Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, July 18, 2013

Agak Pedih Juga Hirisan Uthaya Sankar SB Ni!

'Tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa pihak berkuasa dan pemerintah (BN) termasuk dalam kelompok yang dimaksudkan oleh Rasulullah. Maka, tidak menghairankan jika semakin ramai membenci kelompok yang turut dibenci Nabi Muhammad'

Isu hina agama: Ingat pesan Rasulullah - Uthaya Sankar SB
MI - JULY 18, 2013
Tahniah kepada pihak berkuasa yang bertindak segera, tangkas dan cekap dalam menangani isu sepasang individu yang didapati menghina agama Islam dan kesucian Ramadan, baru-baru ini.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pihak berkuasa dan pemerintah sebenarnya dan sesungguhnya mampu bertindak segera dan pantas dalam hal yang membabitkan sensitiviti dan kaum di negara ini. Tahniah sekali lagi.
Bagaimanapun, sebagai seorang warganegara yang mencintai negara ini, saya berpendapat tindakan pihak berkuasa dan pemerintah adalah bersifat berat sebelah dan secara terang-terangan bertentangan dengan ajaran Islam.
Terjemahan kata-kata beliau daripada laporan di akhbar The Star (28 Ogos 2010): "Pendirian kita adalah untuk tidak bertolak ansur terhadap kenyataan berbaur perkauman oleh sesiapa. Tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit. Perpaduan amat penting dalam pembinaan bangsa"
"Akhbar Utusan Malaysia (28 Ogos 2010) pernah melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai berkata: "Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan sekarang mengamalkan toleransi sifar terhadap sifat perkauman dan kita akan ambil tindakan terhadap pihak terbabit jika terbukti mereka melakukan perbuatan dan menyatakan ungkapan yang bersifat rasis."
Dalam hal ini, saya (dan pasti sahaja ramai lagi rakyat) tertanya-tanya mengenai kes Zulkifli Noordin yang terbukti sekurang-kurangnya dua kali membuat kenyataan menghina kaum India dan agama Hindu.
Aneh sekali apabila Zulkifli diumumkan pula oleh Presiden Barisan Nasional (BN) pada 16 April 2013 sebagai "rakan BN" untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Shah Alam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Mujurlah rakyat/pengundi berjaya "menghukum" Zulkifli walaupun pihak berkuasa dan BN/kerajaan "tidak mampu" berbuat apa-apa sehingga kini.
Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ibrahim Ali pula sudah diketahui umum sering melukakan hati orang bukan Melayu dan bukan Islam melalui mulut celuparnya.
Selain "sengaja" memberikan sampul angpau warna putih semasa Tahun Baru Cina, individu ultra kiasu itu juga dilaporkan pernah menghasut orang Melayu membakar kitab Bible di Pulau Pinang pada Januari 2013.
Anehnya, BN "merestui" lelaki itu bertanding dalam PRU-13 sebagai calon bebas sementara calon BN pula menarik diri untu memberikan laluan lebih mudah kepada Ibrahim.
Calon BN bagi DUN Sungai Rapat dalam PRU-13, Hamidah Othman pernah menyarankan orang ramai "memukul orang India dahulu sebelum memukul ular".
Ahmad Nawawi M Zin, calon BN bagi DUN Batu Tiga dalam PRU13 paling dikenali atas "ketokohan" terbabit dalam insiden memijak kepala lembu dan menghina agama Hindu pada 28 Ogos 2009.
Masyarakat juga tidak lupa akan kes Ridhuan Tee Abdullah yang menghina agama Hindu dan penganut agama Hindu menerusi sebuah rencana di akhbar Sinar Harian (18 Februari 2013).
Lelaki itu masih bebas menyampaikan "dakwah negatif" walaupun pelbagai pendedahan mengenai diri dan kelayakan akademiknya sudah didedahkan. "Dakwah negatif" yang saya maksudkan adalah tindakan memberikan gambaran negatif  Islam; khususnya kepada golongan bukan Islam.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa dalam semua kes di atas, individu Melayu, Islam dan pro-BN/UMNO tidak dikenakan sebarang tindakan. Ridhuan Tee sebenarnya Cina tetapi dia ternyata menganggap dirinya "lebih Melayu daripada orang Melayu".
Ternyata pihak berkuasa dan pemerintah yang cekap, pantas dan segera bertindak terhadap individu bukan Melayu dan bukan Islam tidak mampu bertindak terhadap individu Melayu dan Islam yang menghina kaum lain.
Satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad dan seperti diriwayatkan Abu Daud, baginda pernah bersabda: "Berwaspada! Barang siapa yang menzalimi dan mengasari kelompok minoriti bukan Islam, menyekat hak mereka, membebankan mereka dengan lebih daripada apa yang mampu mereka tanggung, atau merampas apa sahaja daripada mereka tanpa izin; maka aku akan mengadu terhadap orang itu pada hari pembalasan."
Tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa pihak berkuasa dan pemerintah (BN) termasuk dalam kelompok yang dimaksudkan oleh Rasulullah. Maka, tidak menghairankan jika semakin ramai membenci kelompok yang turut dibenci Nabi Muhammad.
Berikutan penyiaran kenyataan ini, saya tidak menolak kemungkinan puak tertentu melabel saya sebagai "anti-Melayu" dan "anti-Islam". Bagaimanapun, seperti kata Mahatma Gandhi, "Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran."
Semoga bulan Ramadan yang mulia ini memberikan petunjuk dan hidayah kepada pihak terbabit supaya tidak terus termasuk dan kekal dalam kelompok yang bakal diadu oleh Rasulullah pada hari pembalasan. - uthayasb.blogspot.com, 18 Julai,2013.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa