Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, October 30, 2015

UMNO dah kucar haya........nada dan tingkah berbeza

Sumber dedahkan Muhyiddin bakal digantung sebelum perhimpunan agung Umno 
OLEH MD IZWAN
Published: 30 October 2015 7:12 AM
Susulan kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) mengenai masa depan beberapa pemimpin Umno, sumber berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) bakal digantung keahlian Umno sebelum parti itu berhimpun Disember ini. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Oktober, 2015.

Umno bakal menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum perhimpunan agung pada Disember, kata sumber, disebabkan serangan berterusannya terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi presiden parti Melayu itu.
Sumber parti mendedahkan, Majlis Tertinggi (MT) Umno sedang menyiapkan kertas pertuduhan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin dengan bukti-bukti kesalahan dilakukan Muhyiddin.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan Muhyiddin daripada terus menyerang kepimpinan Umno semasa perasmian melibatkan sayap parti Disember nanti.
Difahamkan, keputusan penangguhan kali kedua mesyuarat MT pada 30 Oktober juga dikatakan bagi membuat persediaan menyingkir Muhyiddin.
Antara kesalahan dikatakan dilakukan Muhyiddin ialah mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB dan berterusan mempersoalkan derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib walaupun penjelasan sudah diberi.
"Muhyiddin akan digantung sebelum perhimpunan Disember nanti, terdapat kebimbangan di kalangan pimpinan tertinggi parti beliau akan terus mengkritik semasa perasmian sayap nanti.
"Kertas pertuduhan untuk dibawa ke Lembaga Disiplin sedang disiapkan," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.
Dengan penggantungan ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan memangku jawatan timbalan presiden sehingga pemilihan pada 2018 nanti, kata sumber.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos berkata tindakan Muhyiddin membelakangkan keputusan MT sebagai tidak beretika.
"Tan Sri Muhyiddin bangkitkan isu RM2.6 bilion dan isu 1MDB, perkara itu sudah dijawab semasa mesyuarat MT lepas, malah beliau sudah perjelaskan dan bersetuju untuk bersama dengan kepimpinan tapi selepas keluar mesyuarat lain pula yang dikatanya.
"Orang sebegini tidak beretika dan pembohong, depan cakap lain, belakang cakap lain," katanya kepada The Malaysian Insider, mengulas mengenai mesyuarat MT terakhir 9 September lepas.
Jamal juga mendakwa, majoriti ketua Umno Bahagian dalam kumpulan perbualan Telegram termasuk Bagan Datoh, berada dalam perbincangan mengenai sama ada wajar tindakan diambil terhadap Muhyiddin atau tidak.
"Memang kita ada kumpulkan pandangan daripada ketua bahagian, jadi sewajarnya mereka yang berada dalam parti dan menjadi ‘gunting dalam lipatan’ seperti dalam ucapan perdana menteri semasa pembentangan bajet lalu perlulah diambil tindakan.
"Majoriti, semua minta yang dikatakan gunting dalam lipatan ini diambil tindakan, dipecat, gantung dari jawatan kerana ia akan merosakan parti," kata Jamal merujuk kepada kenyataan Najib semasa pembentangan Bajet 2016 lalu.
Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baru, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (gambar, kanan)
menggesa isu "gunting dalam lipatan" dijelaskan dan didedahkan supaya ahli tahu siapa dimaksudkan Najib.
"Kita tidak tahu siapa gunting dalam lipatan, keputusannya kita memang tidak mahu ada gunting dalam lipatan dalam Umno.
"Kita tidak tahu yang dimaksudkan, jadi perdana menteri kena jelaskan betul-betul siapa yang dimaksudkan terutamanya dengan kenyataan yang hebat semasa bajet, semasa dalam Parlimen,” kata Aziz yang juga ahli Parlimen Kulim Bandar Baru.
Rabu lepas, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata 7 pemimpin itu berisiko digantung kerana memecah belahkan parti.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, sebaik sahaja siasatan selesai, ia akan dibentang kepada Majlis Presiden sebelum lembaga presiden Umno membuat sebarang keputusan.
"Sepanjang tempoh itu kita akan gantung keahlian mereka," katanya.
Selain Muhyiddin, Aziz juga dikatakan berada dalam senarai 7 nama diwar-warkan Ku Nan itu.
"Tengku Adnan perlu segera ambil tindakan jika benar ada 7 orang pemimpin itu," kata Aziz.
Aziz berkata, langkah itu adalah yang terbaik jika Umno merasakan ia dapat menggembalikan kestabilan kepada parti.
Bagaimanapun Aziz menjelaskan, beberapa proses perlu dilalui terlebih dahulu jika mahu mengambil tindakan disiplin terhadap Muhyiddin dan mana-mana daripada 7 pemimpin itu.
"Pertama, kenal pasti kesalahan dan kedua, bawa ke Lembaga Disiplin. Kemudian MT perlu membuat keputusan sama ada menyokong tindakan diambil atau tidak... tidak kisah sama ada pecat, gantung atau diberi amaran," terangnya.
Sementara Naib Ketua Umno Bahagian Kota Raja Mohd Hamidi Abu Bakar tidak melihat langkah mengambil tindakan ke atas Muhyiddin satu tindakan yang dapat memberi kelebihan kepada parti Melayu itu.
Hamidi sebaliknya mencadangkan Umno mengadakan pemilihan semula jika benar-benar mahu menyelesaikan kemelut tanpa menyebabkan kesan lebih buruk.
"Adakan saja pemilihan tahun depan, kalau akar umbi tidak suka, kita boleh tolak Muhyiddin dan ganti dengan yang lain.
"Rasanya akar umbi akan akur dengan cara macam itu. Kalau kita merasakan yang lama bagus, kita pilih, tapi kalau rasa tidak bagus kita ganti dengan orang lain," katanya.
Pemilihan Umno ditangguh selama 18 bulan sehingga selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ahli MT Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim mengatakan tidak tahu mengenai 7 orang dimaksudkan Ku Nan.
"Saya tidak ada dengar mengenai itu. Saya tidak mempunyai sebarang info walaupun setiausaha agung adalah kawan baik saya.
"Ada orang cakap-cakap mengenainya (7 orang digantung), tapi saya tidak tahu," kata Shahidan semasa ditemui di Parlimen pada Khamis.
Najib ketika ini berdepan cabaran paling besar sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, diserang dalam isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion.
Beliau merombak Kabinet pada Julai lalu, langkah dilihat meneutralkan pengkritik dalam kerajaan, akan tetapi, Muhyiddin kini meneruskan kritikan terhadap Najib dari dalam Umno. – 30 Oktober, 2015

Saya akan pertahankan Muhyiddin - Nazri Aziz

Astro Awani |  Oktober 30, 2015 12:07 MYT   

Saya akan pertahankan Muhyiddin - Nazri Aziz
Nazri berkata berkata UMNO harus berjiwa besar untuk membenarkan perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahlinya. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tetinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berikrar akan melakukan apa saja untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti itu sehingga pemilihan akan datang, lapor Malaysiakini.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dilaporkan berkata UMNO harus berjiwa besar untuk membenarkan perbezaan pendapat di kalangan ahli-ahlinya.


"Kami sepatutnya adakan mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini (30 Oktober). Tetapi dalam mesyuarat akan datang, saya akan bersuara. Saya akan usahakan terbaik supaya dia (Muhyiddin) tidak digantung.


"Sebagai sebuah parti yang bakal meraikan ulang tahun ke-70 tahun depan, kita mesti mempunyai ruang yang cukup untuk menerima pendapat yang berbeza," Nazri dipetik sebagai berkata.


Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, Muhyiddin harus dibiarkan kekal sebagai timbalan presiden sehingga pemilihan parti akan datang.


"Biarlah dia berkhidmat hingga tempoh penggalnya berakhir. Kemudian, saya akan minta Zahid (Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) untuk melawannya. Saya pasti Muhyiddin akan kalah," katanya.


Bagaimanapun Nazri mengakui beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan Muhyiddin bakal dikenakan tindakan dalam masa terdekat.

Sementara itu portal The Malaysian Insider melaporkan UMNO akan menggantung Muhyiddin sebelum perhimpunan agung parti itu pada Disember depan.

Ia ekoran serangan berterusan Muhyiddin terhadap Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu wang derma RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa