Jawap Balas Kpd Wan Mutalib
Alhamdulillah, paling tidak Kanda saya Dato Wan Mutalib Embong selaku AJK Pas Pusat sudi berbicara (menerusi surat terbuka) dengan saya.
Inilah yang saya tunggukan - tindak balas.
Beliau berani meletakkan nama beliau dan bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis.
Pertama, surat beliau banyak bertanya. Menunjukkan bagi beliau banyak perkara belum jelas kedudukannya.
Mengapa saya tidak menegur amalan kelulusan hutan simpan tebang habis untuk tujuan perladangan dengan jumlah yang semakin luas dari masa ke semasa sewaktu saya dalam kerajaan?
Adakah saya tidak menegur selama ini?
Saya berpendapat lebih baik untuk Dato Wan bertanya kepada MB Kelantan sekarang, atau anggota Dewan Harian (DH) di masa lalu dan anggota J Kuasa Kecil Perhutanan (JKKP) pada masa saya menjadi anggotanya daripada membuat pertanyaan terbuka seperti ini.
Ketika seorang Adun (sekarang telah dilantik menjadi Exco) hendak dilantik sebagai anggota tambahan JKPP, saya telah meminta DH menentukan dasar pemberian hutan simpan kekal tebang habis ini untuk diguna pakai oleh anggota JKKP.
Seingat saya, YAB MB sekarang mempengerusikan mesyuarat tersebut. Beliau waktu itu adalah Timbalan Pesuruhjaya Jaya 1 dan Tok Guru tidak hadhir. Ia berlaku pada akhir 2012 atau sekitarnya.
Tidak ada polisi diputuskan.
Bila YB anggota tambahan ini pertama kali menghadiri mesyuarat JKKP, seperti biasa saya sekali lagi berhujah dalam mesyuarat tersebut menolak cadangan-cadangan kelulusan atas tajuk ini.
Hujah saya tidak dibantah. Apa yang berlaku ialah anggota baru ini membacakan senarai syarikat untuk kelulusan.
Saya memprotes secara dalaman dengan tidak lagi menghadiri mesyuarat JKKP sampai DUN dibubarkan pada tahun 2013. Tiga atau empat mesyuarat selepas itu tidak lagi saya hadhiri. Rekod mesyuarat berkenaan boleh disemak.
Tujuan?
Kalau saya ikut serta, sampai bila bila saya terperangkap dan tidak dapat bersuara.
Sejak itu, kelulusan atas tajuk ini kian bertambah.
Rekod-rekod boleh disemak dan InsyaAllah akan berbicara dengan sendirinya.
Adakah sebelum itu saya tidak berbuat apa-apa?
Saya telah melakukan apa yang terdaya dalam berbagai cara yang saya tidak bercadang memanjangkan pada peluang ini. Sebahagian darinya telah saya nyatakan dalam wawancara yang disiarkan Sinar Harian baru lalu.
Kedua, adakah kerana pernah menjadi sebahagian dari sistem itu pada masa lalu, saya hilang kebebasan saya selama-lamanya untuk menegur sesuatu yang saya fikir buruk?
Apatah lagi ia kian bertambah hari ke hari dengan kelulusan baru.
Saya yakin itu bukan prinsip Dato Wan yang saya kenal.
Prinsip itu hanya anutan Fir'aun. Fir'aun menggunakan 'kesalahan' lalu Nabi Musa a.s menyebabkan seorang pemuda terbunuh untuk menghalang Nabi Musa bersuara.
(Al Qur'an - Surah As Syua'ra, ayat 19)
Apa lagi kelulusan tebang habis adalah sentiasa berkembang dengan jumlah keluasan yang semakin bertambah.
Di manakah hadnya?
Adakah adanya tambahan-tambahan kelulusan baru sekalipun, tiada teguran boleh dibuat sampai hutan Kelantan pupus sepenuhnya?
Terbaru adalah seluas 4,500 ha hutan simpan hanya untuk satu syarikat.
Kini, giliran saya bertanya kepada Dato Wan selaku Ajk Pas Pusat.
Apa dasar Pas terhadap alam sekitar?
Apa dasar Pas terhadap pemanasan global?
Apa dasar Pas terhadap pembalakan tebang habis?
Apa dasar Pas terhadap pemberian hutan bersekala besar tanpa tender?
Apa janji Pas dalam manifesto mengenai pemeliharaan alam?
Apa dasar Pas terhadap cara pembahagian kekayaan negara/negeri yang hanya melebihkan orang yang sama?
Adakah Dato Wan tahu berapa keluasan hutan simpan di Kelantan yang telah diluluskan?
Adakah Dato Wan mengambil tahu korupsi di pelbagai peringkat yang melatari amalan ini?
(Dalam kesempatan ini saya tidak bercadang menghuraikannya)
Bukankah dulu Dato Wan atau pimpinan Pas membesar-besarkan pengurusan
( baca penyelewengan) balak oleh pimpinan Umno?
Adakah kini bila Pas melakukannya kita harus berdiam diri?
Adakah Pas Pusat pernah meminta taklimat oleh Pas Kelantan diberikan?
Saya adalah anak Kelantan. Saya bertanggungjawab membantu menjaga kepentingan negeri tanah tumpah saya lebih dari pertimbangan yang lain.
Lagi pun, apa yang ditegur mempunyai ruang diperbaiki.
Sepanjang kritikan saya, saya lebih banyak menumpukan kepada keputusan-keputusan terkini kerajaan dengan tujuan di sana ada sanubari yang masih sudi mendengarnya.
Sekalipun serangan untuk membunuh karekter dilakukan ke atas saya kiri dan kanan, apa kan daya. InsyaAllah selagi hayat dikandung badan, saya dayung jua teguran ini, mudah-mudahan kita semua terselamat dari azab Allah dunia dan akhirat.
Nota:
Saya menerima surat terbuka Dato Wan Mutalib pada malam Himpunan 60k (17 Oktober 2015) dari orang yang tidak dikenali.
Saya cuba menalipon dan menghantar pesanan sms kepada nombor Dato Wan memohon pengesahan beliau atas tulisan itu, tetapi tidak berjawab sampai hari ini.
Saya menyimpan jawapan balas agar tiada mudharat lebih besar berlaku.
Rasa hormat saya terhadap pemimpin yang mempunyai 'stature' seperti Dato Wan meminta saya tidak keburu dalam melepaskan peluru.
Saya beranggapan, pemimpin sehebat beliau memilih pendekatan 'diplomatik' ketimbang 'ofensif'. Melalui secawan kopi, mungkin saya boleh memberikan latar belakang kritikan saya daripada berbalas surat terbuka dengan beliau.
Malangnya, saya mendapat tahu tulisan beliau akhirnya disiarkan menerusi Harakah terbaru.
Saya tidak mempunyai pilihan melainkan menyiarkan jawapan saya.
Moga Harakah dapat berlaku adil dengan ikut menyiarkan jawapan saya ini.
Terima kasih.
Husam Musa
14 Muharram 1437/27 Oktober 2015
bila bab amanah dlm pimpinan, selalu dijaja kisah umar ibn Aziz yg nak guna pelita minyak negara pun dia takut. bgmnlah agaknya rupa umar ibn Aziz. adakah serban beliau seberat 10 kilo krn zuhudnya?
ReplyDeleteYB Husam dah semak dgn roc butiran sykt2 yg terlibat? siapa razak abas? dilaporkan dia ni rapat dgn pemimpin2 pas Kelantan.
Pada 24 Aug 2009, Nik Aziz menandatangani satu perjanjian dengan sebuah syarikat bernama RED CARPET WORLDWIDE Sdn Bhd. Syarikat ini mendapat kontrak tanpa tender untuk menganjurkan sebuah pesta bernama Kelantan Fiesta 2009.
Red Carpet dimiliki oleh anak saudara Razak Abas, kroni besar Nik Aziz. Razak Abas adalah pemain balak terbesar di Kelantan yang sering mendapat balak menerusi salah satu dari 36 buah syarikat miliknya.
https://selamatkanmalaysia.wordpress.com/2010/02/25/nik-aziz-lulus-atas-angin-rm200000-kepada-anak-saudara-razak-abas/