Krisis Mesir: Rampasan kuasa dianggap batal
SH - 7 Julai 2013
KAHERAH - MESIR. Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Mohammad Badie menyifatkan rampasan kuasa tentera terhadap Presiden pertama Mesir yang dipilih secara demokrasi Mohamed Mursi tidak diiktiraf.Pendirian itu ditegaskan di hadapan jutaan penyokong Mohamed Mursi yang setia berkubu di Dataran Rabiatul Adawiah, timur Kaherah sejak hari penahanan beliau.
“Kami hanya menerima Mursi sebagai Presiden Mesir yang sah dan kami tidak berganjak dari prinsip ini. Kami menolak rampasan tentera, semua urusan dan perkara berlaku selepasnya dianggap batal dan tidak diiktiraf.
“Kami menyeru tentera supaya berkhidmat untuk negara dan rakyat, sokong kami dan kami sokong kamu, tetapi percayalah peluru anda tidak dapat menembusi kami!” katanya dan pada masa sama kelihatan enam helikopter
berlegar di kawasan dataran itu.
Menurutnya, penyokong Ikhwanul Muslimin berikrar membawa Mursi kembali ke tampuk pimpinan dan terus menerajui Mesir.
“ALLAH membantu Mursi dan membawanya kembali ke Istana Presiden. Percayalah kuasa ALLAH, ALLAH Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui kesusahan dan kesedihan rakyat Mesir ketika ini,” katanya dipetik Al Jazeera
Menurutnya, kehilangan Mursi dan nasibnya menjadi tanda tanya seluruh rakyat dan negara Islam lain di dunia.
“Kami merayu, tolong kembalikan Mursi sebagai Presiden dan Ikhwanul Muslimin sedia berbincang dengan sesiapa sahaja selepas itu. Saya tidak lari dan kami tidak akan lari. Kami pendukung revolusi yang sentiasa terbuka.
Sementara itu, Naib Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) Isam Iryan, mengeluarkan kenyataan, penyokong Mursi tidak akan meninggalkan Dataran Rabiatul Adawiyah hingga Mursi dibebaskan.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa