Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, January 10, 2017

'budak boy': Rasa kita juga patut tahu

Apa hebatnya 'budak boy'?
JOHARI YAP - 3 JANUARI 2017
Johari Yap

BILA disebut 'budak boy', mungkin ramai yang tidak mengetahui maksudnya, dan mungkin ada yang beranggapan ia sama dengan rancangan kanak-kanak BoBoiBoy.

Istilah budak boy tiada kena mengena dengan rancangan BoBoiBoy mahupun seorang lagi Boy yang baru mendapat PhD yang kisahnya viral di media sosial baru-baru ini.

Budak boy ialah gelaran untuk pelajar dan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD), satu-satunya sekolah menengah berasrama penuh yang bernaung di bawah Kementerian Pertahanan.

Mereka bukan sahaja perlu belajar untuk peperiksaan SPM seperti pelajar lain tetapi juga dilatih dan diterapkan dengan daya ketahanan mental dan fizikal ala tentera.

Baru-baru ini, Pegawai Memerintah Putera, Ahmad Yusuf Ahmad Azani yang merupakan pelajar terbaik tingkatan lima telah menerima Anugerah Menteri Pertahanan semasa Perbarisan Tahunan Putera MTD 2016.

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Bapanya, Ahmad Azani Othman juga merupakan pelajar MTD pada tahun 1988-1992 manakala datuknya, Othman Ismail telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB).

Menurut Ahmad Yusuf, pengalaman belajar di MTD mengajar beliau tentang disiplin ketenteraan, semangat berpasukan dan setia kawan serta erti tanggungjawab kerana setiap pelajar atau “putera” diberi peluang dan dilatih untuk memimpin pasukan masing-masing. Pengalaman inilah yang membina jati diri yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan selepas persekolahan.

Kini, Ahmad Yusuf merupakan salah seorang daripada tiga calon dari Malaysia yang disenarai pendek untuk saringan akhir bagi memasuki The United States Naval Academy (USNA) di Amerika Syarikat, sebuah institusi pengajian ketenteraan yang berprestij. Semoga beliau beroleh kejayaan dan mendapat tempat di USNA.

MTD juga berjaya memupuk perpaduan antara kaum. Ini terbukti kerana penyertaan kaum lain juga amat menggalakkan dan mereka juga melakar sejarah yang tidak kurang hebatnya.

Sebagai contoh, Kapten Chan Peng Cheong, Pengarah Komunikasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), juga merupakan bekas pelajar MTD.

Latihan di MTD menjadikan Kapten Chan sangat kompeten dan beliau telah diberi peluang menjadi kapten kapal sebanyak empat kali bermula daripada pangkat Leftenan, Leftenan Komander, Komander dan Kapten, iaitu daripada kapal kecil sehinggalah kapal paling besar. Ketiga-tiga anak lelaki beliau turut mengikut jejak langkahnya memasuki MTD untuk meneruskan legasi beliau.

Malah, ketiga-tiga anaknya berjaya mendapat biasiswa pendidikan ATM. Kini, Leftenan Chan Jun Shen merupakan Pegawai Jurutera Udara di Markas Udara TLDM, Chan Jun Win pula sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Rusia manakala anak bongsunya, Chan Jun Kwan, sedang menjalani latihan di USNA.

Hubungan sesama budak boy juga amat rapat. Walaupun sudah bergelar Tan Sri atau Dato’ dan sebagainya, mereka masih dapat bergaul mesra dengan bekas pelajar yang baru tamat pengajian di MTD. Keakraban ini juga tidak mengira bangsa, umur mahupun pangkat.

Kerana kehebatan gelaran budak boy yang juga dikenali sebagai 'Old Putera' atau OP bagi bekas pelajar yang menjadi ahli Persatuan Bekas Putera (OPA) inilah, MTD menerima sebanyak 6,574 permohonan untuk merebut 250 tempat ke tingkatan empat pada tahun 2017.

Untuk kemasukan 2017, seramai 830 pelajar telah dipanggil untuk temu duga di Kem Perdana Sungai Besi bermula 4 hingga 10 Januari 2017. Ini tidak termasuk 30 pelajar dari Sabah dan 27 pelajar dari Sarawak yang akan menjalani temu duga di Kota Kinabalu, Tawau, Sibu dan Kuching.

Selain pembelajaran yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan, Putera MTD juga mendapat elaun bulanan sebanyak RM100 sepanjang tempoh pembelajaran. Setelah meninggalkan MTD, mereka bebas memilih sama ada untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan, awam ataupun swasta.

Sehingga kini, MTD telah melahirkan tokoh-tokoh yang berjaya dalam pelbagai bidang. Kepada mereka yang berjaya dalam temu duga untuk memasuki MTD nanti, semoga menjadi budak boy yang hebat. Kepada yang tidak berjaya, usah berputus asa. Satu pintu tertutup, banyak lagi yang terbuka untuk anda!

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa