Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, October 11, 2015

Pakatan 4 dalam 1 untuk apa: menang kuasa atau tadbir negara?

Posted on Sunday, October 11 @ 14:07:29 MYT by paktam
Oleh Wong Chin Huat

Kalau Pakatan 2.0 dibentuk tanpa persefahaman dalam dasar dan isu besar, meskipun mampu menang dan berkuasa, sangat dikhuatiri cita-cita mentadbir negara akan gagal.

Kerjasama antara parti politik boleh mengambil bentuk pakatan (huruf kecil "p") untuk mencapai keputusan pilihan raya yang lebih baik (electoral pact) ataupun gabungan untuk mentadbir negara/negeri (governing coalition).

'Pakatan pilihan raya'

"Pakatan pilihan raya" pula boleh mengambil dua bentuk, yang secara terbuka (overt) dengan tujuan untuk berkongsi undi sokongan, dan yang secara tersembunyi (covert) bertujuan memecahbelahkan sokongan parti lawan.

Ramai orang salah tersilap kaedah atau mekanisme atau susunan, satu-lawan-satu adalah satu-satunya bentuk pakatan pilihan raya. Kalau tak jadi satu-lawan-satu, maka parti-parti pembangkang dikatakan berpecah dan bakal dihukum oleh pengundi.

Pandangan ini nyata jahil dengan sejarah pilihan raya pada 1980-an, di mana PAS dan DAP banyak bersaing di kawasan yang lama. (atau sama?)

Ini bukan kerana pemimpin PAS dan DAP tidak ingin berpakat. Sebaliknya, sekalipun Barisan Nasional (BN) percaya, persaingan 3 penjuru adalah pakatan pilihan mereka. Apabila PAS masuk ke medan perang DAP dan MCA/Gerakan/MIC yang mempunyai minoriti Melayu, maka PAS tarik undi Melayu daripada MCA/Gerakan/MIC dan meningkatkan peluang kemenangan DAP.

Sebaliknya, apabila DAP masuk ke medan perang PAS dan Umno yang mempunyai minoriti bukan Melayu, maka DAP tarik undi bukan Melayu daripada Umno dan meningkatkan peluang kemenangan PAS.

Sungguhpun strategi ini tidak selalu berjaya, ia tetap strategi yang paling berkesan.

Kerana jurang ideologi antara PAS dan DAP terlalu luas, PAS tidak mungkin memujuk penyokongnya untuk undi DAP dalam pertarungan satu-lawan-satu antara DAP dengan MCA/Gerakan/MIC. Sebaliknya, DAP juga tidak mungkin memujuk penyokongnya untuk undi PAS dalam pertarungan satu-lawan-satu antara PAS dan Umno.

Pertarungan satu-lawan-satu antara PAS/DAP dengan BN hanya menjadi strategi menguntungkan setelah jurang ideologi antara PAS dan DAP itu dikurangkan dalam pilihan raya umum (PRU) 1999 pasca reformasi dan lebih-lebih lagi dalam tsunami politik tahun 2008.

Apakah kaitan sejarah silam ini dengan percaturan strategi parti pembangkang hari ini? Mereka yang mencadangkan pengaturan (kaedah) satu-lawan-satu akan menjamin kemenangan parti pembangkang untuk menawan Putrajaya mengandaikan semua penyokong dan pengundi gelanggang tengah begitu benci Najib dan Umno/BN sehingga mereka akan secara automatik menumpukan undi mereka kepada parti pembangkang yang diaturkan untuk bertanding.

Dalam lain kata, pengundi nasionalis Islam akan menyokong DAP sungguhpun DAP tetap menolak perlaksanaan kanun jenayah syariah di Kelantan dan penyokong negara madani akan mengundi PAS sungguhpun PAS tetap ingin melaksanakan kanun jenayah syariah.

Bagi saya, ini adalah penganggaran sentimen pengundi yang cukup "syiok sendiri".

Naif sekali kalau ada yang berharap PAS dan Amanah boleh berpeluk dan bercium sekali lagi seolah-olah tidak pernah berlaku persengketaan di antara mereka itu.

Kata seorang rakan saya yang beragama Islam, itu ibaratkan selepas talak tiga, suami nak kahwinkan semula isterinya tanpa sekurang-kurangnya melalui dulu "kahwin cina buta" (nikah muhalil).

Pakatan pilihan raya yang terbuka memerlukan tahap persefahaman atau 'kompromi' ideologi yang tertentu supaya penyokong parti-parti yang bercanggah ideologi itu sanggup menyokong parti yang lain.

Apakah proses mencari persamaan di antara PAS dan DAP sudah berlaku? Ini membawa kita kepada peringkat gabungan pentadbiran.

Gabungan pentadbiran

Gabungan pentadbiran boleh dibentuk sebelum (ada yang bersifat kekal) atau selepas pilihan raya. Apabila tiada satu parti dapat memenangi kerusi majoriti di Dewan, maka parti akan mempunyai motivasi untuk mencari jalan mengatasi perbezaan ideologi dan bergabung demi berkuasa.

(Parti pembangkang juga mungkin membentuk gabungan pasca pilihan raya tetapi itu jauh lebih jarang).

Ini berlaku sekarang di Jerman (gabungan pasca pilihan raya antara Demokrat Kristian dan Demokrat Sosial) dan Australia (gabungan kekal antara Liberal, Nasional dan sekutu kewilayahan) dan pernah berlaku di United Kingdom (gabungan pasca pilihan raya antara Konservatif dan LibDem).

Gabungan pasca pilihan raya biasanya dimateraikan dengan perjanjian yang jelas kerana parti terlibat adalah pesaing sebelum pilihan raya dan akan kembali bersaing dalam pilihan raya akan datang. Dalam kata lain, parti terlibat adalah sekutu-pesaing pada masa yang sama.

Kerana keuntungan berkuasa, banyak gabungan pasca pilihan raya dapat kekal bersatu sampai habis tempoh, malah ada yang memutuskan untuk bergabung secara berkekalan.

Di Malaysia, penubuhan BN berlaku selepas kejayaan pemerintah gabungan (coalition government) di peringkat negeri dan perbandaran di Sarawak, Penang, Ipoh dan Kelantan.

Pakatan Rakyat (PR) contoh baik gabungan pasca pilihan raya, di mana pemerintah gabungan terbentuk di Perak dan Selangor sebelum ketiga-tiga PKR, PAS dan DAP bergabung secara rasminya pada 1 April, 2008.

Pemerintah negeri di Selangor yang ketika ini terdiri daripada Pakatan Harapan dan PAS adalah gabungan pasca pilihan raya yang tidak jatuh sekalipun selepas tamatnya PR.

Pada teorinya, gabungan pra pilihan raya biasanya dibentuk untuk meyakinkan pengundi bebas mereka sanggup mentadbir negara (jika menang pilihan raya) atau bekerjasama di Parlimen (jika kalah) demi agenda polisi bersama.

Pada praktisnya, gabungan pra pilihan raya atau kekal juga sering dibentuk untuk membolehkan parti-parti terlibat berkongsi undi penyokong masing-masing (vote-pooling).

Dalam kata lain, gabungan pra pilihan raya atau kekal sebenarnya boleh jadi "samaran" bagi pakatan pilihan raya. Sejauh mana ini berjaya bergantung banyak kepada peluang gabungan ini berjaya. Kalau peluang kejayaan itu tinggi, maka asas kerjasama perlulah lebih dalam.

Sebaliknya, kalau peluang kejayaan itu rendah, maka penyokong parti terlibat akan lebih serius tentang apa yang akan berlaku selepas kejayaan.

Soalan terbesar untuk Gabungan 4 dalam 1

Soalan terbesar, atau yang paling tidak memudahkan untuk para pencadang Pakatan 2.0 yang berbentuk 4 dalam 1, yakni, PKR, PAS, Amanah dan DAP berbunyi demikian:

"Jika Pakatan 2.0 ini menang Putrajaya, dan pemerintah Kelantan menuntut pindaan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan kanun jenayah syariah, apakah pemerintah persekutuan baru akan bersetuju?"

Kalau tidak, apakah PAS tidak akan tarik diri daripada pemerintah Persekutuan dan mungkin menjatuhkannya?
Kalau ya, apakah DAP tidak akan tarik diri daripada pemerintah Persekutuan dan mungkin menjatuhkannya?
Dengan kemusykilan sebegini, penyokong PAS dan DAP masih sanggup menyokong sesama lain malah gabungan 4 dalam 1?

Dalam gabungan sebelum ini, dari "Angkatan Perpaduan Ummah-Gagasan Rakyat (APU-GR)" pimpinan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah ke Barisan Alternatif (BA) dan PR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, soalan ini tidak pernah mempunyai jawapan yang jelas sampai tiada ruang untuk pertikaian.

Kekaburan itu sememangnya bertujuan strategik supaya perkongsian undi boleh berlaku. Tetapi, kejatuhan GR, BA dan PR membuktikan "kekaburan strategik" ini jalan buntu.

Apakah percubaan kali keempat akan berjaya?

Berbincang pasal percubaan makmal, Albert Einstein berkata:"ketidaksiuman ialah mengulang perbuatan sama dan mengharapkan kesudahan yang berlainan."

Jikalau pertembungan ideologi antara pendukung Daulah Islamiyah (lebih jelas daripada penterjemahan bahasa Melayunya "Negara Islam") dan pendukung persekutuan sekular 1963 tidak diselesaikan, maka mana-mana gabungan baru termasuk Pakatan Harapan juga akan gagal.

Harapan untuk Malaysia baru tidak bergantung kepada pengundi yang terlalu "desperate" ingin jatuhkan Najib tak kira apa kosnya, tetapi bergantung kepada pertemuan minda dalam perjuangan yang jujur dan berprinsip.

Daripada segi itu, percubaan Parti Amanah untuk mengangkat maqasid syariah dalam lunas demokrasi berperlembagaan sepertimana yang berlaku di Tunisia adalah murni sekali.

Saya harap parti baru ini juga berkeberanian untuk mengupas secara kritis isu kegagalan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru – kelemahannya melahirkan kegelisahan orang Melayu (Malay Anxiety) tentang masa depan – dalam lunas Islam dan demokrasi kedua-duanya sekali.

Asas baru gabungan yang kekal dan sihat sememangnya jalan baru dalam pemikiran ideologi dan dasar pemerintahan jangka panjang, bukan perhitungan undi dan kerusi jangka pendek.

2 comments:

  1. Pemimpin Pakatan Harapan mesti kawal EMOSI dan otak perlu professional

    Bebudak Bahalol dan TOLOL macam dalam PAS tidak wajar di ajak ber gabung kerana Kualiti Otak Gred 3

    Jika Otak Gred 3 macam mana nak bantu Rakyat bila Sendiri Sudah GAGAL

    Contoh nya Hadi.

    Azmin dan Rafizi juga Mat Sabu adalah pemimpin sebenar ; Wan Azizah juga ter baik

    Kalau emosi kuat , otak nya macam Janda Sudah.... Pasti GAGAL macam Mat Bahalol aka Mat Mongol

    Khalas !!!!

    ReplyDelete
  2. Berkualiti dan mantap artikel ni. Realistik,seimbang dan peka.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa