Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, December 29, 2015

Bagaimanakah PKR dan Pas yang masih mengekalkan tahaluf siyasi

Mana satu parti menjadi pilihan pembangkang?
Posted on Monday, December 28 @ 10:43:36 MYT by paktam
Open Artikel Oleh Zulkefli Hamzah

Selepas Pakatan Rakyat diisytiharkan berkubur dan terbentuk pakatan baharu, hubungan PKR dan Pas menjadi kelam-kabut. Sekejap dikata kehadiran Pas sangat diperlukan tetapi di waktu lain pula, parti berlambang bulan itu terus disisihkan.

Awal bulan ini, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dipetik sebagai berkata, gabungan pilihan raya dengan Pas menjadi satu-satunya cara untuk pembangkang menawan Putrajaya. Rafizi mengaitkan hujahnya itu dengan satu kaji selidik yang menyimpulkan Pas masih mendapat sokongan pengundi Melayu.

Tetapi minggu ini, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail membayangkan Pas tiada tempat dalam pembahagian kerusi pilihan raya negeri Sarawak yang dijadual diadakan pada April depan. Ketua pembangkang itu berhujah Pas kurang sambutan di Sarawak berbanding di Semenanjung.

Reaksi itu diberikan oleh Wan Azizah selepas mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan. Amanah pula yang menggantikan kedudukan Pas dalam gabungan baharu DAP dan PKR itu, hampir pasti akan bertanding di Sarawak. Nampaklah, parti mana sebenarnya yang menjadi pilihan PKR.

Hujah Wan Azizah pastilah berdasarkan prestasi Pas di negeri itu. Di Sarawak, Pas boleh mengaku mempunyai sokongan kuat. Hakikatnya parti ini yang memulakan langkah dengan bertanding di Parlimen Batang Lupar pada pilihan raya umum 1999, masih gagal meraih sebarang kerusi.

Pas mengaku kini mereka aktif di 11 kawasan dan mempunyai kira-kira 3,000 aktivis yang bersedia bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya negeri. Bagaimanapun menurut penganalisis, Pas belum mendapat tempat di hati rakyat Sarawak. Mereka ada pilihan yang lebih baik yakni Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Semasa waktu terbaik pakatan pembangkang meraih kemenangan pada pilihan raya umum 2013, Pas kalah teruk di lima kerusi yang diperuntukkan kepadanya. Pas, buat masa ini tidak mungkin mampu memecahkan dominasi PBB walaupun dengan bantuan PKR yang juga tidak seberapa daya itu.

Di atas kertas begitulah perhitungannya. Mudah untuk Wan Azizah menggunakan hujah ini. Tetapi bagaimana pula dengan PKR di Kelantan. Parti ini juga ‘kurang sambutan’ dan boleh dianggap tidak mempunyai kerusi di Kelantan. Orang Pas Kelantan menganggap PKR hanya wujud atas jasa baik mereka.

Gagal dipertahankan

Satu-satunya kerusi yang PKR ada di DUN Guchil, yang dimenangi dengan majoriti tipis 492 undi. Pada PRU-13, PKR bertanding di semua kawasan milik mereka iaitu Parlimen Ketereh, Machang dan Tanah Merah dan ketiga-tiganya gagal dipertahankan.

Di Parlimen Ketereh dan Tanah Merah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) walaupun dua DUN di kedua-dua kawasan itu dimenangi oleh Pas. Di Parlimen Machang, keadaan lebih teruk apabila tiga DUN di kawasan itu dimenangi oleh BN.

Bagaimanakah PKR dan Pas yang masih mengekalkan tahaluf siyasi itu akan menyelesaikan isu pembahagian kerusi ini? Pilihan raya negeri Sarawak bakal menjadi medan ujian.

Tetapi, apa kesudahan ceritanya mudah ditelah. Akibat hubungan tidak dijalin dengan keikhlasan dan semangat muafakat untuk menjadi sebuah entiti yang lebih baik kini mula menghantui pembangkang. Ibarat kanser, hubungan itu telah merosakkan organ-organ penting pakatan pembangkang yang sudah pun berpecah itu.

Inilah akibat kerjasama didorong oleh nafsu untuk berkuasa dan saling menjatuhkan. Hubungan itu diasaskan atas rasa benci yang amat sangat. Akibatnya apa sahaja yang dilakukan oleh seteru politik serba buruk belaka. Akibatnya, yang lebih fatal ialah perseteruan politik itu telah mendorong perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Begitupun selepas berbulan-bulan lamanya, hubungan PKR dan Pas belum juga jelas. Yang jelas hanya di Pulau Pinang. Orang Pas disisihkan secara sistematik, kecuali yang mengambil jalan songsang menyokong kepemimpinan DAP.

Di waktu lain, selama berbulan-bulan itu pula Pas masih berhubungan secara rasmi dengan pimpinan DAP di Selangor. Hubungan itu masih berkekalan atas ihsan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walaupun banyak kali menerima tekanan khususnya daripada DAP.

DAP, apatah lagi PKR dan Wan Azizah sendiri sebenarnya tidak berani untuk terus menekan Azmin. Timbalan Presiden PKR ini yang dikelompokkan dalam satu kem lain dalam parti milik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, sedang memegang kuasa.

Kuasa itu lebih besar daripada Presiden PKR mahupun penasihatnya yang kini bermastautin di Sungai Buloh, iaitu kedudukan Menteri Besar Selangor. Azmin yang dikenal licik berman politik boleh bila-bila masa menggugurkan DAP daripada kerajaan negeri. Azmin malah boleh memusnahkan PKR dan memporak-perandakan Pakatan Harapan.

Beliau ada pilihan untuk berpaling tadah dan membentuk kerajaan negeri bersama Pas dan UMNO. Senjata itu ada pada Azmin. Taraf hubungan gantung tak bertali, salai tak berapi ini memang menguntungkan Azmin.

Benarlah seperti kata Rafizi, pakatan pembangkang tidak akan mampu ke Putrajaya tanpa Pas. Pakatan tidak mungkin akan memperolehi semuanya. Dalam kedudukannya sekarang, ada yang perlu dilepaskan.

Sama ada melepaskan peluang di Sarawak tetapi kekal di Pulau Pinang dan Selangor. Atau, terus mengekalkan entiti Pakatan Harapan dan Pas tetapi melepaskan impian ke Putrajaya. Dalam segala perhitungan itu, yang tetap meraih untung ialah Lim Guan Eng di Pulau Pinang dan Azmin di Selangor.- utusan.com.my

# Walau pun article nampak senget sebelah. Namun apa yang diperkatakan ada faktanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa