Published: 11 June 2014 | Updated: 11 June 2014 11:56 AM - MI
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin dicadangkan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) peringkat negeri bagi menyiasat semula kenapa Malaysia kalah kepada Singapura dalam perbicaraan menuntut pulau Batu Puteh di Mahkamah Antarabangsa (ICJ).
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim dalam satu kenyataannya berkata, cadangan ini berdasarkan titah Tuanku Sultan Johor dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini.
Mat Zain berkata, keputusan Khaled hanya menubuhkan satu jawatankuasa di bawah seliaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) tidak tepat langsung dengan perintah diraja tersebut.
"Saya berpendapat MB Johor wajar membatalkan jawatankuasa yang dibentuk dan diletakkan di bawah UPEN seperti yang beliau umumkan. Sebaliknya Khaled hendaklah segera menguruskan penubuhan RCI mengikut perbekalan dalam Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.
“Saya percaya soal pembiayaan RCI Pulau Batu Puteh peringkat Johor ini tidak akan menjadi masalah," kata Mat Zain dalam satu kenyataannya.
Mat Zain mendakwa, ada tindakan sabotaj dilakukan oleh delegasi Malaysia ke mahkamah antaranbangsa itu ketika perbicaraan berlangsung.
Beliau mendakwa, mengikut fakta, Malaysia kalah kepada Singapura bukan kerana delegasi mereka lebih bijaksana atau mereka memiliki faktor sejarah yang lebih kukuh.
"Kita kehilangan Pulau Batu Puteh, kerana perbuatan khianat dan sabotaj oleh orang atau mereka dalam delegasi Malaysia, yang mengemukakan keterangan palsu pada saat akhir, iaitu 4 hari sebelum prosiding ICJ bermula," katanya.
Keterangan kontroversi itu adalah dalam bentuk sekeping gambar Batu Puteh yang dipalsukan (‘doctored’ photo) untuk menunjukkan kehampiran pulau tersebut kepada tanah besar Johor.
Katanya, gambar itu dibuktikan oleh peguam negara Singapura, sebagai diceduk oleh delegasi Malaysia daripada sebuah blog tanpa nama yang dimuat naik, kira-kira sebulan sebelum prosiding ICJ bermula.
"Keterangan kontroversi itu dipercayai memusnahkan sama sekali, kredibiliti hujah dan keterangan yang cukup bagus dan kukuh, yang dibentangkan oleh pihak kita, di permulaan prosiding tersebut," katanya.
Beliau berkata, perbuatan mengemukakan gambar palsu itu perlu disiasat dan hanya RCI yang mampu untuk menyiasatnya.
"Jika perbuatan mengemukakan gambar palsu berkenaan dalam prosiding ICJ itu, bukan perbuatan sabotaj atau pengkhianat, saya tidak tahu apa perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perbuatan terkutuk, keji dan mengaibkan negara ini," katanya.
Katanya, perkara yang perlu disiasat sekarang ialah, siapa yang memperkenalkan gambar kontroversi tersebut dan siapa membenarkan gambar dalam keadaan sedemikian dikemukakan ketika prosiding ICJ itu.
"Adakah orang yang terlibat itu adalah pegawai negeri Johor atau Persekutuan atau kedua-duanya sekali," katanya. – 11 Jun, 2014.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa