Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, December 15, 2015

Yang dilantik rakyat pun tak boleh nak harap, inikan pula lantikan parti

Kaji dulu rang undang-undang MKN sebelum bantah, kata senator BN
Published: 15 December 2015 8:56 AM
Beberapa anggota Dewan Negara terutama daripada Barisan Nasional ingin mengkaji terlebih dahulu rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang dicadangkan kerajaan kerana berpendapat tidak adil sekiranya keputusan dibuat secara sebelah pihak sahaja. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Disember, 2015.

Kempen #TakNakDiktator dan petisyen menentang rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelihatannya tidak mendapat tarikan dengan beberapa anggota Dewan Negara, terutamanya daripada Barisan Nasional (BN), yang berkata mereka perlu mengkaji undang-undang dicadangkan itu terlebih dahulu.

Rang undang-undang kontroversi yang membenarkan sebuah majlis diketuai perdana menteri mengisytiharkan kawasan keselamatan dan menjalankan tangkapan, carian dan rampasan tanpa waran itu dibawa ke Dewan Negara pada persidangan kali ini yang berlangsung sehingga 22 Disember.


Sekiranya ia diluluskan para senator, selepas diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini, ia akan makin hampir kepada realiti untuk dilaksanakan.


Senator Datuk Khairuddin Abd Samad berpendapat, kumpulan yang menyediakan petisyen tersebut memang berhak menyuarakan pelbagai pendapat mengenai rang undang-undang itu, namun tidak adil sekiranya keputusan dibuat secara sebelah pihak sahaja.


"Kita belum ada perbincangan, belum dengar, belum dibentangkan lagi rang undang-undang ini, dan kita belum pun dapat taklimat apa-apa.


"Jadi, macam mana nak menentang? Dia (kumpulan tersebut) boleh bagi pandangan, kita pun faham, dan kita baca sebelah pihak sahaja.


"Kita (kerajaan) punya (pandangan) belum lagi. Jadi, kita kena teliti dulu perkara ini," katanya kepada The Malaysian Insider di lobi Dewan Negara semalam.


Berhubung penyerahan memorandum daripada Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) kepada Senator PKR Siti Aishah Shaik Ismail di Dewan Negara terdahulu hari ini, Khairuddin berpendapat ia hanya andaian pihak tertentu sahaja.


"Itu pandangan dia. Kalau dia setakat buat andaian-andaian, ini tak boleh," katanya sambil menambah, sama ada ia diluluskan ataupun tidak, keputusan itu tidak boleh berdasarkan andaian sedemikian kerana ia melibatkan masa depan negara.


Senator Shahanim Mohd Yusoff daripada Umno pula menegaskan beliau tidak menentang rang undang-undang tersebut, sekali gus tidak bersetuju dengan petisyen #TakNakDiktaktor.


"Taklimat pun belum dilakukan lagi. Saya memang tak membantah rang undang-undang itu," katanya apabila ditanya mengenai petisyen itu.


Senator Chia Song Cheng daripada MCA juga berkata beliau menyokong rang undang-undang tersebut dan akan mempertahankannya, mengatakan ia demi kepentingan negara.


"Saya sokong. Sebagai ahli BN, saya menyokongnya. Saya tak faham kenapa ada pihak membantah. Kalau pembangkang di pihak kerajaan pun, mereka akan menyokongnya," katanya.


Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pula enggan mengulas mengenai petisyen itu.


"Kalau mereka nak bantah, bantahlah. Saya tak nak komen," katanya sambil bergegas masuk ke keretanya semalam.


Kempen #TakNakDiktator terhadap rang undang-undang itu dimulakan kumpulan pejuang hak dan masyarakat sivil, termasuk Amnesty International Malaysia, Lawyers for Liberty, Suara Rakyat Malaysia dan Pertubuhan Kebangsaan Hak Asasi Manusia.


Lebih 22,000 penyokong menandatangani petisyen itu di laman web change.org menggesa Dewan Negara menggunakan kuasa vetonya ke atas rang undang-undang itu.


Terdapat juga usaha oleh individu menulis surat atau e-mel secara peribadi kepada senator, meminta mereka menolaknya.


Parti pembangkang, aktivis, Majlis Peguam, termasuk kumpulan antarabangsa Human Rights Watch, sebelum ini mengkritik undang-undang yang dicadangkan itu, yang memberikan perdana menteri "kuasa ala darurat".


Sedangkan, hujah mereka, kuasa sebegitu sepatutnya hanya terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Mereka bimbang ia akan disalahgunakan untuk menindas hak asasi manusia dan kedaulatan demokratik.


Senator DAP Ariffin S.M Omar berkata, beliau menyokong petisyen tersebut dan menganggap ia dibentang dan diluluskan Dewan Rakyat pada sesi lepas dalam keadaan tergesa-gesa.


Katanya, ia diluluskan demi kepentingan peribadi sesetengah pihak dan bukan demi negara.


"Undang-undang sedia ada sudah cukup. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) ada, buat apa pula rang undang-undang ini diadakan?


"Bagi saya, kalau menteri kata penting, hanya penting untuk satu kumpulan. Hanya untuk kepentingan satu individu sahaja.


"Kalau kita tengok rang undang-undang ini, raja seolah-olah tidak berkuasa langsung, kuasa mutlak terletak di tangan perdana menteri. Ini sebenarnya tak selaras dengan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi," katanya.


Pakar undang-undang perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari sebelum ini berkata, jika Senat meluluskan rang undang-undang MKN itu, Agong masih boleh menolak untuk memberi perkenannya.


Sekiranya Agong enggan menandatangani rang undang-undang itu, sekali gus mencetuskan krisis perlembagaan, perkara itu boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan, kata Aziz.


Rang undang-undang itu dibentangkan di Dewan Rakyat pada 1 Disember lalu dan diluluskan melalui undian suara 2 hari kemudian selepas kira-kira 6 jam dibahaskan.


Seramai 107 ahli Parlimen menyokongnya, manakala 74 yang lain menolak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika menggulung perbahasan di peringkat dasar berkata, akta itu bukan bertujuan mengisytiharkan sesuatu kawasan darurat sebaliknya hanya sebagai kawasan keselamatan. – 15 Disember, 2015.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa