Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, January 10, 2017

Apa akan berlaku dalam 2017

SYAHREDZAN JOHAN - 9 JANUARI 2017
TAHUN 2016 telah pun melabuhkan tirainya dan meninggalkan kita. Pelbagai peristiwa penting telah terjadi sepanjang tahun lalu. Seperti tahun-tahun sudah, 2016 menyaksikan pelbagai isu berkenaan dengan undang-undang dan hak asasi yang timbul dan diperkatakan.

Bagaimana pula dengan tahun 2017? Apakah isu undang-undang dan hak asasi yang bakal timbul? Apakah undang-undang baharu yang akan digubal, atau berkuat kuasa pada tahun ini kelak?

Isu yang paling hangat adalah cadangan pindaan kepada Akta 355, atau lebih dikenali sebagai ‘RUU 355’. Isu ini sebenarnya berlarutan dari tahun 2016, di mana Ahli Parlimen Marang, Haji Abdul Hadi Awang pada mulanya telah mengemukakan usul untuk pindaan tersebut. Hadi kemudiannya telah meminda usul yang dikemukakan, tetapi telah memohon untuk memberi penjelasan di sidang parlimen yang akan datang, iaitu dalam tahun ini.

Banyak yang telah diperkatakan tentang pindaan Akta 355 ini. Ada yang menyokong, ada yang menentang dan ada yang masih berkecuali. Adakah ia akan diluluskan oleh Parlimen? Kita akan tahu kelak.

Proses persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, yang bermula tahun lepas dijangka selesai pada 2017. Pelbagai pihak telah mencabar pelbagai aspek proses ini, dan pada ketika ini proses persempadanan semula di Selangor dan Kuala Lumpur telah digantung sementara menunggu keputusan mahkamah.

Di samping itu, tahun 2017 juga akan menyaksikan penguatkuasaan Akta Syarikat 2016, yang akan menggantikan Akta Syarikat 1965. Akta Syarikat yang baharu ini telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas, tetapi belum berkuat kuasa lagi. Selepas ia berkuat kuasa, ia dijangkakan membuat perubahan ketara kepada peruntukan-peruntukan berkenaan dengan syarikat-syarikat di negara ini.

Antara perubahan-perubahan yang dibawa adalah dalam memperbadankan syarikat-syarikat, urusan dalaman syarikat-syarikat persendirian dan juga perlindungan tambahan bagi mereka yang berurusan dengan syarikat-syarikat. Pengamal undang-undang, setiausaha syarikat dan pengarah-pengarah, antara lain, wajar mengambil tahu tentang akta baharu ini.

Tahun 2017 juga bakal menyaksikan pindaan terhadap Akta Kebankrapan 1967 yang memperuntukkan proses kebankrapan seorang individu. Pindaan terhadap Akta Kebankrapan sebenarnya telah lama dibincangkan dan dicanangkan, tetapi pada tahun lepas pindaan ini telah dibentangkan dan dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat. Menurut rang undang-undang pindaan tersebut, pelbagai perubahan ke atas tatacara dan proses kebankrapan dicadangkan.

Contohnya, mengikut akta yang sedia ada, seorang boleh dijadikan bankrap sekiranya hutangnya pada seseorang pemiutang adalah sekurang-kurangnya RM30,000. Dengan pindaan yang dicadangkan, angka ini akan ditingkatkan kepada RM50,000.

Di samping itu, seseorang yang telah bankrap juga berhak untuk mendapat perlepasan automatik selepas tiga tahun. Ini berbeza dengan peruntukan yang sedia ada yang mana seseorang bankrap itu akan terus bankrap sehingga terdapat perlepasan.

Dari aspek kebebasan dan hak asasi pula, 2017 akan terus menyaksikan pihak Kerajaan menggunakan undang-undang yang sedia ada untuk menyekat atau menafikan kebebasan asasi rakyat, sama ada secara wajar atau tidak. Di samping itu, Akta Majlis Keselamatan Negara telah berkuat kuasa tahun lepas yang memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan ‘kawasan keselamatan’. Semakin dekat kita dengan pilihan raya umum dan semakin panas senario politik negara, semakin tinggi kemungkinan akta tersebut digunakan.

Akhir sekali, 2017 juga mungkin tahun di mana Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan. Ia tidak perlu diadakan sehingga tahun 2018, tetapi banyak pihak yang menjangkakan bahawa ia akan berlangsung tahun ini.

Ini adalah antara isu-isu yang penulis ramal akan berbangkit pada tahun 2017.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa