PKR dakwa Syed Mokhtar untung RM2 bilion kerana pengecualian duti import beras
OLEH MOHD FARHAN DARWIS - 15 June 2014
PKR hari ini mendakwa usahawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary bakal mengaut keuntungan sehingga RM2.25 bilion daripada pengecualian duti import ke atas import beras oleh Bernas
Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung dalam satu kenyataan berkata, melalui peningkatan tahunan dijangka untuk import beras, Syed Mokhtar yang menguasai Bernas akan terus mengaut keuntungan besar memandangkan syarikat itu monopoli pasaran beras negara.
"Saya terkejut dengan pendedahan menteri pertanian di Parlimen, dalam lima tahun sahaja kerajaan mengecualikan kutipan bernilai RM2.25 bilion (atau purata RM450 juta setahun) atas duti import bagi beras yang diimport oleh Bernas dari 2008 sehingga 2013.
"Statistik Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menganggarkan import beras Malaysia pada 2014 akan meningkat sebanyak 24% berbanding tahun 2013, daripada 890,000 tan beras kepada 1.1 juta tan beras pada tahun 2014," katanya dalam kenyataan itu.
Gooi berkata, Bernas mempunyai monopoli ke atas import beras dan dikecualikan daripada membayar duti import ke atas beras.
"Kerajaan melalui perjanjian konsesi yang ditandatangani dengan Bernas melanjutkan status pengimport nasional tunggalnya untuk beras daripada tahun 2011 sehingga 2021," katanya.
Katanya Bernas juga menghasilkan beras Super Tempatan 15% (ST 15%) untuk golongan berpendapatan rendah dan isi rumah miskin dan mendapat sejumlah besar subsidi kerajaan, sebanyak RM800 setiap tan beras.
"Adalah satu kemungkiran besar kerajaan terhadap kepentingan awam untuk membenarkan Syed Mokthar untuk menyahsenaraikan keluar Bernas berdasarkan surat peribadi yang ditulis oleh Syed Mokhtar kepada menteri pertanian sendiri yang tidak mempunyai nilai langsung dalam undang-undang, seperti yang dinyatakan oleh menteri dalam Parlimen," katanya.
Beliau berkata, jawapan yang diterimanya di Parlimen oleh menteri mendedahkan Syed Mokhtar memberikan akujanji peribadi, yang antaranya termasuk menjamin kepentingan padi dan beras negara.
Dalam proses penyenaraian semula Bernas, 10% saham dalam IPO Bernas akan diperuntukkan kepada kerajaan untuk Persatuan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).
Selain itu, Gooi berkata, surat peribadi itu juga mendedahkan Syed Mokhtar akan menyumbang setiap tahun kepada program kebajikan Nafas dan Nekmat selama lima tahun atau sehingga proses penyenaraian semula di Bernas selesai.
"Saya mengatakan surat peribadi swasta Syed Mokhtar kepada menteri, di sebalik kekayaan peribadinya dan pengaruhnya, adalah sekeping kertas tidak bernilai," katanya.
Surat itu katanya tidak terikat dari aspek perundangan dan tidak boleh dikuatkuasakan terhadap Bernas kerana Syed Mokhtar bukanlah satu pihak kepada perjanjian konsesi yang ditandatangani antara Bernas dan kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya yang dikenakan oleh kerajaan sehingga 2021.
Beliau berkata, surat itu tidak mengenakan sebarang tarikh akhir atau tempoh masa untuk penyenaraian semula Bernas.
"Bilakah ia akan disenaraikan semula, dalam lima atau 10 tahun?" soalnya.
"Dengan tiada tarikh yang pasti untuk penyenaraian semula, Bernas tidak akan tertakluk kepada penelitian awam atau penyeliaan Bursa Malaysia melalui peraturan-peraturan dan prosedur-prosedurnya yang ketat dan tegas mengenai laporan yang wajib diberikan tentang operasi syarikat – dan ini amat memudaratkan kepentingan negara kita," katanya.
Beliau menambah, tindakan kerajaan dalam cara mereka mengendalikan dan membenarkan Bernas dinyahsenaraikan sehingga menjadi sebuah syarikat milik penuh persendirian dan dimiliki oleh seorang individu, adalah kronisme yang paling teruk sekali. – 15 Jun, 2014.
kalau harga beras jadi murah tak pa la jugak ini makin naik
ReplyDelete