Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Wednesday, June 11, 2014

Ape Ker Lembunya, Bukti Diarah Padam Tapi Didakwa!

Perbicaraan juruterbang TUDM: Saksi beritahu diarah padam bukti 
OLEH LEE SHI-IANPublished: 11 June 2014
Juruterbang TUDM, Mejar Zaidi Ahmad tersenyum kepada media di luar Mahkamah Tentera di Sungai Besi, Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 11 Jun, 2014. 


Saksi pertama dalam mahkamah tentera membabitkan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad hari ini, memberi keterangan beliau diarahkan memadam rakam video di telefon bimbitnya yang menunjukkan sidang akhbar Zaidi mengenai isu dakwat kekal.
Sarjan Mohd Khairul Nizam Ishak, yang bertugas di pangkalan Butterworth TUDM, memberitahu mahkamah tentera di pangkalan TUDM Sungai Besi, beliau memadam rakaman itu selepas diarahkan berbuat demikian oleh Pengarah Jabatan Marsyal Provos TUDM, Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob.
Rakaman video itu diambil ketika Zaidi memberi kenyataan pada sidang media berhubung isu dakwa kekal pada 1 Mei tahun lalu berhampiran balai polis Kepala Batas.
Ketika disoal balas oleh peguam bela Zaidi, Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Khairul bersetuju tindakan membuang bukti itu adalah kesalahan.
Bagaimanapun, saksi tidak bersetuju beliau melakukan kesalahan dengan memadam rakaman video itu daripada telefon bimbitnya kerana beliau hanya mematuhi arahan.
Khairul memberitahu mahkamah beliau dan seorang laskar udara kanan, Mohd Zuradi Muchtar diarahkan oleh Sarjan Kamarul Asmawi Riguan untuk menjalankan pemantauan terhadap Zaidi pada 1 Mei tahun lalu.
Kamarul mengetuai unit keselamatan fizikal dan pencegahan jenayah di pangkalan itu.
Khairul berkata, beliau menghadiri sidang akhbar Zaidi di luar balai polis Kepala Batas pada 1 Mei berhubung dakwat kekal dan hakikatnya ialah ia boleh dibasuh.
Zaidi sebelum itu membuat laporan polis mengenai dakwat kekal itu.
Khairul berkata, beliau dan Zuraidy merakamkan sidang akhbar itu sebelum kembali ke pangkalan TUDM Butterworth.
“Saya pergi bertemu komander pangkalan, Briged Jeneral Datuk Mohd Shabre Hussein bersama Kamarul, Zuraidy dan Mejar Mohd Shahrul Naim Salleh.
“Shabre diberi taklimat ringkas mengenai kejadian hari itu termasuk sidang akhbar Zaidi. Kami juga memberinya salinan rakaman video itu.
“Shabre mengarahkan kami supaya tidak menyebarkan video itu kepada pihak tidak berkuasa,” katanya.
Kedua-duanya Khairul dan Zuraidy kemudian bertemu Mohammad Rosli dan diberitahu untuk memindahkan rakaman video itu ke komputer riba. Mereka kemudian diarahkan memadam video itu.
Ketika disoal balas, Khairul mengaku isu dakwat kekal tidak berada dalam bidang kuasa pasukan tentera atau mana-mana agensinya.
Beliau juga bersetuju dengan Mohamed Hanipa tugasan yang diberikan kepadanya pada 1 Mei untuk memerhati Zaidi bukan tugasan rasmi.
khairul bersetuju laporan polis dan sidang akhbar yang dibuat oleh Zaidi dan isu dakwat kekal tidak berkait dengan tugas serta tanggungjawab tertuduh di TUDM.
Panel lima hakim diketuai Kolonel Saadon Ahmad mendengar keterangan Khairul dan Zuraidy sebelum menangguhkan perbicaraan itu.
Mahkamah akan bersambung semula esok.
Pada 7 Februari, Zaidi menghadapi tujuh pertuduhan melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis pada 1 Mei 2013 mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal dalam pengundian awal semasa PRU-13.
Tiga daripada tujuh pertuduhan yang dikenakan adalah kerana beliau membuat kenyataan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera dan menghantar dua SMS lanjutan berbau politik.
Zaidi kini didakwa mengikut Seksyen 502(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur.
Jika didapati bersalah, bapa kepada empat anak itu yang berkhidmat selama 25 tahun akan menghadapi hukuman penjara dan hilang pencen.
Dakwat kekal diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum 2013 sebagai memenuhi satu daripada lapan tuntutan pemantau pilihan raya Bersih untuk pilihan raya yang bebas dan adil.
Bertujuan untuk mengurangkan  masalah mengundi berulang kali, ia dilaporkan mudah dibersihkan menjadikan ia simbol ironi bagi penipuan pilihan raya yang menjadi aduan terbesar dalam proses membuang undi dalam negara. – 11 Jun, 2014.

1 comment:

  1. Semoga Allah mengekalkan ketabahan dan menyemarakkan lagi semangat juang saudaraku, Mejar Zaidi Ahmad menentang penipuan dan kebathilan puak pemerintah (UMnO)

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa