Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, November 7, 2015

Anwar tetap pertahan Mahathir

Anwar pertahan Dr Mahathir, tak salah kritik 1MDB
TMI - Published: 7 November 2015 11:09 AM
Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar perutusan selepas mendengar Tun Dr Mahathir Mohamad disoal siasat polis, mengatakan bekas perdana menteri itu tidak bersalah kerana bertanya dan mengkritik Datuk Seri Najib Razak tentang 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2015.

Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melakukan sebarang kesalahan apabila bertanya soalan dan mengkritik perdana menteri berhubung syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata bekas musuh politik beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu perutusan yang disampaikan melalui peguamnya hari ini, bekas ketua pembangkang yang dipenjara kerana sabitan kes liwat itu berkata beliau bimbang mendengar Dr Mahathir disoal siasat polis semalam.
"Saya amat bimbang dengan berita yang bekas perdana menteri Malaysia Dr Mahathir menjadi subjek penyiasatan polis dalam kes fitnah jenayah dan disoal pihak polis pada 6 November," katanya.
"Beliau tidak melakukan sebarang jenayah apabila bertanya soalan dan menyuarakan kritikan terhadap perdana menteri mengenai krisis 1MDB," katanya Anwar.
Beliau yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir pada 1998, berkata demikian mengulas laporan mengenai siasatan polis terhadap bekas bosnya kerana kenyataannya mengenai 1MDB dan Datuk Seri Najib Razak.
"Jika Dr Mahathir pun dilayan sebegitu rupa, hak demokratik rakyat Malaysia untuk menyoal dan mengkritik kerajaan berada dalam keadaan bahaya yang serius," kata Anwar.
"Perlembagaan kita dan hak demokrasi rakyat yang terjamin di bawahnya tidak boleh diketepikan atau diganggu kerajaan atau agensi penguat kuasa.
"Saya melihat dengan kerisauan yang semakin meningkat, ketegangan autoritarianisme yang semakin buruk, dilakukan mereka yang berkuasa."
Daripada menyiasat Dr Mahathir, kata Anwar, Najib dan kerajaan seharusnya menjawab soalan yang diajukan bekas perdana menteri itu, yang turut menjadi tanda tanya di kalangan rakyat biasa.
"Tindakan yang kasar dan menekan ini hanya akan memburukkan lagi krisis keyakinan terhadap perdana menteri, kerajaan dan institusi yang terlibat dalam usaha menutup mulut pengkritik.
"Saya menyeru supaya gangguan ditamatkan terhadap Dr Mahathir, dan semua orang lain, yang hanya menjalankan tugas mereka terhadap negara kita dengan bersuara menentang kesilapan dan salah laku dilakukan kerajaan dan pemimpinnya," katanya.
Polis semalam menyoal Dr Mahathir selama kira-kira 45 minit di pejabat beliau di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur. Pemimpin Umno veteran itu bagaimanapun berkata, beliau memilih untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan.
Dr Mahathir menghadiri perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos, yang menuntut pembaharuan demokrasi dan peletakan jawatan Najib berhubung skandal kewangan yang didakwa melibatkan beliau.
Pada perhimpunan tersebut, beliau membuat kenyataan terbuka mengenai Najib dan mendakwa beliau mengambil wang rakyat.
Pihak berkuasa membuka beberapa kertas siasatan selepas laporan polis dibuat terhadap Dr Mahathir.
Siasatan yang dijalankan adalah berkaitan Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana jenayah fitnah. – 7 November, 2015.

1 comment:

  1. Itulah dia perangai orang2 melayu...mereka lupa jasa2 yang pernah mereka kecapi...sesungguhnya Mahathir 100× lebih baik dari Najib yang lemah dan pengecut itu...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa