Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, October 6, 2015

Untuk benar-benar no. 2 UMNO: Zahid ada dua pilihan

Dua pilihan untuk jadikan Zahid benar2 'Nombor 2' dalam Umno
Oleh Shahbudin Husin
Selasa, 06 Oktober 2015 08:42
Semalam Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dijadual mempengerusikan mesyuarat Pusat Penyelarasan dan Operasi Pilihanraya (GCOC) di ibu pejabat UMNO, tetapi tiba-tiba ia ditangguhkan tanpa sebarang sebab diberikan.
Andaian umum melihat penangguhan ia lebih kerana pendedahan media dua hari sebelum mesyuarat itu berlangsung kerana ia kebiasaannya dikendalikan oleh Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO tetapi dikatakan diberikan kepada Zahid untuk mempengerusikannya.
Surat panggilan mesyuarat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor dengan mengatakan ia akan dipengerusikan oleh Zahid Hamidi bukan saja bermakna cuba mengenepikan kedudukan Muhyiddin Yassin, malah seperti mahu memberikan peranan sebagai orang nombor dua dalam parti kepada Timbalan Perdana Menteri secara "percuma" untuk menyesuaikan dengan kedudukannya dalam kerajaan ketika ini.
Sebelum ini Muhyiddin juga sudah diketepikan peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Disiplin UMNO yang amalan biasanya akan mengadakan mesyuarat sebelum MT bersidang apabila ia digantikan dengan mesyuarat khas Biro Politik yang dipengerusikan sendiri oleh Najib.
Ternampak bahawa sejak penyingkiran Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi terus dikekalkan sebagai Timbalan Presiden, ketidaktentuan dan kecelaruan mulai berlaku dalam UMNO.Sementara Muhyiddin dikekalkan jawatanya, namun peranannya diabaikan serta cuba dirampas satu demi satu.
Itu belum diambil kira lagi dengan ketidaktentuan sama ada Muhyiddin mahu diberikan ruang atau sebaliknya merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada Disember nanti. Najib mungkin bimbang jika Muhyiddin diberikan ruang itu, ucapannya akan bernada kritikal dan lebih mirip pembangkang berbanding menyokong segala dasar kerajaan yang dipimpinnya.
Namun tugas perasmian itu tidak boleh diberikan kepada Zahid kerana beliau masih Naib Presiden lagi. Kalau mahu diserahkan kepada Ketua sayap masing-masing merasmikannya, ia turut kelihatan janggal dan diluar amalan yang sudah biasa dilakukan sebelum ini.
Begitu juga dengan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO nanti, Najib juga mungkin sedang memikir-mikir sama ada mahu memberi ruang kepada Muhyiddin atau tidak. Jika Muhyiddin berterusan menunjukkan sikap tidak sebulunya dengan Perdana Menteri, memberi peluang berucap seperti memberi promosi percuma kepada Muhyiddin menonjolkan dirinya.
Hakikatnya selagi ada dua orang yang berbeza di jawatan nombor dua antara kerajaan dan UMNO, kecalaruan dan ketidaktentuan akan terus berlaku. Bayangkan jika berlaku sehingga pilihanraya umum dan pemilihan UMNO yang dijadual diadakan pada tahun 2018 akan datang.
Sebab itu apabila Tun Mahathir memecat Anwar Ibrahim daripada kerajaan pada 1998, ia turut diikuti dengan penyingkiran daripada UMNO juga. Apa pun cabaran yang berlaku selepas itu, ia adalah lumrah dalam proses mengekalkan kuasa.
Dari segi politiknya, ketidaktentuan dan kecelaruan ini adalah kerana kelemahan Najib yang hanya berani menyingkirkan Muhyiddin daripada kerajaan, tetapi tidak cukup kekuatan untuk menyingkirkan Timbalan Presiden itu daripada UMNO.Najib sepatutnya berani memecat atau menggantung keahlian Muhyiddin sebaik menyingkirkannya daripada kerajaan dan mengambil kesempatan daripadanya untuk terus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam UMNO.
Dengan Zahid yang sudah dijadikan Timbalan Perdana Menteri dan diberikan pula tugas memangku jawatan nombor dua kiranya Muhyiddin dipecat, sudah tentu usaha mengukuhkan lagi kekuatan UMNO menjadi lebih mudah, meskipun mungkin terpaksa bergelut cabaran untuk beberapa lama bagi memberi penjelasan kepada akar umbi.
Hakikatnya, menghadapi orang yang sudah dipecat jauh lebih mudah jika dibandingkan berlawan dengan seseorang itu masih dalam jawatannya.Tetapi berbanding sekarang, ketidaktentuan dan kecalaruan akan berlarutan selagi Muhyddin kekal di jawatannya. Najib susah, Zahid lagi susah.
Sebagai Timbalan Presiden yang dipilih, mengekalkannya bererti kedudukan dan peranannya hendaklah dihormati. Semua urusan dalaman UMNO yang selama ini dikendalikan oleh Muhyiddin mesti dikekalkan kepadanya. Ia tidak boleh diserah sesuka hati kepada Zahid kerana kedudukannya masih lagi nombor tiga dalam parti bersama Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein.
Hanya ada dua pilihan bagi Najib merungkaikan kemelut ini, walaupun sebenarnya boleh dikira agak terlewat.Pertama, membangkitkan semula isu ucapan dan kritikan Muhyiddin terhadapnya sebelum ini berkaitan 1MDB dan wang RM2,600 juta untuk dibawa dalam MT dan seterusnya dihukum dengan pemecatan daripada UMNO atau penggantungan jawatannya sehingga pemilihan seterusnya.
Selepas itu, serahkanlah semua mandat pemangkuan jawatan Timbalan Presiden dengan senang hati kepada Zahid Hamidi. Zahid pun tentu lebih senang hati menerimanya.Kedua, mengembalikan semula tarikh pemilihan UMNO yang sudah dianjakkan ke tahun 2018 sebelum ini kepada tarikh asalnya iaitu tahun depan.
Ketika itu, hanya kira-kira setahun dari sekarang, Najib bolehlah memberi sokongan sepenuhnya kepada Zahid untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO sebagaimana mantapnya sokongan Tun Mahathir kepada Tun Ghafar ketika bertembung dengan Tun Musa Hitam dalam pemilihan 1987 dahulu.
Muhyiddin pula, berilah kebebasan kepadanya sama ada mahu mencuba bertanding jawatan Presiden UMNO, mengekalkan jawatan Timbalan Presiden yang disandangnya sekarang atau terus bersara daripada politik.
Jika tidak berani walau "sebiji habuk pun" untuk memilih salah satu daripada dua pilihan tersebut, maka belajarlah menghormati jawatan, hak dan peranan Muhyiddin

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa