Hishamuddin Rais -
Khamis ini kita akan menyambut perayaan Hari Krismas. Pagi, petang, siang dan malam beralih cepat sekali. Tiba-tiba kita masuk tahun baru. Selamat tinggal 2015 dan selamat sampai 2016. Empat tahun lagi kita akan menyambut tahun 2020 – tahun janji Mahathir.
Seratus tahun dari hari ini – kalau Kuantan belum ditenggelami bauksit dan kalau masih ada oksigen – jika anak cucu cicit piut kita membuka kitab dan membaca tentang tahun 2015 ini pasti mereka akan ketawa bedekah-dekah.
Kenapa tidak, tahun 2015 ini telah dinobatkan sebagai Tahun Melawak Malaysia.
Jangan lupa tahun 2015 bermula dengan banjir besar di Kelantan. Heboh satu negara. Banjir ini rupa-rupanya ada hikmah. Selama ini dengan senyap-senyap Tok Aji dan Pak Lebai telah berbismilah menyembelih hutan memotong balak. Dalam gelap-gelap ketika orang nyenyak tidur, tiba-tiba hutan dara Kelantan menjadi hutan janda.
Jangan buat-buat tak faham. Jangan buat buat tak kenal apa itu hutan janda. Hutan janda ialah hutan yang tidak berbulu dan tidak berbatang. Apabila hujan sampai semua telanjang basah. Air terpancut turun ke lurah hinggakan batang balak datang mengetuk pintu rumah.
Kesah banjir Kelantan 2014 ini menjadi bertambah hebat kerana ketika banjir melanda Kelantan, Mat Najib sedang bergolf dengan Mat Obama. Belum sempat bola Mat Najib masuk lubang, dunia alam siber telah buat heboh.
Pahlawan siber menyerang Najib yang dituduh tidak bertanggung jawab. Ketika Mek Ngoh dan Mek Som basah lenjan, si Najib ini sedang sibuk mencari lubang. Kesian Mat Najib bergegas pulang. Rancangan nak masuk 18 lubang di Hawaii gagal. Ini semua mesti salah Anwar Ibrahim.
Cerita Banjir Kelantan 2014 ini tak habis-habis. Sebaik sahaja Mat Najib menanggalkan baju golf, dia telah bertitah bahawa RM800 juta disediakan untuk membantu mangsa banjir. Ambo ulangi sekali lagi – RM800 juta – bukan rupiah bukan bhat.
Kisah banjir bertambah sedih. Dari apa yang ambo difahamkan hingga berakhirnya tahun 2015 ini. masih ramai lagi Mek Ngoh dan Mek Som yang duduk dalam khemah. Masih banyak rumah yang belum siap, rumah runtuh belum dibaiki.
Tiba-tiba untuk menguatkan cerita, muncul berita seorang gedebe United Malays National Organisation disiasat oleh SPRM kerana duit banjir hanyut. Entah gedebe jantan, entah gedebe betina. Tapi ada penafian. Maka di sini ambo tak berani cakap apa-apa takut kalau kalau menteri yang tidak diketahui jantan betina itu akan marah menyinga.
Cerita dari Kelantan ini tidak khatam kalau ambo tidak surahkan berita Tok Pa. Jangan salah baca. Tok Pa ini tidak ada sangkut paut dengan sejenis jenama seluar dalam. Tok Pa ini anak Jeli yang telah 20 tahun dicadangkan untuk menjadi menteri besar Kelantan, tapi tak dapat dapat.
Tahun 2015 ini muka Tok Pa selalu menjadi berita kerana Tok Pa disuruh oleh Najib menjual Tanah Melayu ke pasaran terbuka antarabangsa. Sebagai jurujual Tok Pa amat bijak berlebong.
Tok Pa cuba menyakinkan Mek Ngoh dan Mek Som, jika perjanjian TPPA ini ditandatangani maka Mek Ngoh boleh buka warung nasi dagang di San Francisco. Mek Som janda beranak tiga dari Dabong boleh menjaja budu di Fifth Avenue dan di Wall Street New York.
Ada ambo dengar berita dari Jeli yang telah melaporkan tentang seorang tok peraih durian dan Pok Soo Wayang Kulit telah membuat paspot untuk pindah berniaga ke Amerika.
Mengikut lebong Tok Pa, ada banyak hikmah di belakang perjanjian TPPA. Hanya penyokong Anwar Ibrahim sahaja yang menentang TPPA kerana mereka cemburu tak mahu melihat budu made in New York.
Bila ambo royak tentang Kelantan cerita ambo tak lengkap kalau ambo tak sebut tentang kesah anak rajo Gua Musang. Pada tahun 2015 ini nama anak rajo Gua Musang ini mencanak-canak naik.
Orang politik, orang niago semua menyebut-nyebut nama anak rajo ini akan menggantikan Najib. Ini bukan bermakna anak rajo Gua Musang ini akan berumah tangga dengan Rosmah. Bukan.
Macam-macam soh seh soh seh yang ambo dengar. Istana anak rajo Gua Musang ini bertali arus orang datang membawa sembah setia. Ada Datuk, ada Datuk Seri datang, ada pegawai pencen datang, ketua bahagian, bekas pegawai tentera, mat kampau, Towkay Kasut dan macam macam jenis orang yang datang.
Ada kisah pelik yang ambo dengar. Ramai juga YB yang berjumpa anak rajo Gua Musang tetapi semua memakai topeng. Mereka datang dalam gelap. Berbincang pun dalam gelap. Jadi ambo tak dapat nak royak dari parti mana asal usul para YB ini.
Sesudah anak Lebai Yasin dibuang dari jadi menteri, istana anak rajo Gua Musang makin sibuk. Tiap-tiap malam Istana bergelap gelita. Perbincangan dan rancangan sedang diatur.
Ambo dengar dari awal 2015 hingga ke akhir tahun, anak rajo Gua Musang telah mengumpul siak dan juak untuk mengangkat tandu untuk membawa anak rajo Gua Musang merafak sembah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong. Bukan untuk meminang Rosmah tapi untuk mengantikan isteri Rosmah.
Tahun 2015 sudah nak tutup. Nampaknya nasib Anak Rajo Gua Musang tak pernah berubah. Anak rajo Gua Musang ini akan terus menjadi calon tetap presiden United Malays National Organisation setiap kali parti ketuanan Melayu bersidang. Anak raja Gua Musang ini juga akan terus memegang jawatan Bakal PM Malaysia. Alhamdulilah.
Tahun 2015 juga akan ambo ingati juga sebagai tahun kebebasan lembu. Sebelum 2015 tutup tirai ada berita mahkamah melaporkan bagaimana seeekor bapak lembu telah dibebaskan dari tuduhan minum susu lembu secara haram.
Kisah lembu anak beranak ini adalah cerita lama. Tiga empat tahun dahulu seekor mak lembu telah dituduh mencuri duit sebanyak RM280 juta. Dengan duit curian sebanyak ini, mak lembu telah membeli kondo di Singapura.
Bayangkan lembu anak beranak telah sanggup tinggal dalam bangunan yang amat tinggi. Dari kondo yang tinggi ini lembu anak beranak boleh memesan rumput hanya dengan menggunakan jelingan mata. Ini cukup hebat. Oh, Malaysiaku!
Pada awal kisah, si bapa lembu telah dituduh bersubahat dengan mak lembu merembat duit kerajaan. Kalau ambo surahkan, labon ini agak berbelit-belit kerana apabila lembu merembat duit mereka jalankan dengan bijak bistari. Tambah tambah pula mak lembu ini adalah pemimpin lembu betina. Kalau lembu betina ini menonggeng dan terkentut, berkepuk-kepuk gas methane keluar. Silap-silap bangunan parlimen boleh meledak kerana kentut lembu.
Apabila bapa lembu dibebaskan dari kes curi, bapa lembu telah membuat satu kenyataan yang amat amat pilu lagi menyedihkan. Mengikut bapa lembu, oleh kerana bapa lembu dihadapkan ke mahkamah maka mak lembu telah hilang jawatan.
Bayangkan betapa sedihnya keluarga lembu ini. Bapa ada kes curi dan mak hilang kerja. Tapi tidak berapa jelas apakah anak-anak lembu ini masih lagi tinggal di kondo? Tentang babak ini ambo tak ada masa nak ambil tahu.
Tahun 2015 ini pasti akan dingati juga dengan kemunculan Ketua Twiter Negara (KTN). Jawatan KTN muncul dalam era pascamoden. Di zaman kolonial dahulu tidak ada KTN, yang ada hanyalah Ketua Rumah Pasong (KRP).
Ketua Rumah Pasong dahulu terdiri dari suku sakat Raymond Dancey – Mat Saleh cabuk bekas banduan dari Wales. Mereka dihantar ke Tanah Melayu dalam perjalanan ke Australia. Kerana tidak cukup arang batu hendak ke Australia maka Mat Saleh cabuk ini dilambakkan di Pelabuhan Klang. Hari ini KRP telah beralih tangan menjadi Ketua Twiter Negara.
Yang tidak beralih ialah perangai cabuk. Malah hari ini dikatakan KTN ini lebih cabuk dari Mat Cabuk Tanjung Keling. Kalau Mat Cabuk Tanjung Keling hanya menyamar sebagai Tok Arab menjual makjun. Kini KTN setiap hari menghantar twitter mengarahkan rakyat agar jangan membeli komik kartun Zunar.
Bila disebut nama Zunar ini maka tidak dapat tidak, tahun 2015 ini juga boleh dinobatkan sebagai Tahun Menangkap Zunar. Entah berapa kali si Zunar ini ditangkap, ditahan dan dituduh di mahkamah. Ambo dah lupa mengira kerana terlalu banyak. Ketua Twitter Negara cukup suka menghantar twitter mengarahkan para Mat Kampau datang beramai-ramai menyerbu Zunar.
Zunar ditangkap di pejabat, di kedai mesin cetak, dalam kereta dan dalam bilik tidur. Mat Zunar tukang buat karton ini dilihat sebagai musuh negara kerana mengajak orang ramai ketawa berdekah-dekah. Ambo selalu royak. Tidak lama lagi di Malaysia ini ketawa akan diharamkan. Ini kerana semua orang semakin amat berani mentertawakan rambut Datin Seri Rosmah Mansor yang dilukis oleh Zunar macam sarang tebuan. Kah kah kah.
Untuk ambo tahun 2015 ini akan terus ambo ingati sebagai tahun gagalis. Ambo telah digagalkan dari menaiki pesawat MAS untuk terbang ke Seoul, Korea.
Nampaknya rancangan ambo nak jumpa awek lama ambo di Stockholm terus gagal meleset. Cuti Krismas dan Tahun Baru ini ambo pasti tidak ke mana-mana. Duduk di rumah membaca komik Zunar sebelum ketawa diharamkan. Kah kah kah.
HISHAMUDDIN RAIS seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.
Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.
Tergeliat usus perut aku baca..
ReplyDeleteKah kah kah
kesedihan yang diluahkan oleh anak 1m
ReplyDeleteselagi gerombolan itu ditampok
ramai lagi akan dihempok
jangan lupa tibatiba dalam kesedihan ada chahaya
itu jam rasa macam tak percaya
sabar menggunakan masa
Terima kasih tuan kasi tumpang ketawa, kah kah ka....
ReplyDelete