Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, June 26, 2016

Ulasan: PAS congak majoriti Melayunya dan Politik Rasulullah vs budaya simplistik PAS

PAS dan congak majoriti Melayunya

June 24, 2016
Dalam bahagian pertama ini, penulis merungkai alasan mempertahankan pemerintahan 'majoriti Islam' yang kerap digunakan PAS mutakhir ini.
KOMEN
Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas menunjukkan pertandingan tiga penjuru hanya memanfaatkan Barisan Nasional (BN).
Namun, sikap PAS tidak menunjukkan ia mempelajari sesuatu dari keputusan ini.
Sebaliknya, pemikiran pemimpin dan pengikut tegar PAS sedang melalui proses nafi-rasionalisasi (deny and rationalise).
DAP dijadikan jembalang dan Amanah dituduh boneka DAP. Orang Melayu ditakutkan-takutkan: jika Pakatan Harapan memerintah, negara akan dipimpin DAP.
Pemimpin PAS tahu ini tidak benar. DAP sentiasa menerima peruntukan kerusi paling sedikit dalam pakatan pembangkang. Kalau pun DAP menang di kesemua kerusi yang ditandinginya ia masih tidak menguasai majoriti.
Justifikasi yang diberi watak-watak dalam PAS dalam mempertahankan tindakannya keluar dari Pakatan Rakyat dan bermanja dengan Umno ialah ia perlu demi kepentingan Islam.
Seorang lebai PAS berhujah, PAS menolak langkah September 16 Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana langkah itu dikatakan akan menjadikan orang bukan Islam majoriti di Parlimen.
Lebai ini mendakwa sebanyak 80 ahli Parlimen Sabah akan menyertai kerajaan baru pasca-September 16. Ini akan menjadikan ahli Parlimen beragama Islam golongan minoriti.
Maudu’ ucapan ini seolah-olah datang dari skrip yang disediakan Biro Tata Negara (BTN).
Mungkin si lebai ini gagal mata pelajaran ilmu hisab di sekolah rendah dahulu.
Sabah hanya mempunyai 24 kerusi Parlimen dan Sarawak pula mempunyai 31 kerusi. Jumlahnya ialah 55, bukan 80. Daripada 19 ahli Parlimen BN Sabah pada pilihanraya ke-12, hanya 10 adalah bukan Islam.
Sarawak pula mempunyai 19 orang ahli Parlimen BN bukan Islam.

Selain dakwaan salah mengenai ahli Parlimen dari Sabah, lebai ini turut membuat beberapa tuduhan palsu lain. Bahasa yang digunakannya kesat dan bengis. Sukar memahami bagaimana orang berpendidikan agama boleh bertindak sebegini.
Apa guna majoriti Islam
Seperti biasa, logik yang digunakan PAS ialah hujah perlunya mengekalkan majoriti orang Islam di Parlimen. Landasan kepada hujah ini ialah Islam akan terjamin hanya bila orang Islam menguasai majoriti dalam kerajaan. Sekiranya majoriti ini terjejas, Islam akan hancur.
Hujah ini kelihatan meyakinkan dan mudah diterima ramai orang Melayu yang tidak berpendidikan. Ia menjadi justifikasi kenapa dua parti Melayu terbesar, iaitu PAS dan Umno, perlu bersatu. Adakah hujah ini berasas?
Masa depan Islam bukanlah suatu yang tertakluk pada mana-mana bangsa. Kekuatan Islam terletak pada risalahnya. Malahan, jika kita meneliti negara di mana orang Islam adalah majoriti, keadaan rakyat mereka tidaklah membanggakan. Rasuah dan penyelewengan berleluasa. Penindasan berterusan. Golongan minoriti diabaikan dan sering menjadi mangsa keganasan.
Walaupun ada di antara negara ini turut melaksanakan hudud, pemimpin tertinggi terkecuali daripada undang-undang ini. Mereka dan ahli keluarga mereka hidup mewah dan berpoya-poya. Islam digunakan mengawal dan memperdayakan rakyat.
Adakah ini bentuk pemerintahan majoriti Islam yang kita inginkan?
Adakah pemerintahan majoriti Islam yang sebegini menggambarkan “rahmatan lil alamin”?
Di manakah komitmen dan keazaman membina satu masyarakat dan tamadun yang menegakkan keadilan sosial?
Hudud, negara Islam dan korupsi
Kenapa negara pemerintahan majoriti Islam tidak menjadi tauladan masyarakat yang bersih persekitarannya, terbuka para pemimpinnya, komited memelihara alam sekitar dan mementingkan institusi keluarga?
Apakah makna menjadi pemerintah majoriti sekiranya rasuah berleluasa, hutan ditebang sehingga menyebabkan banjir dan penyalahgunaan kuasa menjadi kebiasaan?
Mereka yang sepatutunya menguatkuasa undang-undang sibuk melindungi elit yang mencabul undang-undang. Keadilan diabaikan, rakyat yang bersuara ditindas tetapi wang tebusan yang hilang enggan disiasat dan pedofil memperkosa kanak-kanak tidak dapat dikesan.
Adakah ini pemerintahan majoriti Islam yang kita banggakan dan berjuang untuk kekalkan?
Dalam Al-Quran, hanya satu ayat menyebut mengenai hukum hudud. Tetapi terdapat 24 ayat yang menyebut mengenai keadilan. Nyata sekali menjamin keadilan itu tanggungjawab penting dan utama setiap orang beriman dan pemerintah yang ingin membawa masyarakat lebih hampir kepada Islam.
Tidak mungkin hukum hudud akan dapat ditegakkan dengan adil dalam sistem di mana rasuah menjadi lumrah dan agensi penguatkuasa undang-undang bertindak sebagai juak kepada pemerintah yang korup.
Orang miskin yang mencuri makanan dihukum tetapi mereka yang melenyapkan berjuta-berjuta dan berbilion-bilion dibiarkan.
Madah Pujangga merupakan nama pena seorang pembaca FMT.

Politik Rasulullah vs budaya simplistik PAS

June 25, 2016
Bersambung dari semalam, penulis menganalisa pandangan jauh politik Rasulullah dan membuat perbandingan tajam dengan politik PAS yang akhirnya akan memakan diri.
KOMEN
hijrah
Sekiranya kita meneliti sejarah hijrah Rasulullah s.a.w., kita akan dapati pemikiran politik baginda jauh lebih canggih dan proaktif.
Baginda tidak dikekang oleh congak jumlah pengikut yang simplistik. Sebaliknya, kejayaan Rasulullah s.a.w. adalah kerana kematangannya menghadapi realiti semasa.
Ketika baginda berhijrah ke Madinah, orang Islam di Madinah merupakan golongan minoriti. Masih terdapat ramai penduduk Madinah yang tidak memeluk Islam. Ini termasuklah golongan yang masih menyembah berhala, penganut agama Kristian dan suku-suku Yahudi.
Baginda tidak menjadikan statusnya sebagai minoriti sebagai kekangan. Sebaliknya, baginda menumpukan usaha mewujudkan satu gagasan untuk menyatukan semua kelompok di bawah pemerintahannya. Ini baginda lakukan dengan memahami golongan lain dan mewujudkan satu piagam yang melahirkan suasana kebersamaan. Ini memupuk satu “sense of common destiny” di kalangan seluruh masyarakat Madinah.
Strategi politik ini berkesan kerana baginda mempunyai kredibiliti, berwawasan dan memahami keperluan bertindak bijak dalam masyarakat majmuk Madinah. Bagi mereka yang tiada kredibiliti dan ketandusan idea, pemikiran mereka hanya setakat mencongak sama ada mereka majoriti atau minoriti.
Tidak dinafikan kesatuan di Madinah tergugat apabila ada di antara suku Yahudi yang mengkhianati perjanjian yang dicapai dan menyebelahi pihak musuh. Namun, ini adalah “exception” dan bukan norma di Madinah.
Ketika perang Khandaq, penduduk bukan Islam Madinah turut berperang di sisi tentera Islam mempertahankan Madinah. Malahan, perang Ahzab merupakan peperangan di antara dua pakatan. Satu adalah barisan yang dipimpin oleh golongan Quraish Makkah dan disertai suku-suku yang bersekutu dengannya. Satu lagi ialah pakatan yang dipimpin Rasulullah s.a.w. yang mempertahankan Madinah.
Selari dengan risalah “rahmatan lil alamin”, Rasulullah s.a.w. meletakkan dirinya sebagai penyatu semua golongan dari berbagai bangsa dan agama yang terdapat di Semenanjung Arab ketika itu. Inilah sebabnya masyarakat Madinah menjadi sebuah masyarakat majmuk yang begitu berjaya dan dinamik.
Baginda melihat jauh ke hadapan dan memahami kerelevanan Islam bergantung kepada menjadikan Islam relevan kepada ummat Islam dan juga golongan bukan Islam.
Baginda bukan pejuang “satu agenda” untuk satu bangsa tetapi benar-benar membawa Islam kepada seluruh alam.
Selain membina gagasan menyatukan Madinah, strategi yang digunakan Rasulullah s.a.w. ialah mencari peluang memecahkan barisan yang dipimpin Quraish. Ini dilakukan baginda melalui perjanjian Hudaybiyah yang memberi kebebasan kepada pihak Islam untuk menyampaikan dakwah Islam kepada suku-suku lain di Semenanjung Arab.
Sebelum Hudaybiah, Rasulullah s.a.w. menghadapi kesukaran menyampaikan dakwah baginda kepada suku-suku lain kerana kesetiaan mereka kepada Quraish di Makkah.
Hanyut dalam hedonisme Umno
Sekiranya kita ingin mengambil pengajaran dari sejarah Rasulullah s.a.w., nyata sekali di sini pencapaian politik umat tidak akan terjamin dengan sekadar congak yang simplistik. Pemerintahan majoriti Islam yang tiada arah, wawasan dan daya tarikan kepada semua golongan di Malaysia tidak akan ke mana.
PAS mungkin akan berjaya mempertahankan pemerintahan majoriti Islam tetapi ia akan hanyut dengan budaya hedonistik Umno.
Datuk Husam Musa pernah mendesak supaya PAS menjelaskan mengenai pembabitan pemimpin-pemimpinnya dalam kontrak perniagaan. Namun desakannya tidak dihiraukan dan kepimpinan PAS hanya membisu.
Mungkin semua ini tidak benar dan hanya sekadar khabar angin. Mungkin ini sebabnya kepimpinan PAS mendiamkan diri. Bukan kerana terkedu tetapi kerana memang tiada apa yang perlu dijawab. Hanya Allah yang mengetahui.
Rasulullah s.a.w. berusaha memecahkan barisan di kalangan suku-suku Arab sebagai strateginya untuk menewaskan Quraish. Di Malaysia, yang sebaliknya berlaku.
PAS berpecah dari Pakatan Rakyat tanpa mendapat manfaat politik. Sebaliknya ia akan mengukuhkan lagi barisan yang dipimpin Umno.
Walau bagaimana PAS bermanja dengan Umno, tidak mungkin ia akan dipelawa menyertai BN. Ini kerana keanggotaan dalam BN diputuskan secara sepakat oleh semua anggota komponen yang sedia ada. Akhirnya, PAS akan jadi ibarat orang dilamuni anggau yang tidak kesampaian hasratnya. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.
Nilai PAS kepada Umno
Ada pemimpin PAS yang menyatakan perlunya PAS menubuhkan pakatan ketiga dengan parti Ikatan. Apakah nilainya PAS berpakat dengan sebuah parti yang tidak mempunyai jentera, yang mempunyai sedikit ahli, tidak mempunyai pemimpin yang boleh diterima masyarakat dan tidak pun membantu PAS berkempen di Sg Besar dan Kuala Kangsar?
Pada Umno, PAS hanya mempunyai dua nilai. Pertama ialah memecahkan Pakatan Rakyat. Ini sudah pun berlaku dan dividennya sudah pun diperolehi di Sg Besar dan Kuala Kangsar.
Kedua, BN berharap untuk melakukan persempadanan semula kawasan Parlimen. Ini akan dilakukan supaya kawasan Parlimen di mana BN kuat akan diperbanyakkan dan kawasan di mana Pakatan Harapan kuat dikurangkan. Namun, sebarang persempadanan semula memerlukan sokongan dari dua pertiga Parlimen dan BN tidak menguasai dua pertiga Parlimen.
Namun, ini boleh diubah jika PAS dapat dipujuk untuk menyokong persempadanan semula. Umno boleh menawarkan untuk membiarkan Kelantan kekal di bawah PAS dan mungkin juga menyerahkan Terengganu kepadanya.
Umno tahu, kerajaan PAS tidak akan dapat bertahan lebih daripada satu penggal. Prestasi kerajaan PAS di Terengganu selepas PRU 1999 adalah hambar dan watak yang sama juga akan memimpin Terengganu kali ini. Rakyat akan menolak PAS selepas itu dan Terengganu akan kembali kepada Umno selepas satu penggal.
Sebagai balasan, Umno berharap dapat menawan semula Selangor dan Pulau Pinang. Dengan ini PAS akan memerintah negeri termiskin dan Umno akan mendapat semula negeri terkaya. Pakatan Harapan akan semakin lemah selepas itu. Rasuah akan semakin berleluasa, budaya hedonistik Umno semakin mencengkam, ketidakadilan semakin merebak dan rakyat terus teraniaya.
Tetapi ini semua tidak mengapa bagi PAS asalkan pemerintah adalah majoriti Islam.
Madah Pujangga merupakan nama pena seorang pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa