Friday, June 3, 2016

Pas beku hubungan dengan PKR di Kuala Kangsar

PKR tikam belakang, Pas beku hubungan di Kuala Kangsar
03 Jun 2016 | HAZRI NAWAR
Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss

Pas Kuala Kangsar membekukan hubungannya dengan PKR serta-merta ekoran kehadiran pimpinan utama parti itu yang diketuai Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail pada Majlis Pengisytiharan Calon Pakatan Harapan malam tadi.

Yang Dipertua Pas Kuala Kangsar, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata Pas 'terguris dan terhiris' dengan tindakan PKR itu kerana Pas dan PKR dakwanya masih rakan tahaluf.

"Bagaimana Presiden PKR boleh hadir menyokong calon yang akan menentang rakan tahalufnya.

"Pada hemat saya, ianya satu tindakan,tikam belakang terhadap kami di Kuala Kangsar,dan merupakan satu pengkhianatan kepada,tahaluf siyasi yang diasaskan bersama," katanya dalam satu tulisan nukilannya hari ini.

Sehubungan itu katanya, kedudukan hubungan kedua-dua parti itu akan diserahkan kepada Badan Perhubungan Pas Perak untuk memutuskan tindakan lanjut.

Pendirian Pas Kuala Kangsar ini juga dilihat selari dengan usul Muktamar Dewan Muslimat Pas di Kelantan kelmarin yang mahu Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

Sementara itu, pada majlis yang berlangsung di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar malam tadi selain Wan Azizah, pimpinan PKR yang hadir termasuk Setiausaha Agung Rafizi Ramli, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Saifuddin Nasution.

Wan Azizah ketika berucap malam tadi turut menegaskan bahawa PKR memeberi sokongan penuh kepada calon Amanah sebagai mewakili Pajatan Harapan di sini.

"Inilah masa dan waktunya kami nyatakan setiakawan kami dengan sokong calon Pakatan Harapan daripada Amanah," katanya.

Selain PKR, program malam tadi juga turut dihadiri pemimpin DAP yang diketuai Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Setiausaha Publisiti Tony Pua dan penasihat DAP Perak Ngeh Ko Ham.

Sebagai ketua pembangkang, Dr Wan Azizah telah menyerahkan watikah perlantikan kepada calon Amanah di Kuala Kangsar, Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli bagi mewakili Pakatan Harapan.

Calon lelaki tunggal itu akan bertembung dengan dua calon wanita dari BN dan Pas pada PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Ahmad Termizi, 61, calon anak tempatan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dari University of Salford, United Kingdom dalam bidang Kesihatan dan Keselamatan Radiologi. Pemegang Diploma Fizik Pengionan dan memiliki Ph.D dalam bidang Fizik Perubatan dari University of Swansea, Wales.

Beliau juga bekas profesor di Jabatan Fizik Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Dalam NGO beliau pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat Ikram dan Setiausaha Biro Politik Ikram.
Wan Azizah ketika berucap di Kuala Kangsar telah dianggap sebagai menikam rakan tahalufnya dari Pas.- Foto Malaysia Dateline oleh Wan Zahari W. Salleh.

1 comment:

  1. awat beku kat kk...kat selangor macam biasa je....
    pelik sungguh cara pemikiran pemimpin pas..macam budak budak...
    di satu tempat ada hubungan..di satu tempat putus hubungan...
    kluk klek kluk sungguh

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa