Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, December 26, 2015

Di Malaysia, salahkah pertahankan diri ?

Salahkah pertahankan diri di Malaysia? – Nik Aziz Afiq Abdul
TMI - Published: 26 December 2015 9:37 AM

2010 kita digegarkan dengan kes Kalaichelvi. Beliau memukul kepala seorang lelaki yang cuba merogolnya dan akhirnya lelaki itu mati. Kalaichelvi dijatuhkan hukuman penjara 2 tahun kerana membunuh tanpa niat.
Peristiwa sama berulang 2 minggu lalu di Terengganu. Sebuah kampung terpencil bernama Labuhan di Kerteh menyaksikan seorang perompak mati ditikam Zulkifli yang cuba pertahankan diri dan harta benda dalam kawasan rumahnya sendiri.
Apa berlaku? Zulkifli direman 14 hari bawah siasatan seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kemudian ditukar pada 304 membunuh tanpa niat. Beberapa hari lalu beliau dibenar ikat jamin sebanyak RM15,000.
Syukur kehadrat Allah kami dari Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia diberikan kemampuan untuk menemui keluarga ini Maghrib semalam. Hampir dua jam perjalanan dari Kuala Terengganu benar-benar melelahkan tambahan kami bergegas setelah edaran risalah penerangan anti TPPA sekitar ibu negeri itu.
Sebaik sampai, Zulkifli memeluk kami dengan penuh erat. Tanpa sebarang kata masing-masing seakan dapat menyelami derita seorang ayah dan suami yang hanya mahu menjalankan kewajipan dengan memberikan perlindungan terbaik semampunya tetapi mungkin bakal berpisah lama dengan anak dan isteri kerana tafsiran undang-undang negara yang melihat beliau melakukan jenayah.
Zulkifli berumur 50 tahun, manakala anak-anaknya berumur 9 tahun ke bawah. Anak kedua Zulkifli yang berumur 8 tahun didiagnos menghidap autisme. Sehingga kini pertuturannya tidak jelas dan keluarga ini tidak mampu mendapatkan rawatan berkala buat anak ini kerana hospital yang menyediakan rawatan fisioterapi autisme terletak 120 kilometer dari rumah mereka.
Berkenaan rumah mereka sendiri amat menyedihkan, anda hanya memerlukan 10 langkah sahaja dari pintu depan untuk anda sampai ke pintu belakang. Sebuah rumah sempit yang mendapat keizinan sejak 14 tahun lalu untuk dibina atas rezab jalan. Namun sempit dan miskin tidak halang keluarga ini menikmati kehidupan bahagia dan patuh beragama.
Penghalang sebenar kebahagiaan mereka ialah apabila seorang ayah ditahan dalam lokap berpanjangan dan dianggap penjenayah. Ketika reman 14 hari sebelum ini Puan Zaimah isteri kepada Zulkifli tak mampu untuk berniaga sarapan pagi seperti kebiasaan. Habis terganggu ekonomi keluarga ini di samping ada segelintir mulut jahat yang menghina suaminya sebagai pembunuh membuatkan beliau lebih selesa berkurung bersama 3 anaknya dalam rumah sempit itu.
Zulkifli menceritakan kejadian yang berlaku ketika itu. Rupanya rumah Zulkifli dan masyarakat sekitar kerap dimasuki pencuri dan perompak dari kalangan penagih dadah. Malah ketika reman berlangsung beberapa kabel eletrik rumah ini dicuri pencuri lain.
Disebabkan itu mereka sangat berwaspada andai kelihatan orang mencurigakan mendekati kawasan rumah mereka. Ketika hari kejadian Zaimah melihat ada dua orang lelaki menaiki sebuah motorsikal dalam keadaan mencurigakan melalui jalan menuju ke rumah mereka. Ketika itu Zaimah dan Zulkifli berada di warung kecil sarapan pagi mereka sekitar 300 meter dari rumah mereka.
Zulkifli mengikuti dengan berhati-hati dan ternyata motorsikal itu berhenti di rumahnya. Pembonceng motosikal turun dan mula mengumpil generator sebelah dinding rumahnya manakala seorang lagi berjaga-jaga di atas motorsikal.
Ketika mereka melihat Zulkifli sampai lelaki pertama yang berada di atas motorsikal meluru pada Zulkifli dengan membawa satu objek dipercayai besi untuk memukul Zulkifli, beliau tanpa berlengah terus mengeluarkan parang kecil yang digunakan untuk memotong ayam di warung setiap hari dan berjaya menikam lelaki pertama. Lelaki kedua pula berlari ke arahnya dan sekali lagi Zulkifli berjaya menikam di bawah bahu lelaki tersebut.
Lelaki pertama kemudiannya cuba melarikan diri dengan motorsikal. Lelaki kedua juga berlari menyeberang jalan dengan harapan sempat menaiki motorsikal tersebut namun apabila sampai pada pembahagi jalan lelaki kedua rebah dan mati di tempat kejadian. Zulkifli kemudian terus serahkan diri ke Balai Polis Kerteh. Lelaki pertama ditahan pihak polis ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital.
Hanya satu tikaman, di kawasan perkarangan rumah, yang tikaman itu sendiri tidak disangka akan mengakibatkan kematian demi mempertahankan diri dan harta maka Zulkifli pula bakal dilihat sebagai penjenayah berdasarkan tafsiran undang-undang kini?
Kes Kalaichelvi dahulu 2 tahun hukuman penjara dikenakan. Kalaulah Zulkifli dipenjara selama itu alamat meranalah isteri dan anak-anak kecil ini meneruskan hidup.
Zulkifli tiada rekod jenayah. Seorang anggota masyarakat yang baik, aktif ke masjid berdekatan, malah mungkin satu-satunya anak kampung itu yang mempunyai lesen menyelam! Ini kerana hobi sejak muda dan melalui hobi ini beliau kerap dipanggil dalam operasi membantu mencari mangsa lemas dan seumpamanya.
Kini nasib Zulkifli di tangan anda, di tangan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin. Adakah kita sanggup biarkan undang-undang merampas kebebasan seorang wira seperti Zulkifli?
Selepas solat hajat yang diimamkan pimpinan Pemuda Sosialis, beliau berkata dengan tegas beliau tak mahu malah tak mampu untuk mengupah peguam. Beliau berhasrat untuk mewakili diri sendiri ketika perbicaraan nanti.
Katanya "tiada apa perlu diselindungkan, saya akan cerita sebiji-sebiji apa yang berlaku, Allah saksi saya dan saya teringin nak tanya pihak pendakwaraya atas alasan apa ingin dikemukakan beliau di mahkamah Allah nanti kerana mendakwa saya atas hak saya sendiri?"
Pemuda Sosialis terpaksa beredar demi kembali ke Kuala Terengganu menyertai penerangan ideologi pada masyarakat. Sempat menyampaikan sumbangan kalian dan saling mendoakan.
Kami akan terus mengikuti dan melaporkan perkembangan terkini berkenaan kes ini. Kami mengalu-alukan bantuan para pembaca dalam segenap segi bagi meringankan beban keluarga ini. Juga menggalakkan para peguam budiman untuk sudi membela Zulkifli secara pro-bono.
Terima kasih pada anggota Pemuda Sosialis Pantai Timur terutama anggota dari Kelantan yang memandu tanpa henti dari pagi dan sehingga program terakhir jam 12 malam. Syukur mereka selamat tiba ke Kelantan jam 3 pagi dan rehat seketika sebelum kembali bekerja.
Terima kasih pada seluruh Komrad PSM Kelantan dan Terengganu yang memberikan sokongan serta nasihat dalam pengendalian isu ini.
Jika ada sebarang pertanyaan untuk menyalurkan bantuan sila hubungi saya melalui emel nunyaqaf_aku@yahoo.com atau 0177144750. – 26 Disember, 2015.
* Penulis merupakan Ajk Pusat Pemuda Sosialis.

3 comments:

  1. Pejuang rakyat awok2 mr presideng di mana? Kot kot duk bercengkarama dgn ahli ahli parti cap keris krn mr presideng dh buka jalan

    ReplyDelete
  2. Undang2 rimba cap umno

    ReplyDelete
  3. Undang undang kuku besi ciptaan umnobn,...

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa