.
Datuk Heng Seai Kie dari biro publisiti MCA merayu kepada pengundi untuk memberikan lebih banyak masa kepada Najib untuk mengubah pentadbiran negara, mengatakan: “Program transformasi beliau bermula tiga tahun lalu, jadi beliau hanya ada tiga tahun.”

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa