Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menafikan bahawa beliau telah membuat kenyataan berhubung dakwaan salah laku ke atas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung kes yang menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

“Saya tidak pernah membayangkan atau menyebut (apa-apa) berhubung dana di Hong Kong atau perkara seperti itu,” katanya dalam afidavit setebal 26 halaman yang difailkan semalam.

Afidavit itu bagi menyanggah dakwaan dalam pengakuan bersumpah oleh bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim.

Shafee yang menyifatkan Mat Zain sebagai “pemarah” juga dengan tegas menafikan menerima apa-apa maklumat mengenai dakwaan berhubung tindakan dan kawalan Abdul Gani ke atas kes Pulau Batu Puteh yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 23 Mei 2008.

Shafee seterusnya menafikan bahawa beliau membuat kenyataan mengenai siasatan kes 'mata lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diketuai oleh Mat Zain.

“Semua perkara yang dikaitkan oleh Mat Zain kepada saya itu adalah khabar angin sekiranya ia berpunca daripada saya dan tidak boleh dijadikan bahan atau penyebab kepada apa-apa laporan polis yang bertanggungjawab ke atas sesiapa pun,” katanya.

Shafee turut mengulangi penafiannya ke atas dakwaan terdapat komplot dia antara beliau, Mat Zain, bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff, Matthias Chang dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Abdul Gani.

Beliau turut memberi amaran untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana akhbar, tabloid dan blog yang menerbitkan laporan “berniat jahat” seperti itu.

Kes menarik yang kita nak tahu - Shafee mahu dedah hubungan Mat Zain-Anwar