TMI - Published: 29 October 2015 10:14 AM
Jika komplot menjatuhkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa didalangi 140 ketua Umno bahagian itu benar, ia satu penghinaan kepada ahli akar umbi yang memilihnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 29 Oktober, 2015.
Sekiranya komplot untuk menjatuhkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa didalangi 140 ketua Umno bahagian itu benar, ia satu penghinaan kepada ahli akar umbi yang memilih beliau, kata Ketua Pemuda Umno Pagoh Mohd Zaid Abd Rahman mengulas dakwaan seorang ketua bahagian yang dilaporkan semalam.
Zaid dilaporkan akhbar Sinar Harian hari ini berkata, tindakan tersebut tidak boleh diterima dan hanya akan memberi kesan buruk kepada Umno sendiri.
“Menyingkirkan Muhyiddin akan menghakis kepercayaan ahli, terutama golongan muda, terhadap Umno itu sendiri, kerana beliau amat dikenali sebagai pemimpin yang banyak berjasa dan menjadi aspirasi kepada golongan muda, juga berani menyatakan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata, Muhyiddin dikenali sebagai pemimpin ultra Melayu yang konsisten, sambil menambah, Umno tidak boleh hilang sokongan dan kepercayaan daripada orang muda dalam usahanya memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.
Semalam, Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunus dilaporkan akhbar sama mendakwa, wujud "gerakan senyap" untuk menyingkirkan Muhyiddin di mana lebih 100 ketua bahagian parti seluruh negara mengadakan pertemuan tertutup bagi membincangkan tujuan itu.
Zaid berkata, biarlah akar umbi yang menentukan nasib Muhyiddin pada pemilihan parti akan datang atau satu mesyuarat tergempar diadakan mengenai perkara itu, bukan mengatur rancangan melalui satu komplot.
“Sedarlah, semua krisis kepimpinan dan kepercayaan dalam Umno sekarang ini sepatutnya tidak berlaku, melainkan komplot itu sudah tentu ditaja secara terancang oleh orang tertentu bagi meraih laba politik dan keuntungan besar.
“Teori domino menyaksikan parti lain mengalaminya, dan Umno serangan terakhir mereka untuk melaga-lagakan orang Umno, memburukkan keadaan, seterusnya melemahkan parti,” beliau dipetik berkata.
Sementara itu, ketua Umno Bahagian Paya Besar pula menjelaskan, tiada sebarang komplot untuk menyingkirkan bekas timbalan perdana menteri yang lantang bersuara itu, sebaliknya kebanyakan ketua Umno bahagian kecewa dengan sikap Muhyiddin.
Datuk Abdul Manan Ismail berkata, tindakan Muhyiddin yang tidak selari dengan kata-katanya, seperti memburuk-burukkan Umno dan pada masa sama, menyatakan ingin mempertahankan Umno, membuatkan ramai ketua bahagian bosan dengan "sandiwara" itu.
“Situasi sekarang ini, terlalu banyak cerita buruk yang diperkatakan mengenai parti. Ini memberikan gambaran tidak baik kepada pemimpin dan ahli di peringkat bawahan.
"Beliau adalah pemimpin tertinggi dan seharusnya menunjukkan sikap kesetiaan terhadap parti dan juga presiden,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Manan pada masa sama menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang cuba menagih simpati dan menganggap dirinya dianiaya mereka yang tidak menyokongnya.
“Kalau nak jadi pemimpin, kita kena telus, jujur dan ikhlas. Bukan di depan lain, di belakang lain,” katanya sambil menambah, dakwaan untuk menyingkirkan Muhyiddin itu tidak benar kerana semua orang bijak menilai dalam memilih pemimpin. – 29 Oktober, 2015.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa