Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, June 12, 2016

Titah Raja-Raja Melayu 'dibakul sampahkan'

MALAYSIA MENUJU DIKTATOR: TITAH RAJA-RAJA MELAYU "DIBAKUL SAMPAHKAN"

1. Saya merujuk kepada Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah sah dijadikan undang-undang pada 7 Jun yang lalu berdasarkan Perkara 66(4)(a) Perlembagaan Persekutuan tanpa mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong.

2. Suka saya mengingatkan semua pehak bahawa di dalam Persidangan Majlis Raja-Raja ke 240 yang diadakan pada 16 Februari 2016 yang lalu, Majlis Raja-Raja mengambil perhatian serius terhadap cadangan akta ini yang dilihat memberi kuasa yang begitu besar kepada Perdana Menteri dan MKN dalam soal keselamatan negara. Lantaran itu, Majlis Raja-Raja melalui kenyataan bertulis yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 17 Februari 2016 telah menitahkan kerajaan supaya meneliti dan memperhalusi kembali beberapa peruntukan di dalam rang undang-undang tersebut.

3. Majlis Raja-Raja juga menyatakan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan menulis surat rasmi kepada kerajaan berkaitan perkara tersebut. Peguam Negara sendiri kemudiannya telah menyatakan bahawa pihaknya akan melakukan tindakan sewajarnya bersabit dengan titah Majlis Raja-Raja tersebut. Manakala di dalam persidangan Dewan Rakyat pada 24 Mac 2016, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan bahawa kerajaan akan mengambil kira pandangan Majlis Raja-Raja tersebut dan berjanji bahawa kerajaan akan sekali lagi membuat sembah taklimat berhubung kandungan rang undang-undang tersebut kepada Majlis Raja-Raja.

MAJLIS RAJA RAJA DAH JADI LEBIH RENDAH DARI MAJLIS KETUA KAMPUNG

4. Oleh itu, amatlah memeranjatkan kita semua apabila dimaklumkan bahawa rang undang-undang yang penuh kontroversi tersebut secara tiba-tiba telah sah menjadi suatu akta tanpa mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong. Tambah memeranjatkan lagi apabila Peguam Negara sendiri mengakui bahawa versi rang undang-undang yang telah disahkan menjadi Akta MKN tersebut adalah sama sebagaimana yang diluluskan Parlimen pada Disember 2015 dan langsung tidak diperbaiki sebagaimana yang dititahkan oleh Majlis Raja-Raja. Ini menunjukkan bahawa Peguam Negara dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri tidak menepati janji untuk memperbaiki rang undang-undang ini dan juga membawanya untuk dibincangkan dengan Majlis Raja-Raja. Tindakan ini suatu penghinaan terhadap Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja Raja dan meletakan Majlis Raja Raja lebih rendah dari Majlis Ketua Kampung.

5. Saya berpandangan tindakan kerajaan ini yang "membakul sampahkan" titah Majlis Raja-Raja adalah suatu tindakan menuju ke arah kediktatoran yang sangat biadap dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu yang merupakan tonggak utama kepada sistem pemerintahan dan undang-undang negara di samping menjadi mekanisme semak dan imbang (check and balance) terhadap apa jua tindakan badan Eksekutif. Harus diingat, keprihatinan yang disuarakan Majlis Raja-Raja terhadap peruntukan-peruntukan represif yang terdapat di dalam Akta MKN ini bukanlah untuk kepentingan peribadi Raja-Raja Melayu. Tetapi ianya dibuat mewakili suara rakyat Malaysia dan bersandarkan kepada kesedaran untuk melindungi demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

6. Kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib pada masa ini sedang berdepan dengan tekanan yang sangat kuat dari segenap penjuru akibat dari skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Skandal ini adalah mimpi ngeri kepada Perdana Menteri Najib dan isterinya Rosmah. Maka tidak sukar difahami bahawa undang-undang drakonian seperti Akta MKN ini amat diperlukan untuk menjadi "perisai" bagi mempertahankan batang tubuh Perdana Menteri Najib dan kerajaan BN walaupun terpaksa membelakangkan Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

7. Saya dan rakyat Malaysia tidak boleh menerima sama sekali perlakuan tidak menghormati serta menghina Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang dilakukan oleh kerajaan ini. Justeru, saya mendesak kerajaan supaya membatalkan akta ini dan meminta maaf kepada Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

#UndurNajib
#TolakCalonNajib
#SelamatkanMalaysia.

DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
15.15pm Taman Al-Walid Alor Setar Kedah
10 Jun 2016.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa