Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 15, 2015

Kisah bagaimana DAP melihat Islam yang lebih luas

DAP MELIHAT ISLAM YANG LEBIH LUAS SETELAH BERTEMU DAN BERBINCANG DENGAN DR RASHIED GHANOUSHI DARIPADA PARTI AN NAHDAH TUNISIA
TEGAS STEVEN SIM

Hari ini, Islam menjadi tajuk berita utama di serata dunia. Perkembangan dunia Islam diikuti dengan berkobar-kobar oleh rakan dan lawan. Dan penanda Islam yang ditonjolkan kepada kita pada hari ini: 9-11, Taliban, Al-Qaeda, Osama bin Ladin, Charlie Hebdo, Isis, Arab Saudi, Iran, hudud. Sama ada hikmah ataupun musibah, pandangan dunia terhadap Islam dibentuk dalam kerangka penanda tersebut. Justeru, masyarakat dunia, Islam waima bukan Islam sukar untuk membayangkan Islam pra 11 September, 2011 ataupun membayangkan dunia Islam sebelum negara Arab dibahagi-bahagikan kepada sempadan moden masa kini oleh bangsa Eropah pada awal kurun ke-20.

Imaginasi dunia terhadap Islam tidak lari daripada panji hitam jihadi. Atau paling kurang pun, Islam kini ditakrifkan dengan budaya, bahasa dan amalan bangsa Arab. Kita di Malaysia tidak terkecuali, tidak terlepas daripada melihat Islam melalui kepompong semacam itu, terutamanya apabila isu hudud giat dibicarakan.

Justeru apabila tibanya delegasi DAP ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul untuk transit ke Tunisia, saya terkejut sebentar kerana tidak nampak perkataan Arab, mahupun fesyen Arab yang begitu mendominasi dunia Islam.

Saya terlupa sejenak kehebatan bangsa Turki dengan empayar Islam Uthmaniyah yang pada zaman kegemilangan berjaya menakluki hampir seluruh Mediterranean dari tenggara Eropah ke utara Afrika dari apa yang dikenali sebagai “Fertile Crescent” yang merangkumi Mesir, Palestin, Jordan, Lebanon, Iraq sehingga ke utara Teluk Parsi.

Uthmaniyah yang menjadi jambatan penghubung Timur dan Barat selama lebih 600 tahun, menjadikan bahasa Turki bukan Arab sebagai bahasa rasmi. Budayanya, daripada makanan sehingga fesyen, lebih kepada Persia dan Eropah berbanding Arab. Pada zaman itu, Yahudi tidak begitu dimusuhi Islam bukan seperti yang digambarkan pada hari ini.

Dunia sukar membayangkan Islam sedemikian walhal ia merupakan empayar Islam yang terakhir pernah dunia lihat dalam sejarah. Apabila kami tiba di Tunisia, kejutan baru pula menanti.

■ Kunjungan DAP ke dunia Islam

Kunjungan DAP ke dunia Islam Tunisia dan Turki kali ini adalah bersambung dari April lalu di mana Lim Kit Siang mengetuai rombongan pemimpin dan wakil rakyat DAP ke Jordan dan Mesir. Tujuannya adalah mendalami ilmu tentang dunia Islam dan politik Islam; topik penting untuk masa depan Malaysia.

Rombongan ini sekali lagi diketuai Lim dan dianggotai antara lain Teresa Kok, Zairil Khir Johari, Liew Chin Tong (hanya ke Turki) dan penulis sendiri. Rombongan kali ini turut disertai Dr Syed Azman, Adun Batu Burok, Terengganu.

Cerita Tunisia ialah cerita yang kita kenal amat sangat. Pernah dijajah kuasa Barat selepas kejatuhan Empayar Islam Uthmaniyah, Tunisia mencapai kemerdekaan pada 1956, dan sejak itu selama hampir 55 tahun ditadbir parti nasionalis yang sama.

Negara ini selama ini memang ada pilihan raya namun diselubungi penipuan oleh rejim pemerintah. Pemimpin yang paling lama berkuasa lebih 20 tahun dan tempoh pemerintahan rejim dicemari pelbagai skandal korupsi, kronisme, salah guna kuasa kerajaan serta penindasan suara alternatif. First Lady-nya pula kuat shopping, sehingga menggunakan jet peribadi milik kerajaan terbang ke sana sini untuk membeli belah.

Pada 2011, rakyat mula membangkang dengan keras sehingga tercetusnya Revolusi Tunisia di mana jutaan rakyat, anak muda, mahasiswa, peguam, golongan pekerja keluar berdemo di jalan raya. Revolusi Tunisia inilah yang merupakan pencetus kepada apa yang dunia kenali sebagai “Arab Spring”.

Akhirnya rejim lama tersungkur di bawah kegagahan kuasa rakyat. Di sinilah sebenarnya bermula cerita kami ke Tunisia.

■ Lim Kit Siang dengan Rachid Ghannouchi

Sesampai di Tunisia pada 12 Oktober, tokoh pertama yang kami kunjung tidak lain tidak bukan Rachid Ghannouchi, pemimpin besar Hizbul en-Nahda, ataupun parti pembaharuan. Ghannouchi yang berjambang dan berambut putih dengan kemeja putih bersih dan kot biru ada penampilan seorang pemikir dan negarawan.

Kit Siang dan Ghannouchi berjabat tangan tanda solidariti. Kedua-duanya sebaya, berumur 74 tahun. Mereka masing-masing “grand old man” di persada politik Malaysia dan Tunisia.

Bera2 da dalam kehadiran tokoh ini suatu pengalaman yang sukar digambarkan.

Kedua-dua mereka mula berkecimpung dalam gerakan politik negara masing-masing pada lewat 1960-an. Pernah meringkuk penjara rejim bukan sekali tetapi dua kali namun dalam setengah abad perjuangan, mereka masih tidak serik dipukul badai penindasan demi pegangan terhadap prinsip yang diperjuangkan.

Mungkin sebab itu, saya lihat terjalin dengan semula jadi silaturahim di antara mereka walaupun ini kali pertama mereka bertemu. Mereka berdua agak fasih dengan perkembangan politik di negara rakan - Kit Siang dengan Tunisia, Ghannouchi dengan Malaysia. Masing-masing bertukar fikiran mereka tanpa was-was macam kenalan lama. Sudah tentu mereka begitu kenal dengan rejim yang tidak membenarkan kebebasan tidak akan mengehadkan kebebasan rakan mereka untuk meluahkan pendapat.

Ghannouchi sempat bertanya khabar tentang “rakan baiknya”, Anwar Ibrahim.

Kit Siang memberikan pandangan beliau terhadap “Islam of the future”: Islam masa depan.

Islam yang mampu memberikan konteks kepada perubahan zaman dan dunia dan bukan membantut perubahan tersebut. Islam yang inklusif dalam masyarakat plural masa kini. Islam yang mampu memberikan jawapan kepada soalan hari ini, dan bukan Islam yang menghalang orang bersoal.

Anak murid Ghannouchi, Dr Rafik Abdessalem, bekas menteri luar Tunisia selepas revolusi, yang bersama kami sempat mencelah:“Islam yang didokong Ghannouchi ialah Islam masa depan seperti yang dimaksudkan Lim. Ia Islam yang memberikan ruang untuk kepelbagaian, sama ada kepelbagaian agama ataupun etnik.”

■ Islam masa depan

Apabila Revolusi Tunisia berjaya menjatuhkan rejim Ben Ali pada 2011, parti Ennahda yang masuk pilihan raya pada Oktober 2011 berjaya mendapat 41% kerusi Parlimen dan merupakan parti terbesar. Ghannouchi dan Ennahda yang cenderung kepada Ikhwan Muslimin boleh membentuk kerajaan Tunisia yang baru. Dan sebagaimana hasrat gerakan politik Islam yang lain seperti FJP pimpinan Presiden Morsi di Mesir ataupun PAS pimpinan Hadi Awang di Malaysia, Ghannouchi boleh mendirikan kerajaan negara Islam dengan perundangan Islam iaitu syariah. Itulah jangkaan rakan dan lawan ketika itu.

Sebaliknya, Ghannouchi memilih untuk bersekutu dengan 2 parti sekular sosial demokrat bagi membentuk kerajaan. Ghannouchi tidak mengambil jalan Morsi di Mesir, jauh lagi jalan PAS di Malaysia. Adakah itu suatu pengkhianatan? Sudah tentu ada yang menjatuhkan label tersebut ke atas Ghannouchi sehingga lupa mereka yang melabel itu belum tentu mampu melalui apa yang telah dilaluinya dalam perjuangan Islam.

Saya sebenarnya pun merasa hairan terhadap keputusan Ennahda pada 2011 tersebut. Maklumlah, di Malaysia, kita diberitahu untuk sebuah gerakan Islam, begitu pentingnya melaksanakan hudud sehingga parti rakan boleh diketepikan.

“Encik Ghannouchi, boleh berikan komen mengapa Ennahda memilih jalan ini dan tidak mengikuti langkah Ikhwan di Mesir dan PAS di Malaysia?”

“Syariah bukan satu set undang-undang tetapi ia nilai seperti keadilan, kerahmatan dan kebebasan. Justeru kita kena melihat kepada nilai ini sebelum bicara pasal hukuman. Jika kita melihat Islam sebagai penghukuman maka itu membawa pandangan negatif kepada Islam

“Islam is not punishment but rahmat (mercy),” katanya.

Teringat saya kepada pengajaran Dr Mohammad Asri, mufti Perlis yang berkata:“Seorang Muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisme mengatasi jenayah (melalui hudud) semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.”

Beliau juga berkata:“Tujuan politik jauh lebih luas daripada hanya membincang cara memotong tangan pencuri. Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatut membincang bagaimana memastikan tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan kebajikan negara.”

Namun, saya tidak begitu “puas hati” dengan jawapan Ghannouchi tadi. Ini soal kuasa dan politik, masakan sanggup lepaskan kuasa begitu saja? Bagaimana pula dengan perjuangan berpuluh-puluh tahun sampai masuk penjara itu?

“Perpaduan ummah penting - Islam benci perang saudara. Dalam politik perlu ada konsensus ataupun permuafakatan pelbagai pihak. Bukan boleh memaksa ideologi kita ke atas orang lain. Kita menekan kepada konsensus, bukan paksaan. Tanpa konsensus, masyarakat akhirnya akan sama ada menuju ke arah pemerintahan kuku besi ataupun perang saudara.”

Tapi 98% rakyat Tunisia itu Islam (seperti Kelantan) - takkan tak dapat konsensus? Saya tanya pendapat Ghannouchi, apakah model perlaksanaan syariah yang paling baik sama ada dalam sejarah ataupun pada masa kini?

Saya tidak bersedia untuk jawapan yang bakal diberikan. Ini jahil saya terhadap Islam yang begitu meluas. Islam yang saya belajar tertakluk kepada Islam penanda yang disebut di atas.

“Kami tidak berada di luar syariah,” isytihar Ghannouchi.

“Jika kami memaksa masyarakat bergaduh, lawan satu sama lain, maka kami akan terkeluar daripada syariah. Kami melaksanakan Islam melalui ijtihad. Islam tidak boleh dilaksanakan dengan kaedah yang sama di semua tempat. Tunisia tidak sama dengan Malaysia, tidak sama dengan London. Islam perlu berdepan dengan realpolitik. Islam perlu berdepan dengan realiti, bukan imaginasi. Bukan masyarakat dan dunia yang dibayangkan tetapi dunia yang sebenar-benarnya.”

Ini Islam di luar jangkau penanda yang dipaksa ke atasnya oleh Barat, ekstremis, Isis dan Arab.

Maka benarlah kata-kata Ghannouchi kepada rombongan kami:”The best Islam is in the Quran not in history - not even in the first or second century (hijra), history is merely an experiment. We can take some things but not all things.”

Ini Islam masa depan. Islam yang bukan mengajak manusia memandang ke belakang tetapi ke depan, selaras dengan konsep eskatologi agama samawi yang memanggil umatnya menanti dan berusaha ke arah masa depan di mana kemenangan akan datang kepada segala yang baik. – 14 Oktober, 2015.

■ Penulis ialah ahli Parlimen Bukit Mertajam.

4 comments:

  1. Percaya sangat dengan dapigs ni , orang China Islam yang ramai kat China pun dilarang dari merkerjakan rukun ISLAM . YB kena beristaqamah dengan PAS walau pun pahit. Angkat mertabat ISLAM walau pun pahit .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jiwa klau dh sakit..semua pndapat org lain jd x btl belaka..

      Delete
  2. Anon 11.28 am ni jiwa kacau... Dah xboleh terima pendapat lian... Jenis sondor aja ni... Xkesah yg mana elok xelok..

    ReplyDelete
  3. sudah brapa lama turki dlm kuasaan kamal attartuk? orang yg tak tahu menilai sejarah zalimnya krajaan sekular kamal attartuk kpd gerakan menghidupkan semula suara Islam di sana akan bias dlm menafsir tuntutan wajarnya hukum Islam di martabatkan. kaji lah bagaimana Rasulullah SAW melaksanakan hukum Allah dlm negara Islam pertama di dunia walhal umat Islam ketika itu minoriti. sebabnya semua yg ngaku islam tunduk kpd tuntutan mendaulahkan Islam. kita yg ngaku Islam di malaysia ni memahami Islam dari kacamata orang yg tak beriman... pelik !!!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa