18 Disember 2013
Ahli Parlimen Penampang P.174, Darell Leiking bercakap kepada wartawan Sinar Harian dalam sebuah wawancara eksklusif baru-baru ini. Foto Sinar Harian oleh Zulfadhli Zaki.
[VIDEO] KITA mungkin jarang mendengar atau berpeluang mengetahui tentang corak kehidupan dan politik di Sabah. Namun bila tiba musim pilihan raya, negeri ini sering dilabelkan sebagai 'fix deposit' Barisan Nasional (BN).
Namun sejauh mana ia benar dan apakah penerimaan rakyat di negeri di bawah bayu ini? Sinar Harian Online berpeluang menebual satu-satunya pemimpin PKR yang dilantik di negeri itu bagi mewakili Parlimen Penampang, iaitu Darell Leiking. Ikuti temuabual yang telah disediakan oleh JAMILAH HAMZAH dan jurukamera, MD KHAIRINNIDZAM OSMAN.
SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini gempar dengan ahli PKR keluar beramai-ramai di Sabah, kalau boleh YB ceritakan sedikit, apa punca sebenarnya perkara itu berlaku?
DARELL: Baru-baru ini kita tahu ada dua orang ahli PKR dan seorang dari DAP yang juga meninggalkan parti. Ketiga-tiga wakil rakyat ini telah memberi pelbagai alasan, bagaimanapun kita tahu mereka berada dalam keadaan tertekan, kerana di Sabah ini ia berbeza sedikit dengan Semenanjung.
Ada di satu kawasan Sabah, kawasannya sangat luas, di mana rakyat meminta untuk adakan pembangunan. Sebagai wakil pembangkang, bantuan tidak akan sampai kepada kita.
Kerajaan akan melakukan seperti biasa, yang perlu, namun apabila tahap memberi pertolongan kepada kehidupan rakyat setiap hari, kita pembangkang hanya boleh menolong mereka dengan cara peribadi atau apa yang kita ada sahaja.
Kalau wakil kerajaan BN mereka ada kemudahan yang boleh menolong rakyat, namun pembangkang tidak ada kemudahan itu.
Oleh itu saya tahu niat ketiga-tiga individu yang keluar daripada PR itu adalah baik, namun apabila mereka mengkritik parti itu adalah salah.
Ini kerana mereka menang, dalam perjuangan PKR dan DAP. Jadi itu tidak sesuai atau tidak "ngam".
SINAR HARIAN ONLINE: Kita lihat PKR adalah antara parti yang baru menapak di Sabah, jadi bagaimana YB mahu mengekalkan parti ini supaya kekal relevan di Sabah?
DARELL: Saya telah diberi peluang dan mandat daripada rakyat di Parlimen Penampang, saya juga wakil pertama daripada PKR.
Saya adalah orang Bumiputera, kerusi yang kita menang adalah kerusi Bumiputera dan menjadi contoh.
Parlimen Penampang penduduknya terdiri daripada kaum Bumiputera, iaitu Kadazan. Kita telah jadi satu contoh kepada pembangkang di Sabah dan Sarawak, yang pembangkang di kawasan Bumiputera telah diberi peluang khususnya di Borneo.
Jadi pembangkang di sini agak berat, kita perlu tunjuk bahawa rakyat tidak menyesal memberi kami mandat.
Oleh itu, persembahan kami juga perlu memikirkan semua kawasan di Sabah dan Sarawak serta Semenanjung, tidak hanya fokus di kawasan kami sahaja.
Kami percaya, kita di Sabah adalah rakan yang sama taraf dan rakan kongsi di Semenanjung Malaysia dan juga Sarawak.
Kalau kita cakap fasal Sabah, kita juga perlu tahu orang di Semenanjung juga mengikuti isu yang dibangkitkan oleh kami.
Kami tak boleh bawa masalah di Sabah sahaja, kita mesti bawa masalah di Semenanjung juga, kita perlu laksanakan tugasan kita sebagai rakan kongsi dalam Malaysia.
Sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri juga, Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi Malaysia. Jadi ini yang saya ingin bawakan supaya anak-anak kita di Malaysia akan faham sejarah kita ini unik.
Kita perlu implimentasikan perjanjian kita yang telah dijanjikan semasa pembentukan Malaysia 1963.
SINAR HARIAN ONLINE: Sabah seringkali dikaitkan dengan kemunduran berbanding negeri lain di Malaysia, jadi adakah YB rasa isu kemunduran ini dijadikan senjata untuk PR menawan negeri itu?
DARELL: Sabah tidak boleh mundur, sepatutnya tidak. Jadi Sabah perlu terbuka, rakyat di sini telah bangkit sehingga menukar empat kerajaan di Sabah.
Daripada kerajaan Usno, Berjaya, PBS, dan sekarang kerajaan BN. Tapi apa terjadi, masalah besar telah wujud di Sabah. Contohnya seperti kita dengar projek IC, orang pendatang tanpa izin (Pati) telah diberikan IC dan menjadi warganegara di Malaysia.
Kita juga tahu, Pati ramai di Sabah sehingga mereka berhijrah ke Semenanjung. Selain itu, ada juga kes kematian seorang pegawai bank, yang mengaku penduduk Sabah, namun memegang IC palsu.
Begitu juga di Pulau Pinang, beberapa pengawal keselamatan yang mengaku datang dari Sabah namun mereka tidak mempunyai kad pengenalan. Jadi bagaimana mereka ini boleh datang ke Semenanjung, jadi masalah di Sabah telah menjadi masalah di Semenanjung.
Kemunduran dalam hal pembangunan di Sabah, ya, orang Sabah marah. Bagaimanapun isu yang membimbangkan rakyat di sana adalah masa depan mereka. Mereka memikirkan bagaimana masa depan mereka.
Sekarang, orang Sabah perlu bersaing dengan pekerja warga asing. Kesukaran mendapat pekerjaan.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pemimpin di Sabah terutamanya YB memain peranan untuk mengubah keadaan negeri ini yang sering dikaitkan kemunduran?
DARELL: Kita perlu berubah, kita perlu fikirkan apa yang berlaku di Semenanjung iaitu apa yang mereka rasa, kita juga rasa.
Sekarang, kebanyakan rakyat di Semenanjung tidak tahu apa masalah yang berlaku di Sabah. Kalau ada pun mereka hanya tahu melalui media sosial dan sebagainya.
Bagi saya, banyak isu telah saya bawa bukan hanya masalah daripada Sabah sendiri tetapi dari seluruh Malaysia.
Kita tak boleh berhenti bercakap masalah di Sabah, lebih lagi memberi keadilan kepada pengedaran sumber di sana.
Kalau di Sabah orang cakap gas banyak, namun ia diedar kepada Bintulu. Kita perlukan industri kekal. Apa yang saya lihat di Semenanjung, ramai orang yang inovatif.
Apabila banyak rakyat yang inovatif, mereka mahukan perubahan terutama dari segi penyampaian maklumat.
Kalau Sabah diberi pendedahan kedua-dua belah pihak terutamanya pembangkang dan kerajaan, saya yakin orang Sabah akan bersama dengan kamu.
Kalau kita lihat kerusi BN, kita tolak Sabah dan Sarawak, kita tolak pakatan pembangkang, BN hanya menang 75 kerusi di Semenanjung.
Kalau PR, tolak sembilan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, kita sudah menang dengan 80 kerusi.
Teknikalnya, BN telah "K.O", telah kalah di Semenanjung tetapi orang di Sabah dan Sarawak, mereka tidak respon dengan kemahuan majoriti di Semenanjung.
Jadi saya percaya kebanyakan orang di Semenanjung bersedia untuk ubah sedikit kecewa dengan kami di Sabah.
Kita mahu perubahan, sebab sesekali dalam kerajaan kita perlu "test", kita ada keutamaan dan pelbagaikan.
Kalau PR gagal, kita buang PR bawa kerajaan yang boleh buktikan kejayaan.
Tahun depan akan ada pilihanraya di Sarawak, kalau di Sarawak kerajaan negeri bertukar, maknanya kerajaan Persekutuan juga kan bertukar.
Ini kerana Parlimen di Sarawak adalah 31, tolak enam tinggal 27. Kalau kerajaan negeri tukar, kerajaan Persekutuan juga akan tukar. Ini secara automatik.
Di Sarawak mempunyai sedikit perbezaan dengan Sabah, di sana BN berasaskan parti tempatan, tak ada parti nasional, iaitu tiada MCA dan MIC.
Orang Sarawak yang unik ini akan jaga status "quo" mereka. Daripada PR pula, mereka adalah parti asing, iaitu PKR, Pas dan DAP. Jadi bagaimana kita nak bawa Sarawak berubah ke PR, ini cabaran kita.
Jadi orang seperti saya sebagai orang Borneo, saya perlu pergi ke Sarawak untuk memberi penjelasan kepada mereka. Kita tidak boleh menyelesaikan masalah sehingga kita transform kerajaan.
Ini kita perlu pada mereka untuk mengubah kerajaan. Ini kerana kerajaan di Semenanjung telah bersedia 75 dan 80. Ini bermakna orang Semenanjung sedang menunggu kita.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah itu telah dimulakan, sejak bila?
DARELL: Ya, kita sudah mulakan. Kita telah lakukan selepas PRU dan selepas kita nampak harapan untuk membentuk kerajaan, ini adalah tugas berat sehingga untuk memenangi tugas di Sabah dan Sarawak.
Di Sabah hanya ada tiga ahli Parlimen, atau 25 berbeza dengan Sarawak, kita ada enam ahli Parlimen pembangkang. Kita boleh jadi "third force". Kita ada idea yang bagus, kita ada PR yang terdiri daripada pelbagai parti.
Contohnya Pas, walaupun parti Islam, namun mendapat sokongan pelbagai kaum.
SINAR HARIAN ONLINE: Adakah faktor keremajaan calon boleh mempengaruhi pengundian di Sabah, di sini semua parti berusaha keras untuk memenangi golongan muda ini.
DARELL: Sama juga di Sabah, cumanya di sini kita lebih banyak tumpu kepada orang yang mempunyai nama. Oleh itu, seperti saya wakil rakyat yang muda ada tugasan besar untuk menarik orang muda supaya mereka nampak, ini adalah tentang kita semua.
Kaum muda, pengundian mereka ini akan memberi kesan kepada masa depan. Kalau mereka buat keputusan berdasarkan emosi, bermakna kita gagal.
Jadi kita bertanggungjawab menyampaikan maklumat dalam segala isu. Ini perlu untuk mereka membuat keputusan yang betul.
Kita dalam PKR telah lakukan satu pindaan umur terhadap Angkatan Muda Keadilan (AMK). Walaupun pada mulanya kita ada sedikit masalah, akhirnya ia diterima iaitu tahap umur 35 tahun.
AMK bukan untuk pemuda tapi untuk wanita juga.
Faktor kejayaan dan untuk kekal kemenangan kita adalah perlu komited dengan rakyat. Kita perlu bawa isu yang boleh difahami oleh orang muda seperti peluang pekerjaan, isu rumah dan sebagainya.
Sabah juga mengalami masalah yang sama, harga rumah di sana terlalu mahal. Selain itu, harga kereta yang mahal, kalau daripada Semananjung masuk ke Sabah harga kereta akan naik dua atau tiga ribu. Kalau alasannya kerana upah penghantaran dan sebagainya, bagaimana pula dengan harga petrol. Kamu ambil petroleum di Sabah, proses di Semenanjung, kemudian hantar semula ke sini, harganya boleh sama.
Jadi adakah ini tidak menggunakan pengangkutan, tak ada kos penghantaran? Harga petrol boleh sama. Ini saya tidak faham.
SINAR HARIAN ONLINE: Kepimpinan Sabah yang terdahulu sering dikaitkan dengan penyelewengan secara besar-besaran, adakah YB rasakan faktor itu memberi kelebihan kepada PR untuk digunakan bagi menawan negeri itu?
DARELL: Masalahnya bukan hanya pemimpin yang pertama atau kedua, atau ketiga. Masalahnya semua dalam sistem pentadbiran telah korup, kita boleh lihat menteri Kabinet di Sabah bagaimana dia menjadi pemimpin. Kalau kamu pergi ke sana, kamu akan terkejut bagaimana caranya mereka memimpin.
Jadi, untuk kita buat perubahan pertamanya kita perlu percaya dimana kita akan buat kerajaan baru yang bebas semua itu. Kita perlu beritahu rakyat, dan perlu tunjuk ke arah itu.
Kita kena tunjuk kita tak setuju dengan rasuah, kita perlu jujur. Standard perlu ada, dalam PKR kita perlu ada standard, bukan lantik kawan kerana dia kawan, tetapi perlu jujur dilakukan secara jujur.
Setiap wakil rakyat perlu bertanggungjawab, dengan memikirkan saya tak mahu rasuah sebab tidak mahu generasi kita akan datang tersiksa.
Jadi saya rasa, akses di Sabah terlalu banyak, kamu boleh lihat perkara itu. Kita perlu hentikan ini. Boleh dikatakan rasuah berpunca daripada Sabah kerana mereka terlalu kaya di sana.
SINAR HARIAN ONLINE: Di Sabah dan Sarawak mungkin mempunyai masalah yang berbeza dengan Semenanjung Malaysia, atau mungkin ada persamaan, jadi boleh YB kongsikan apa masalah sebenar di Sabah?
DARELL: Peluang pekerjaan, yang tidak profesional. Sekarang telah diambil alih daripada warga asing, jadi kita tak dapat peluang.
Dulu orang dari Sabah, mereka datang ke Semenanjung boleh menjadi juru wang atau pekerja kilang, namun sekarang peluang itu sudah tidak dapat. Sepatutnya itu peluang untuk kita semua rakyat Malaysia.
Yang lainnya, apabila perjanjian Perkongsian Trans-pasifik (TPPA) yang bakal ditandatangani juga bakal memberi saingan kepada rakyat Malaysia.
Isu lain adalah, rumah ia sama dengan golongan muda di Semenanjung. Semua orang memerlukan rumah untuk membina keluarga.
SINAR HARIAN ONLINE: Hujung bulan lalu, satu kongres khas PKR telah diadakan, dalam kongres itu, pindaan perlembagaan terhadap jawatan tiga jawatan naib presiden, di mana satu di antara tiga jawatan itu perlu diberikan kepada Sabah dan Sarawak, jadi bagaimana YB melihat perkara ini?
DARELL: Saya fikir itu strategi bagi PKR dalam konteks untuk memegang Sabah. Saya fikir Sabah dan Sarawak perlu diberi ruang untuk bertanding menjadi naib presiden, perlu diberi ruang.
Ini adalah satu komitmen dalam parti untuk memberi orang daripada Sabah atau Sarawak jawatan naib presiden secara lantikan disamping kita juga boleh bertanding.
Jika calon yang bertanding tak dapat peluang, terutama di Sabah dan Sarawak, jadi kita cadangkan parti meletakkan satu komitmen bagi ruang kepada Sabah dan Sarawak dan boleh bertanding untuk jawatan tertinggi parti.
Itu idea bagus, dan pindaan perlembagaan itu idea positif bagi saya.
SINAR HARIAN ONLINE: Ada yang mendakwa sistem kuota untuk jawatan naib presiden parti menunjukkan ketidakmampuan PKR di Sabah dan Sarawak terampil kemampuan. Apa komen YB?
DARELL: Tidak juga, sebab kita boleh bertanding. Ruang yang satu itu adalah tetap, yang kita tidak boleh pertikaikan lagi dan ditukar. Ia tidak boleh ditukar walau dengan apa cara sekalipun.
Itu penting untuk membawa agenda di Sabah dan Sarawak. Selain daripada itu kita bertanding.
Pindaan perlembagaan baru-baru ini yang dilakukan PKR, iaitu akan melaksanakan perjanjian Malaysia 1963. Sebagai orang Sabah satu daripada alasan untuk saya bertanding sebagai jawatan naib presiden ialah untuk melaksanakan perjanjian itu.
Saya percaya saya dan rakan yang lain perlu berterima kasih kepada PKR kerana bagi kepercayaan kepada kita.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa