Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, July 11, 2013

IPCMC: Alasan Demi Alasan Kerana Inilah Sebab Sebenarnya!

Kerajaan tidak berminat menubuhkan IPCMC, kata anggota suruhanjaya
Oleh V ANBALAGAN
July 10, 2013
Kerajaan asyik memberikan alasan untuk melengahkan  penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Mereka sebenarnya tidak pernah benar-benar berminat.

Ini adalah pemerhatian Datuk A Kadir Jasin yang duduk dalam Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Operasi dan Pentadbiran PDRM yang mengeluarkan 125 cadangan kepada kerajaan, termasuk penubuhan IPCMC.

"Kabinet mengelak perbincangan mengenai IPCMC sejak dari awal, sejak kami menyerahkan laporan itu kepada mereka pada tahun 2005," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kadir berkata, kerajaan mempertikaikan bahawa polis menentang IPCMC dan kemudian menambah agensi penguatkuasaan yang lain patut turut dimasukkan dalam IPCMC. Mereka kemudian boleh menubuhkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Saya berpendapat IPCMC bukan masalahnya. Kerajaan yang tidak berminat untuk mempunyai mekanisme seumpama itu," katanya ketika diminta mengulas maklum balas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa IPCMC yang dicadangkan itu akan memberi kesan kepada pertindihan bidang kuasa dan tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kadir berkata, kenyataan daripada menteri dalam negeri yang terdahulu juga jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak berminat dengan IPCMC.

Beliau menjelaskan bahawa suruhanjaya itu melawat beberapa negara yang berjaya melaksanakan mekanisme seumpama IPCMC selepas mendapat khidmat nasihat polis.

"Polis mempunyai pendapat mereka, tetapi akhirnya mereka bekerjasama. Kerajaan di sini masih boleh menubuhkan IPCMC dan membuat beberapa penambahbaikan sepanjang tempoh itu," katanya.

Seorang lagi anggota suruhanjaya khas itu, Datuk Dr Denison Jayasooria turut berkongsi pendapat sama.
Beliau berkata, suruhanjaya itu penting kerana ia mempunyai kuasa yang tidak dimiliki Suhakam dan EAIC.

Menteri dalam negeri mungkin salah faham dengan peranan IPCMC yang sebenarnya diperuntukkan dalam perlembagaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Polis," katanya.

Beliau berkata, banyak aduan terhadap polis termasuk mati dalam tahanan, penyalahgunaan kuasa dan paksaan kekerasan menyebabkan ada keperluan untuk penubuhan IPCMC.

"IPCMC juga akan membantu polis menyelesaikan masalah persepsi," katanya merujuk kepada penubuhan serupa di United Kingdom, Australia dan Hong Kong.

Pengerusi Majlis Peguam Malaysia, Christopher Leong, berkata Ahmad Zahid salah erti kepada undang-undang dan perlembagaan.

"Perlembagaan memperuntukkan pandangan berkecuali yang berdedikasi seperti IPCMC," katanya dan turut menambah bahawa IPCMC akan beroperasi secara bersendiri daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis dan memfokuskan hanya kepada masalah disiplin pasukan polis.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, berkata fungsi IPCMC yang dicadangkan itu perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum ia diisytiharkan sebagai tidak selaras dengan perlembagaan.

"Saya tidak boleh beritahu sama ada ia sah atau tidak daripada segi undang-undang tanpa mengetahui fungsinya,"katanya.

Beliau berkata, sebagai bekas pengerusi Suhakam, beliau turut mengemukakan cadangan kepada suruhanjaya diraja terhadap penubuhan IPCMC.

Abu Talib berkata, IPCMC tidak boleh diberikan kuasa mendisiplinkan pegawai kanan polis kerana perkara itu berada di bawah skop Suruhanjaya Polis seperti ditetapkan dalam perlembagaan.

"Sama juga, IPCMC tidak boleh mempunyai kuasa untuk melakukan pendakwaan kerana kuasa itu terletak kepada  Peguam Negara," katanya. Abu Talib berkata, IPCMC boleh mengamanahkan badan berkecuali untuk menyiasat kesalahan dan salah laku pegawai polis.

"Peranan IPCMC ialah untuk mencadangkan tindakan jenayah kepada Peguam Negara," katanya.
Beliau berkata, perlembagaan perlu diperbetul jika kuasa lebih luas hendak diberikan kepada IPCMC.

Abu Talib berkata, Malaysia bukan negara pertama yang bercakap mengenai kemungkinan penubuhan IPCMC kerana badan seumpama itu wujud di Australia dan New Zealand.

Beliau berkata, model berkenaan boleh dikaji.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar Ahmad Zahid berikutan dakwaan menteri itu bahawa IPCMC bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mendakwa Ahmad Zahid sering mengejutkan rakyat Malaysia dengan kenyataan peliknya.

Kenyataan Ahmad Zahid itu juga, katanya, umpama penghinaan kepada Pengerusi suruhanjaya berkenaan iaitu Ketua Hakim Negara kesembilan, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu, berkata alasan Ahmad Zahid itu yang pertama kali digunakan sejak IPCMC dicadangkan pada 2004, tidak boleh diterima.

"Ini pertama kali sejak cadangan dibuat bahawa IPCMC diisytihar tidak berperlembagaan oleh Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN), satu alasan yang amat lemah untuk menolak penubuhannya," katanya. - 10 Julai, 2013

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa