Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, January 2, 2017

Urusan kerusi Amanah bukan dengan PAS

KENYATAAN MEDIA
Parti Amanah Negara
Negeri Selangor

Urusan kerusi Amanah adalah bersama Pakatan Harapan-PPBM dan bukan dengan PAS

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Datuk Iskandar Abdul Samad, Naib Presiden dan Pesuruhjaya Pas Selangor berhubung kerusi yang akan ditandingi Amanah  sebagaimana yang tersiar di dalam Sinar Harian bertarikh 28 Disember 2016.

Amanah Selangor ingin menegaskan sekali lagi bahawa Amanah kini menggantikan Pas di dalam Pakatan Harapan (PH) dan dengan itu pada asasnya akan bertanding di semua kerusi yang Pas tandingi pada PRU 13 yang lalu.

Sebagaimana yang disebutkan oleh YB Khalid Abdul Samad, Pengarah Komunikasi Amanah Nasional, Amanah sedang menimbang untuk bertanding di 40 kerusi parlimen, jauh kurang daripada kerusi yang ditandingi Pas pada PRU 13 yang lalu selepas kami mengambil kira aspek kemampuan dan "winnability" Amanah serta pembahagian kerusi kepada PPBM yang juga akan bertanding buat kali pertama.

Menyentuh isu kerusi PKR yang dikatakan akan ditandingi oleh Amanah, itu merujuk kepada perubahan kepada lanskap politik semasa dan mungkin akan berlaku perubahan atau pertukaran kerusi sesama komponen parti di dalam PH-PPBM. Tetapi itu semua akan diputuskan bersama di mesyuarat kami dalam PH-PPBM. Iskandar tidak perlu risau perkara ini dan dia boleh beri tumpuan kepada pembahagian kerusi sesama rakan-rakan Pas dalam Gagasan Sejahtera.

Tentang isu nama Parti Amanah Negara atau singkatannya Amanah adalah nama yang kami pilih dan termaktub di dalam perlembagaan parti serta telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Apa yang pasti Amanah akan sentiasa menyebut nama Parti Islam Se Malaysia sebagai Pas sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan parti mereka, walaupun kami perpandangan banyak juga tindakan PAS mutakhir ini yang tidak mengambarkan Islam sebagai "rahmatan lil 'alamin" (rahmat kepada sakalian alam).

Nasihat saya kepada Iskandar supaya jangan jadi seperti "orang yang tinggal di dalam perigi buta", yang buat-buat tak tahu kepada perkembangan semasa. Isu curi kerusi ni bukan kerja Amanah tetapi yang pasti ialah Pas apabila bertanding di 7 kerusi PKR dalam PRU yang lepas walaupun  selepas perjanjian bersama. Jadi siapa yang sebenarnya yang tidak amanah?

Akhir kata saya menyeru Iskandar dan Pas supaya memberi fokus kepada usaha menumbangkan Umno/BN demi menyelamatkan rakyat dan negara. Apa saja usaha ke arah itu kami di PH-PPBM sedia bekerjasama bila-bila masa.

"Amanah Demi Negara"

Izham Hashim
Pengerusi
Parti Amanah Negara
Negeri Selangor
29 Disember 2016

1 comment:

  1. aku duk Gombak. jgn letak azmin di parlimen dan adun.

    sila letak calon Amanah. pindahkan azmin ke sungai siput atau pekan.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa