KUALA LUMPUR - Penyertaan besar wanita dalam jawatan membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta bukan lagi hanya persoalan tentang keadilan dan kesaksamaan, tetapi merupakan satu isu strategi perniagaan.
Presiden Sidang Kemuncak Global Wanita, Irene Natividad, berkata kaji selidik yang dijalankan mengenai isu ini menunjukkan syarikat-syarikat dengan lebih ramai wanita memegang jawatan pengurusan kanan atau lembaga biasanya mencatatkan prestasi lebih baik.

“Sektor perniagaan dan korporat perlu ditekankan berulang-ulang kali tentang mengapa ini adalah penting. Wanita merupakan komponen utama tenaga kerja yang dibayar.

Dalam sektor ekonomi sahaja - wanita adalah pekerja, pemilik perniagaan dan pengguna. Mereka mempunyai impak besar tetapi jarang berada di atas," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Beliau berkata ia merupakan tabiat membeli pengguna wanita yang memainkan peranan besar dalam perniagaan.     "Mereka bukan sahaja membeli bagi diri mereka  sendiri, anak-anak dan keluarga tetapi juga bagi perniagaan yang mereka miliki serta syarikat dan kerajaan yang merupakan sebahagian daripadanya," katanya.   

Natividad, yang juga Presiden Corporate Women Directors International, berkata di Amerika Syarikat (AS), majoriti ejen pembelian sekarang adalah wanita.

“Dan mereka bukan membeli klip kertas. Mereka membeli bahan mentah, perkhidmatan perundingan, hampir segala-galanya. Lebih 70 peratus keputusan pengguna dibuat oleh wanita atau dipengaruhi oleh mereka, itu merupakan satu impak pasaran yang besar," katanya.

Natividad berkata meskipun wanita mungkin mempunyai kesan besar pada asas ekonomi, mereka tidak banyak menguruskan perniagaan besar.
“Di AS, sebuah negara  yang menjadikan peluang sama rata sebagai satu jenama global, terdapat hanya 20 ketua pegawai eksekutif wanita dalam syarikat Fortune 500. Itu tidak masuk akal  memandangkan kesan pasaran oleh wanita.

“Malahan Presiden AS Barack Obama mengakui peranan wanita yang membantu beliau kembali memerintah dan saya dimaklumkan bahawa perdana menteri anda terhutang budi kepada pengundi wanita yang membantunya memenangi pilihan raya.
Jadi saya gembira beliau menyokong dan menggalakkan pelaksanaan sasaran 30 peratus wanita menyertai lembaga pengarah. Itulah caranya anda membalas budi dalam politik," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini mengumumkan keputusan dasar untuk memastikan sektor korporat berupaya mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita di peringkat membuat keputusan menjelang 2016.

Najib juga mengumumkan bahawa kerajaan menyasar meningkatkan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus dalam sektor awam dan swasta semasa tempoh tiga tahun akan datang. Ketika ini ia berjumlah 47 peratus.

Nativadad berkata secara purata, 15.5 peratus wanita berada dalam lembaga syarikat di seluruh dunia.

“Di Eropah, bilangannya semakin meningkat. Ini hasil daripada syarat-syarat penyenaraian bursa saham atau kod tadbir urus korporat dan pelaksanaan lain.

“Tetapi sebahagian besar, terutamanya di rantau Asia Pasifik, bilangan masih kecil. Korea Selatan masih sifar, Jepun pada 1.4 peratus. Di AS, kami masih lagi berada pada 16.6 peratus sejak enam tahun lepas,” katanya.

Natividad berkata Malaysia berada di landasan yang betul kerana Najib sendiri prihatin tentang isu-isu itu dan mahu memastikan ia menjadi satu kenyataan.

“Itu satu perkara yang besar. Perbezaan di sini ialah anda mempunyai kepimpinan daripada peringkat atas. Itu adalah pemacu perubahan. Apabila sesiapa yang bertanggungjawab menjadikannya satu keutamaan, ia akan berlaku. Tidak banyak negara memilikinya.

“Itulah sebabnya mengapa saya berbangga dengan Malaysia kerana anda berusaha melakukan sesuatu. Ada komitmen dan keazaman," katanya. - SH