Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, June 28, 2016

Abu Sayaf 'Robin Hood' Filipina?

Abu Sayyaf bahagi wang tebusan dengan penduduk kampung

  | June 28, 2016
Jesus Dureza berkata, tidak kira ke mana, Abu Sayyaf tetap mendapat sokongan dan perlindungan penduduk setempat kerana mereka mendapat habuan daripada wang tebusan diperolehi kumpulan pengganas itu.
Jesus Dureza
PETALING JAYA: Kumpulan pengganas Abu Sayyaf mampu bertapak di selatan Filipina kerana mereka mempunyai sokongan penduduk setempat yang turut mendapat habuan daripada wang tebusan dibayar keluarga mangsa culik.
Penasihat keamanan bakal Presiden Filipina, Jesus Dureza berkata, seorang tebusan wanita warga Filipina, Marites Flor yang dibebaskan kumpulan pengganas itu memberitahu, Abu Sayyaf akan membahagikan wang tebusan kepada penduduk kampung berhampiran kubu mereka.
Tambahan, ramai penduduk yang mempunyai saudara-mara menganggotai Abu Sayyaf dan sebaik sahaja tentera kerajaan mengadakan operasi ketenteraan, mereka akan memaklumkan kumpulan pengganas itu.
“Jadi, tidak kira ke mana, Abu Sayyaf tetap mendapat sokongan dan perlindungan penduduk setempat,” katanya dalam satu wawancara bersama stesen televisyen ANC yang dipetik Sin Chew Daily hari ini.
Beliau bagaimanapun percaya, Rodrigo Duterte yang bakal mengambil alih tampuk pemerintah Filipina pada Khamis ini mampu menyelesaikan masalah Abu Sayyaf berdasarkan kesungguhan politiknya yang kuat.
Abu Sayyaf yang disenaraihitamkan Amerika Syarikat sebagai kumpulan pengganas kini bergantung kepada aktiviti penculikan sebagai punca pendapatan dan aktif di sekitar Pulau Sulu serta Tawi-tawi.
Minggu lalu, Manila Times melaporkan Abu Sayyaf mendakwa hanya menerima wang tebusan 100 juta peso atau RM8.8 juta untuk membebaskan empat pemuda Sarawak manakala baki RM3.2 juta didakwa mungkin dikongsi bersama pegawai kerajaan dari Malaysia dan Filipina.
Pada 17 Jun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan sebagai menafikan polis menerima dan membayar wang tebusan RM12 juta kepada penculik kerana mereka langsung tidak tahu mengenai wang itu.
Jelasnya, keluarga mangsa banyak berurusan dengan ejen-ejen atau pihak ketiga dari Filipina yang dikatakan boleh membebaskan mangsa dan wang itu dipercayai diserahkan keluarga mangsa sendiri kepada pihak ketiga.
Pada 16 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu wang tebusan RM12 juta itu telah disalurkan kepada badan kebajikan tertentu yang sah di Filipina.
Adik-beradik, Wong Teck Kang, 31, dan Teck Chii, 29, bersama sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34, diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu sebelum dibebaskan pada 8 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa