Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, June 16, 2014

Penahanan salah: Kebenaran Merayu Ditolak

Penahanan salah: Mahkamah tolak permohonan Putrajaya untuk kebenaran merayu
Published: 16 June 2014 | Updated: 17 June 2014 1:03 AM - MI

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM60,000 kepada lima peguam hak asasi manusia dan seorang aktivis berhubung penahanan menyalahi undang-undang.
Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menolak permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Raus berkata isu yang terlibat adalah berdasarkan fakta dan tiada kemungkinan bagi rayuan itu berjaya jika kebenaran diperoleh.
Berikutan kegagalan perayu untuk mendapatkan kebenaran merayu, keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati polis bertanggungjawab dalam penahanan menyalahi undang-undang melibatkan peguam R Sivarasa, N Surendran, Latheefa Beebi Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad dan aktivis Johny Andu alias Abu Bakar Adnan serta perintah supaya mereka membayar ganti rugi dikekalkan.
Pada 10 Disember, 2007, enam individu itu dikenakan pertuduhan berhimpun secara haram sehari sebelumnya di hadapan bangunan Kamdar di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan tidak mematuhi perintah polis supaya bersurai.
Pada 16 April 2009, mereka dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Sesyen, tanpa dipanggil membela diri terhadap tuduhan itu.
Pada 8 Disember 2010, mereka memfailkan saman sivil terhadap Timbalan Ketua Polis Dang Wangi ketika itu Supt Che Hamzah Che Ismail, ketua polis negara, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung penangkapan dan penahanan mereka.
Dalam penyata tuntutan mereka, enam individu itu mendakwa mereka menyertai dan/atau menganjurkan perhimpunan secara aman serta berarak bersempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 10 Disember setiap tahun.
Keenam-enam mendakwa mereka dibenarkan terus menyertai perarakan itu selama 10 minit, tetapi sebelum berakhir tempoh itu, mereka dapati mereka dikelilingi ramai anggota polis.
Mereka mendakwa selepas itu, polis mengeluarkan peintah bersurai, tetapi ketika mereka cuba berbuat demikian (untuk bersurai), mereka ditangkap.
Pada Julai 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara memerintahkan setiap mereka dibayar ganti rugi am RM10,000 dan kos guaman RM60,000 selepas memutuskan bahawa penangkapan dan penahanan itu adalah tidak sah.
Polis dan kerajaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan selepas rayuan mereka ditolak Mahkamah Rayuan pada 20 Januari tahun ini.
Peguam Kanan Persekutuan Mohd Abazafree Abas mewakili polis dan kerajaan manakala peguam Datuk Sulaiman Abdullah mewakili keenam-enam individu itu. – Bernama, 16 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa