Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, June 27, 2016

Harapan berkecai ke Putrajaya

Posted on Monday, June 27 @ 11:00:22 MYT by tokdalang
Oleh Lim Hong Siang

Parti pembangkang Malaysia pernah bergelut dalam situasi yang amat sukar sebelum "tsunami politik" tercetus pada 8 Mac 2008. Paling mengecewakan apabila pembangkang kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) Ijok, meskipun meletakkan calon berwibawa, Khalid Ibrahim untuk menghidupkan semula harapan pembangkang sebelum pilihan raya umum ke-12 (PRU12). 

Anwar Ibrahim pada ketika itu berceramah di tepi jalan, merayu agar pengundi memenangkan calon PKR itu untuk membawa "sedikit perubahan", dalam suasana politik yang tertekan itu. Ia disambut dengan tepukan, tetapi tidak dibalas dengan kertas undi.

Nasib bergilir selepas PRU12. BN pula tersepit dalam dilema yang berlanjutan. Malah langkah menggantikan Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib Razak tidak mengundang fenomena "Perdana Menteri Baru". Tanpa segan-silu Najib menyogok pengundi dengan janji peruntukan dana -- "You help me, I help you"-- namun tetap kalah apabila pengundi mempertahankan maruah diri dengan menolak suapan sedemikian. Apapun yang dilakukan, serba tidak kena.

Pilihan raya negeri Sarawak, pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar telah menjadi titik pusingan. Pembangkang yang dilambung dengan sokongan dan harapan sebelum ini, telah jatuh terjelepok ke atas tanah. Politik telah mengajar kita untuk menelan hakikat sungguhpun pahit. Pengajarannya, politik tidak berkembang bergantung kepada sejauh mana optimis atau pesimisnya kita. Padahal, tangan kita yang melakar wajah politik kita. Kaki kita yang menentukan sejauh mana kita jejakkan langkah masa depan kita. Ertinya, idea tanpa pelaksanaan hanyalah buih harapan yang menunggu detik saatnya pecah berkecai.

Gagal tawar harapan

Analisis optimis sebelum ini mencadangkan bahawa seandainya berlaku peralihan enam hingga 10 peratus undi, maka Pakatan Harapan bakal menawan Putrajaya dalam PRU14. Ia tidak mustahil, dengan skandal 1MDB dan RM 2.6 bilion, ditambah pula dengan pelaksanaan GST yang membebankan kos sara hidup rakyat. Malah, kawasan desa di pinggir bandar yang menjadi benteng BN sebelum ini akan jatuh ke tangan pembangkang, kerana harga getah, kelapa sawit dan sebagainya telah menjunam ke paras yang rendah.

Nampaknya kesemua faktor memihak kepada pembangkang, melainkan kegagalan Pakatan Harapan menangani hubungan dengan PAS, yang dijangka akan memecah-belahkan undi "anti-BN". Tetapi ada juga yang kekal optimis, mengandaikan faktor Mahathir mampu memacu momentum kepada Pakatan Harapan, lantas memahat paku terakhir ke keranda BN.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah menjawab segala-galanya. Pengaruh Mahathir tidak cukup besar sebagaimana yang diharapkan, sebaliknya Umno semakin bersatu mempertahankan Najib. PAS tetap menguasai kubu tradisionalnya, sementara Parti Amanah Negara (AMANAH) masih belum mampu menggantikan PAS buat setakat ini. Sentimen pengundi Cina semakin mendingin, pengundi muda keberatan untuk balik mengundi sehingga paras sokongan Cina terhadap Pakatan Harapan jatuh daripada kemuncaknya pada PRU13.

Jari dituding ke arah pengundi yang termakan dengan gula-gula yang ditaburkan sepanjang pilihan raya, sehingga terlupa bagaimana pengundi sanggup menghukum BN meskipun dijanjikan peruntukan dana dalam pilihan raya yang lalu. Hakikatnya, pengundi sanggup menukar undinya dengan gula-gula yang ditawarkan BN kerana kegagalan pembangkang untuk menawarkan wawasan dan harapan yang lebih besar. Seandainya pengundi dipersalahkan kerana tidak berpandangan jauh dan mementingkan diri, bagaimana pula dengan politikus pembangkang yang masing-masing kembali mempertahankan kubu tradisionalnya setelah menyedari harapan bersama untuk menawan Putrajaya sudah berkecai?

Seperkara lagi, peratusan pengundian yang rendah juga disebabkan prestasi pembangkang yang mengecewakan, sama ada dari segi politik kepartian mahupun dasar pemerintahannya. Tepuk dada tanya selera, berbaloikah seseorang pengundi membiayai tambang pengangkutan untuk pulang mengundi, sedangkan dia sedar bahawa nilai undinya akan disia-siakan setelah pembangkang berpecah?

Daripada segi dasar pula, model pembangunan negeri Pakatan Harapan seolah-olah tidak jauh bezanya berbanding BN, apatah lagi sesetengah projeknya juga merosakkan persekitaran alam. Ia sedikit sebanyak melunturkan semangat pengundi yang menaruh harapan agar Pakatan Harapan membawa perubahan besar. Malah ia memberi kesempatan kepada BN untuk menyebarkan propaganda bahawa tiada beza antara Pakatan Harapan dengan merea. Retorik sedemikian sudah memadai untuk menghakis sokongan terhadap Pakatan Harapan.

Langkah ke depan

Pembangkang harus bermuhasabah dalam hal rundingan sesama parti pembangkang. Seandainya persoalan ini gagal dirungkai sebelum PRU14, maka kemungkinan besar Pakatan Harapan akan hilang kerajaan negeri Selangor. Barangkali PAS juga akan kehilangan kerajaan negeri Kelantan, dan BN bakal mengembalikan majoriti dua pertiga dalam parlimen. Jikalau ramalan ini menjadi realiti, maka ia akan memberi laluan kepada persempadanan semula kawasan pengundian dengan penambahan kerusi yang memihak kepada BN.

Padahal, Pakatan Harapan agak kekok sepanjang PRK Sungai Besar. Kedua-dua parti AMANAH dan PAS yang bertanding adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor. Persoalan yang lebih mencabar, apakah senarionya untuk Pakatan Harapan dan PAS di Selangor menjelang PRU14? Adakah Pakatan Harapan akan meletakkan calon di kawasan PAS bertanding? Seandainya kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan negeri Selangor, apakah mereka akan bekerjasama dengan PAS untuk mengekalkan kuasa di Selangor?

Ia berbalik kepada soal rundingan antara Pakatan Harapan dengan PAS. Tiga formula disyorkan. Pertama, mengundang PAS masuk ke dalam Pakatan Harapan; kedua, kekal berasingan dan masuk gelanggang meskipun menyaksikan pertandingan tiga penjuru; ketiga, formula 3+1, Pakatan Harapan tidak terikat dengan PAS tetapi mencapai muafakat untuk mengelakkan perang tiga penjuru.

Seandainya tiada tekanan dalaman PAS, presidennya Hadi Awang dijangka tidak akan berunding dengan Pakatan Harapan. Maka jikalau Pakatan Harapan menghulurkan tangan, sudah tentu PAS akan mengenakan syarat-syarat bekerjasama yang memihak kepada dirinya, termasuk agenda pelaksanaan Hudud wajib termaktub dalam manifesto bersama Pakatan Harapan, atau PAS mahu bertanding di lebih kawasan berbanding PRU13. Sudah pasti cadangan sedemikian akan mencetuskan perselisihan dalam Pakatan Harapan kerana DAP akan membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan hudud. Pemimpin AMANAH dan PKR pula akan keberatan untuk melepaskan kawasan yang ditandinginya pada PRU13.

Masalah dengan formula kedua adalah PAS masih menguasai kira-kira 30 peratus undi Melayu. Jikalau PAS tidak memberi laluan kepada AMANAH, malah bertekad untuk bertanding di kawasan PKR, maka BN-lah yang akan mendapat manfaatnya. Ini kerana sistem first-past-the-post (FPTP) ini menobatkan calon yang mendapat undi tertinggi sebagai pemenang, sungguhpun jumlah undi daripada calon-calon yang lain lebih tinggi. Dengan kata lain, BN boleh menang dengan peratusan undi yang lebih rendah daripada 50 peratus, malah 33 peratus+1 undi sudah memadai, jikalau dua calon yang lain memperoleh 33% undi masing-masing dalam perang tiga penjuru.

Dari segi teori, nampaknya formula 3+1 adalah penyelesaian yang paling mungkin untuk mengurangkan kerosakannya ke tahap minimum. Pakatan Harapan dan PAS tidak terikat kepada agenda masing-masing, sekadar mencapai muafakat untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Walau bagaimanapun, dari segi realitinya, ia masih berdepan dengan halangan dan risiko, di mana mungkin ada pihak yang tidak akur kepada keputusan rundingan, dengan meletakkan calonnya pada saat-saat akhir dan menjurus kepada perang tiga penjuru.

Senario PRU14

Kita wajar bersedia untuk beberapa senario yang mungkin berlaku ketika PRU14. Jangan mudah kita lupa bahawa kegagalan pembangkang pada hari ini berpunca daripada kegagalan Pakatan Rakyat bertindak balas terhadap keputusan PRU13 pada awal pagi 6 Mei 2013. Pakatan Rakyat seolah-olah tidak bersedia untuk senario menang peratusan undi (50.1 peratus undi) tetapi kalah peratusan kerusi (40 peratus kerusi parlimen), sehingga ada pemimpin yang mahu ke jalan raya tetapi ada pula yang tidak sabar-sabar untuk mengangkat sumpah. Malah jelajah Blackout 505 kemudiannya juga menyaksikan perbezaan pandangan apabila sesetengah pemimpin menambat langkah kerana khuatir ia diambil kesempatan oleh pihak berkepentingan untuk mencetuskan rusuhan kaum.

Seandainya kita mahu mengambil iktibar daripada pengajaran di atas, maka beberapa persoalan wajar kita bincangkan sedalam-dalamnya, dan mencapai keputusan sepakat sebelum masuk gelanggang PRU14. Antaranya:

Pertama, apakah pembangkang akan menerima keputusan PRU14, jika sekali lagi BN menang dengan undi minoriti, tetapi merangkul majoriti kerusinya? Malah situasinya agak berbeza berbanding PRU13, kerana jikalau perang tiga penjuru gagal dihalang, maka sistem FPTP sememangnya membenarkan BN untuk menang dengan peratusan undi yang lebih rendah.

Kedua, seandainya beberapa muafakat tercapai di kalangan pembangkang, dan ia berakhir dengan bilangan kerusi yang diperoleh Pakatan Harapan dan BN tidak jauh bezanya. Kebetulan PAS yang menguasai 10-15 kerusi, menjadi kingmaker (penentu), dan kemungkinan PAS akan menggariskan agenda pelaksanaan hudud sebagai syarat kerjasama. Sudah tentu BN akan menerima apa sahaja selagi kekal berkuasa. Persoalannya, apakah Pakatan Harapan akan menerimanya, dengan mengambil kira pendirian DAP yang amat tegas dalam isu ini? Bagaimana pula dengan suara pengundi yang mengundi Pakatan Harapan, tetapi tidak bersetuju dengan agenda PAS ini? Jelas, jikalau isu ini dibincangkan hanya apabila ia berlaku, maka bersedialah kita untuk diperintah Umno-BN sekali lagi.

Tatkala burung unta meluncur di Lebuh Raya Persekutuan, jangan pula pemimpin politik kita memasukkan kepalanya ke dalam tanah. Padahal kita berdepan dengan saat-saat yang genting, kerana masalah yang terpampang di depan mata, lebih berat untuk bahu yang memikulnya. Jangan bandingkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dengan PRK Ijok. Itu nostalgia ketika susuk Anwar Ibrahim masih berada di luar penjara. Realitinya Anwar sedang meringkuk di penjara sekarang. Dan kini giliran kita sendiri untuk memperjuangkan nasib kita sendiri.

LIM HONG SIANG ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu serta penyunting buku Tsunami Cina: Retorik Atau Realiti?

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa