Polis nafi keluar surat kebenaran perhimpunan Rabu lepas
10 Mei 2013
PETALING JAYA - Polis tidak mengeluarkan surat kebenaran untuk perhimpunan di Kelana Jaya pada Rabu lepas, sebaliknya hanya mengeluarkan surat jawapan balas agar penganjur menunda perhimpunan itu ke tarikh lain.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed yang menjelaskan perkara itu hari ini, menafikan dakwaan yang disebar menerusi media sosial bahawa perhimpunan tersebut mendapat kebenaran polis.
"Surat yang tersebar itu adalah surat permohonan mengadakan perhimpunan oleh pihak penganjur yang ditandatangani Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.
"Saya tidak menandatangani sebarang surat kebenaran penganjuran perhimpunan berkenaan sebaliknya hanya mengeluarkan surat jawapan balas meminta agar pihak penganjur menunda tarikh perhimpunan.
"Surat jawapan balas itu dikeluarkan memandangkan penganjur memberikan notis singkat iaitu pada 12.20 tengah hari, hari yang sama perhimpunan diadakan," katanya pada idang media di sini.
Katanya polis meminta mereka menangguhkan perhimpunan bagi membolehkan polis mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan termasuk penugasan anggota dan hebahan kepada orang ramai.
"Kegagalan pihak penganjur mengemukakan notis awal 10 hari itu juga menyebabkan pihak saya tidak dapat berbincang dengan penganjur dari segi penggunaan laluan termasuk kawasan parkir. Kita juga tidak dapat memberikan notis makluman awal kepada orang awam dan peniaga untuk mendapatkan maklum balas," katanya.
Walaupun begitu, Arjunaidi berkata pihaknya masih menugaskan beberapa anggota di kawasan strategik untuk mengawal lalu lintas di sekitar stadium itu.
"Namun kesesakan lalu lintas tetap berlaku memandangkan jumlah kenderaan masuk terlalu banyak melebihi kemampuan infrastruktur yang ada," katanya menambah polis menerima banyak panggilan dan aduan orang awam termasuk menerusi media sosial mengenai kesesakan lalu lintas yang teruk di situ.
Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang disebar menerusi media sosial bahawa Stadium MBPJ Kelana Jaya telah digazet sebagai tempat perhimpunan, beliau menegaskan tidak ada lokasi telah digazetkan untuk tujuan itu di negara ini.
"Stadium tersebut tidak digazetkan untuk mengadakan perhimpunan... yang boleh menggazetkan sesuatu tempat hanya menteri dan bukannya kerajaan negeri apatah lagi mana-mana pihak yang lain," katanya.
Arjunaidi berkata siasatan berhubung laporan polis mengenai perhimpunan itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Perhimpunan haram itu yang disertai pemimpin parti pembangkang kononnya bertujuan membantah keputusan pilihan raya umum ke-13, Ahad lepas yang didakwa mereka mempunyai unsur penipuan. - SH
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa