Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, June 23, 2016

Di sebalik dakwaan NOW, ini pula laporan Bernama

'Saya letak jawatan bukan sebab ditekan'
SH - 23 JUN 2016
Tan Sri Abu Kassim Tan Sri Abu Kassim Mohamed

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Tan Sri Abu Kassim Mohammad menegaskan, tiada tekanan daripada mana-mana pihak untuk beliau memendekkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya berakhir pada 4 Disember 2018.

Sebaliknya ia merupakan permohonan kali ketiga dibuatnya bagi mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya dan kali ini diluluskan oleh kerajaan, katanya.     

"Ini (permohonan) adalah atas permintaan saya. Saya telah menyatakan dalam kenyataan yang lepas-lepas, saya tidak akan bertindak mengundurkan diri atas mana-mana tekanan. Ini adalah jelas, berkali-kali saya nyatakan.

"Permintaan ini adalah atas kehendak saya terutamanya apabila saya mendapat peluang untuk memberi sumbangan di peringkat antarabangsa yang boleh meningkatkan nama Malaysia dan SPRM ke tahap lebih tinggi.

"Ini adalah satu peluang keemasan yang dapat membantu saya dan negara. Saya tidak boleh menolak begitu sahaja," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Abu Kassim, 55, tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini, seperti dimohonnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: KSN sah Abu Kassim tamat perkhidmatan mulai 1 Ogos]

Selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis, katanya.

Abu Kassim turut menjelaskan antara sebab beliau mempercepatkan penamatan tempoh kontraknya adalah kerana menerima tawaran daripada International Anti-Corruption Academy (IACA) sebagai pakar jemputan  di Universiti Pencegahan Rasuah di Austria, di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Katanya beliau juga akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai pensyarah, penyelidik serta memberi khidmat rundingan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya akan terus berkhidmat sebagai pegawai kerajaan sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020," kata Abu Kassim.

Abu Kassim yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Jan 2010, berkata beliau berpuas hati dengan semua siasatan SPRM, termasuk kes berprofil tinggi, sepanjang enam tahun perkhidmatannya.

Beliau juga berpuas hati dengan transformasi yang dijalankan suruhanjaya itu.

"Dengan kerjasama daripada pegawai-pegawai SPRM, transformasi yang dilaksanakan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa kerana  kaedah-kaedah yang digunakan membentuk perubahan jelas di dalam cara kerja agensi pencegahan rasuah di negara ini," katanya.

Apabila ditanya penggantinya, Abu Kassim berkata berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Sesiapa yang layak, sesuai, dan baik untuk organisasi ini akan dilantik," katanya.

Apabila diminta memberi nasihat kepada bakal penggantinya, beliau berkata: “Buat kerja betul-betul”.

Sementara itu, Abu Kassim menafikan bahawa terdapat pegawai SPRM yang akan bersara atau meninggalkan agensi itu bersama-sama beliau.

"Yang terdekat bersara wajib ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Mohd Shukri Abdull pada 3 Oktober ini.

"Shukri akan menghadiri kursus bermula hujung bulan Julai sehingga tamat tempohnya. Selalunya, pegawai-pegawai kerajaan akan menghadiri kursus yang dapat membantu mereka masa persaraan," katanya.

Abu Kassim menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka terhadap permohonan mempercepatkan penamatan kontraknya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan atas kepercayaan yang diberikan dalam melaksanakan amanah sepanjang enam tahun menerajui SPRM.

Abu Kassim yang berkhidmat di SPRM dan Badan Pencegah Rasuah (BPR - sebelum 1 Januari 2009) selama 32 tahun memegang pelbagai jawatan dalam SPRM termasuk sebagai pegawai penyiasat, Pengarah Bahagian Dasar, Penyelidikan dan Perancangan, Pengarah BPR negeri dan Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia.

Selain bergiat cergas dalam pelbagai aktiviti pencegahan rasuah, Abu Kassim merupakan ahli kumpulan pakar INTERPOL berkaitan dengan rasuah (IGEC) sejak tahun 1997.

Beliau juga terlibat dalam proses penyediaan kod etika penguatkuasaan undang-undang, Panduan Amalan Terbaik bagi ahli INTERPOL dan Standard Global untuk memerangi rasuah dalam perkhidmatan polis.

Di peringkat antarabangsa, Abu Kassim menduduki tempat keempat dalam senarai antara 100 orang yang berpengaruh dalam etika perniagaan bagi tahun 2010, indeks yang dikeluarkan oleh Ethisphere Institute, berpangkalan di New York. - Bernama

1 comment:

  1. Kalau ikan bilis mmg blh di ikhtiraf..tapi..kalau bab jerung...hancus

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa