Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Saturday, December 26, 2015

Kerjasama Umno, Pas tidak selamatkan Najib

WARTAWAN SINAR HARIAN
26 DISEMBER 2015

SHAH ALAM - Kemungkinan akan berlakunya kerjasama Umno dengan Pas yang heboh diperkatakan pada masa ini, tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penganalisis komunikasi politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kerjasama kedua-dua parti itu jika menjadi kenyataan sekalipun tidak mungkin boleh menutup isu membelenggu Perdana Menteri.

“Walaupun asasnya kerjasama ini bertujuan ke arah perpaduan orang Islam (yang ada dalam kedua-dua parti berkenaan), namun pasti ada pihak yang membaca dari sudut lain bahawa kerjasama ini untuk menyelamatkan kedudukan Perdana Menteri yang pada masa ini diasak pelbagai isu.

“Skandal yang timbul terlalu besar, tidak mungkin kerjasama itu boleh menutup apa yang terjadi, Pas juga ada pendirian tentang 1MDB, isu wang derma dan sebagainya," katanya.

Isu kemungkinan berlakunya kerjasama Umno dengan Pas menjadi polemik selepas Perdana Menteri secara terbuka menghulurkan salam perpaduan kepada parti Islam itu dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno baru ini.

Bagaimanapun, ramai berpandangan usaha membentuk kerjasama dengan Pas itu dibuat bagi memastikan kedudukan Najib dalam keadaan baik serta melenyapkan desakan sesetengah pihak yang mahu beliau berundur.

Menurut Jeniri, kedua-dua pihak perlu jujur dalam kerjasama itu terutamanya parti pemerintah.

“Ujian pertama Umno adalah dalam isu royalti minyak di Kelantan,  perlu tunjukkan kejujuran kepada negeri pentadbiran Pas bahawa tidak ada dwistandard,” katanya.

Beliau bagaimanapun tetap menyifatkan kerjasama kedua-dua parti besar itu memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, perpaduan teras pembangunan, kemakmuran dan keamanan negara.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat pula berkata, penyatuan Melayu adalah cerminan kepada perpaduan masyarakat di negara ini.

“Tidak boleh dinafikan perkara itu kerana sekian lama, bangsa lain turut merasai kemakmuran dalam negara di atas dasar perpaduan yang wujud. Jadi sekiranya perpaduan orang Melayu lebih kukuh, ekonomi juga akan subur.

“Kita akan lihat fokus rakyat kembali kepada ekonomi, berakhirnya zaman fokus kepada politik. Perpaduan 70 peratus umat Islam di negara ini menjadi teras kepada penyatuan kepada bangsa lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa