Bayi masih hidup dibuang belakang kedai
10 Disember 2013
Bayi yang ditemui dibawa ke HRPB untuk pemeriksaan lanjut
IPOH - Seorang juru kimpal terkejut selepas mendapati bunyi yang disangka kucing mengiau rupanya suara tangisan bayi.
Bayi perempuan cukup sifat yang baru dilahirkan itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian di lorong belakang deretan rumah kedai baharu di Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia , di sini pagi semalam.
Chong Lean Fatt, 48, berkata, ketika kejadian, dia sedang melakukan kerja-kerja memasang jeriji besi bersama rakannya di sebuah kedai di kawasan berkenaan.
“Kira-kira jam 10 pagi, saya bersama rakan sibuk melakukan kerja sebelum mendengar suara seperti bayi menangis di luar premis.
“Saya sempat bertanya kepada rakan sekerja, sama ada dia ada mendengar suara bayi tersebut, tetapi dia jawab mungkin bunyi itu datang dari kucing atau anjing yang lalu di situ.
“Bagaimanapun, pada jam kira-kira 11 pagi, saya terdengar jeritan penyelia yang kebetulan berada di luar premis memberitahu dia menemui bayi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Lean Fatt berkata, dia dan rakannya bergegas keluar dan melihat seorang bayi perempuan ditinggalkan di tepi jalan tar kira-kira 20 meter dari premis tempat mereka bekerja.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bayi terbabit pada jam 11.10 pagi.
Menurutnya, bayi cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui dipercayai baru lahir ditinggalkan tidak berpakaian dalam keadaan tertiarap di lorong belakang premis kedai yang baru dibina.
“Bayi itu ditemui dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya serta dibawa ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya semalam.
Ahmad Termizi berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa