Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa kumpulan yang dibawa dengan penerbangan khas, seperti yang dipersoalkan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan pengundi berdaftar Malaysia.

Tengku Adnan dalam satu laporan Bernama juga menjelaskan, penerbangan berkenaan dibiayai oleh "rakan-rakan BN".

"Tidak ada apapun yang benar berhubung dakwaan pembangkang, tidak lain dan tidak bukan penumpang itu hanya pengundi berdaftar Malaysia," katanya seperti dipetik dalam laporan agensi berita dikuasai kerajaan persekutuan itu.

Tambahnya, tindakan PKR membangkitkan perkara itu adalah usaha untuk "memburuk-burukkan sistem pilihan raya".

Sedangkan, Pakatan Rakyat turut menempah bas untuk membawa pengundi dari negara jiran, katanya.

Malah, BERSIH, turut membayar tambang penerbangan bagi rakyat Malaysia untuk pulang dari Shanghai dan Hong Kong, katanya lagi.

"Pakatan rakyat secara sinis cuba menimbulkan keraguan mengenai keadilan sistem pilihan raya bagi melemahkan demokrasi Malaysia.

"Ia adalah satu kempen bagi memburuk-burukkan sistem pilihan raya menjelang pilihan raya. Pembangkang sedang menyediakan satu alasan bagi kekalahan mereka," kata Tengku Adnan, yang merupakan penyandang kerusi parlimen Putrajaya.

Terdahulu hari ini, Anwar mendakwa Pejabat Perdana Menteri (PMO) terlibat dalam operasi untuk membawa masuk pengundi yang dicurigai dari Malaysia Timur ke Semenanjung.

Anwar mendakwa PKR memperolehi bukti dokumen dan fotograf berhubung 16 penerbangan sewa khas yang membuat perjalanan setiap hari dari pelbagai lokasi di Malaysia Timur.

Beliau mendakwa, sekurang-kurangnya 40,500 orang akan dibawa dalam penerbangan tersebut menjelang hari mengundi.

Beliau juga mendakwa, daftar penumpang yang didakwa diperolehi PKR, menunjukkan bahawa penumpang tersebut merupakan warga asing. 

Mengulas dakwaan itu, PMO hari ini turut mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terlibat membawa pengundi yang dicurigai itu, seperti didakwa Anwar.

"Pejabat Perdana Menteri menafikan sebarang pembabitan berhubung penerbangan seperti ini.

"Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertungkus lumus memastikan bahawa sistem pilihan raya lebih kukuh daripada sebelum ini, dan pilihan raya adalah bebas dan adil,” kata seorang jurucakap kerajaan dalam laporan Bernama