PETALING JAYA: Lucu juga bila membaca kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang meminta supaya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri melantik Setiausaha Politik wanita.
Katanya, sudah tiba masanya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri melantik seorang Setiausaha Politik dalam kalangan wanita bagi membawa perubahan yang diinginkan.
Seperti kata pepatah, rumah siap pahat berbunyi. Nampaknya Shahrizat ketinggalan bas. Beliau sepatutnya mencadangkan soal perlantikan ini sebelum menteri-menteri melantik setiausaha politik mereka. Mereka sudah angkat sumpah menerima jawatan baru nak buat cadangan.
Minggu lepas, Seramai 21 Setiausaha Politik mengangkat sumpah menyimpan rahsia di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen.
Majlis turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Upacara angkat sumpah diketuai Datuk Jailani Ngah, diikuti Wong Nai Chee dan Datuk Muhammad Khairun Aseh sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Datuk Mohd Nardin Awan dan Datuk Tahir Mohd Taat pula mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha Politik lain yang mengangkat sumpah ialah:
- Datuk Dr Marzuki Mohamad (Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin)
- Datuk Mohamed Ismail Mohamed Othman (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz)
- Datuk Markiman Kobiran (Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein)
- Razak Sakaran Dandai (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal)
- Datuk Daniel Kinsik (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili)
- Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas)
- Datuk Abdul Halim Mohammad (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)
- Mohd Ali Mansor (Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek)
- M Vellaiyan (Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S Subramaniam)
- Azizul Kama Abdul Aziz (Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah)
- Basorri Abu Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom)
- Fazzrudin Abdul Rahman (Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof)
- Mejar (B) Peter anak Runin (Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot)
- Abd Halim Jusoh (Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh)
- Kibin Samad (Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan)
- Japirin Sahadi (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin).
Shahrizat nampaknya amalkan politik “double standard”. Dahulu sewaktu beliau menjadi menteri, beliau tidak lantik pun wanita sebagai setiausaha politik. Sebaliknya Datuk Suhaimi Ibrahim yang dilantik sebagai setiausaha politiknya.
Sebagai ketua wanita Umno, Sharizat tak tunjuk teladan yang baik.Bagaimana beliau berharap menteri lain nak lantik wanita jadi setiausaha politik sedangkan beliau sendiri tidak melantik wanita menjadi setiausaha politiknya?
Isu perlantikan setiausaha politik adalah isu kecil. Beliau sepatutnya mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak melantik seorang tokoh dari wanita Umno jadi menteri penuh.
Sekarang dua menteri wanita dalam kabinet Najib datangnya dari Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB) iaitu Datuk Rohani Karim (Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat) dan Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).
Wanita Umno tiada menteri penuh. Ia ada tiga orang timbalan menteri iaitu Datuk Halimah Sadique (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Azizah Mohd Dun (Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan masyarakat) dan Datuk Noriah Kasnon (Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).
Sepatutnya Shahrizat mencadangkan supaya Najib melantik salah seorang dari mereka di atas sebagai menteri dari wanita Umno. Sebaliknya beliau mahu jawatan itu diisi oleh tokoh wanita dari PBB untuk mengekalkan kerusinya sebagai ketua wanita dalam pemilihan Umno hujung tahun ini.
Sharizat bimbang jika Halimah atau Azizah atau Noriah dilantik sebagai menteri penuh, menteri baru itu akan mencabar kedudukannya sebagai Ketua Wanita.
Shahrizat berfikir lebih baik Wanita Umno tiada menteri yang merupakan pandangan yang terkebelakang. Sedangkan dahulu Wanita Umno mempunyai dua menteri penuh iaitu Tan Sri Rafidah Aziz dan Shahrizat sendiri.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa