Hishamuddin Rais
Pasak, kepung dan kawal
Pada bulan April 1511, Alfonso de Albuquerque sampai ke Melaka dengan 18 buah kapal perang dan 1,500 orang soldadu. Tujuan kedatangan Benggali Puteh ini ialah untuk mengepung dan menawan kota Melaka.
Apabila kota Melaka ditawan, segala perniagaan rempah rampai di Eropah jatuh ke tangan Portugal.
Ini berlaku 500 tahun dahulu ketika Portugal angkuh sebagai kuasa imperialis. Ini sebelum kemuculan kuasa imperial Belanda dan Inggeris. Ini zaman ‘mencantile capitalism’ di era permulaan perkembangan sistem ekonomi kapitalis.
Sistem ekonomi kapitalis berubah dan berkembang. Kuasa imperial lama – Portugal dan Belanda dikalahkan oleh kuasa imperial baru – kuasa British. Kuasa kolonial British berjaya menawan tiga perempat daripada wilayah dunia.
Britain menjadi Great Britain yang kaya raya dengan harta kekayaaan yang dipunggah dari seluruh pelosok bumi.
Sejarah kapitalisme berubah. Kuasa kolonial British digantikan pula dengan kuasa kolonial Amerika. Ini kuasa imperial baru yang lahir sesudah Perang Dunia Kedua. Semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua hingga ke hari ini, majoriti rakyat dunia di bawah takluk empayar Amerika.
Dari permulaan sejarah manusia, perang bertujuan untuk menawan wilayah, merampas harta kekayaan, mencari pasaran dan buruh. Melaka ditawan Portugis kerana kota ini tempat jual beli rempah rampai tersohor dalam dunia ketika itu.
Perang membuktikan kekuatan dan kuasa. Dalam sistem ekonomi kapitalis, perebutan ekonomi ini akan berterusan. Justeru selagi sistem kapitalis ini wujud, perang akan terus berlaku. Perang bertujuan untuk membuktikan siapa yang lebih berkuasa.
Dalam sistem ekonomi kapitalis bala tentera siapa yang gagah akan berkuasa. Dengan kuasa boleh memiliki kekayaan. Kuasa ialah memaksa orang lain untuk menerima atau memakai atau membuat sesuatu yang mereka tidak ada hak memilih atau menolak.
Pada ketika ini Tanah Melayu sedang dipaksa oleh Amerika Syarikat untuk menerima perjanjian TPPA. Pemaksaan berjaya dilakukan apabila parti ketuanan Melayu yang bernama United Malays National Organisation telah bersekongkol dan bersubahat dengan kuasa imperial Amerika Syarikat.
Hal ini sama seperti sejarah Melaka 500 tahun dahulu ketika diserang oleh Portugis. Serangan pertama Portugis gagal. Melaka hanya berjaya dikalahkan dengan serangan kedua apabila ada pembelotan.
Pada ketika ini sekali lagi pembelotan berlaku di Tanah Melayu. Bani Melayu yang menjadi penduduk asal Tanah Melayu sengaja tidak disedarkan tentang apa butiran perjanjian TPPA.
Bani Melayu tidak sedar bahawa Tanah Melayu termasuk Bani Melayu sendiri sedang diikat dan dibungkus untuk dijual secara borong kepada syarikat korporat antarabangsa.
Sebelas buah negara – Australia, Brunei, Kanada, Chile , Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam – sedang diancam dan dipaksa oleh Amerika untuk bersetuju menandatangani perjanjian TPPA.
Seperti yang telah saya katakan, perjanjian ini adalah satu perjanjian rahsia di mana warga negara di sebelas negara ini tidak mengetahui secara terperinci isi kandungan perjanjian ini.
Sebelas negara ini amat penting untuk kaum kapitalis antarabangsa. Mereka menghasilkan 40 peratus pengeluaran GDP ekonomi dunia, 30 peratus eksport global dan 25 peratus import global.
Dalam dua tulisan saya yang lalu telah diterangkan latar belakang kemunculan TPPA ini. Kali ini saya ingin memberi pencerahan kepada Bani Melayu apa sebenarnya tujuan Amerika memaksa 11 buah negara menandatangani perjanjian rahsia ini.
TPPA ini wajib difahami bersama dengan strategi Pasak Asia/Pivot Asia. Dua perkara ini ikat berikat – macam isi dengan kuku.
Pada tahun 2009, Bill Clinton telah memperkukuhkan pengkalan tentera udara dan laut Amerika di Guam, Filipina dan di Jepun. Clinton juga telah bersekongkol dengan Singapura untuk mendirikan pelabuhan yang membolehkan kapal perang Amerika berlabuh di Changi Singapura.
Apabila Obama masuk ke Rumah Putih untuk kali kedua pada tahun 2012, Obama telah mengeluarkan strategi yang dipanggil Pivot Asia atau Pasak Asia.
Presiden Obama telah menerangkan dasar Pasak Asia adalah dasar pertahanan Amerika yang baru. Pasak Asia akan memusatkan tiga perempat bala tentera Amerika ke Asia dan Asia Timur.
Ini bermakna Amerika akan mengurangkan dan memindahkan bala tenteranya dari Timur Tengah dan Eropah. Pasak Asia akan membawa bala tentera laut, darat dan udara Amerika ke Asia dan ke Asia Tenggara.
Pada ketika ini Amerika mula melihat dan mengintai kembali pengkalan udara dan laut di Asia Tenggra. Ketika Perang Vietnam berjalan (1961-1975), Siam dan Filipina, dua negara Asean telah menjadi wilayah loncatan Amerika untuk menyerang Vietnam.
Di Siam, Amerika menggunakan lapangan terbang Udon dan Korat. Di Filipina pula Amerika menggunakan lapangan terbang Clark dan pelabuhan tentera di Subic Bay untuk menyerang Vietnam.
Amerika juga mahu menggunakan kembali pelabuhan tentera laut Cam Ranh di Vietnam. Amerika dan Vietnam yang berperang satu ketika dahulu kini telah mula berbaik-baik. Semua ini adalah Pasak Asia.
Tujuan Utama Pasak Asia ini ialah mengepung Tanah Besar China. Amerika menggunakan dua bentuk strategi untuk meminggir dan mengepung China – ekonomi dan tentera. Pertama, dengan kaedah ekonomi melalui perjanjian TPPA. Kedua, melalui kekuatan tentera melalui Pasak Asia.
China pada ketika ini dilihat oleh Amerika dalam dua kaca mata. Dari satu segi sebagai rakan niaga yang berpotensi membawa bahaya. Kedua, China akan menjadi pesaing dari segi ekonomi dan ketenteraan bukan sahaja di Asia tapi secara global.
Hakikatnya hari ini China telah menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar sesudah Amerika. Ekonomi Jepun telah jatuh ke nombor tiga. China berpotensi untuk menjadi kuasa hegemoni yang akan menjadi kuasa imperial menggantikan Amerika.
Dengan pertumbuhan ekonomi dan pasaran yang kuat dan besar China telah mula memperlihatkan keberanian. China sedang memperluaskan pengaruh di Asia, Afrika dan Amerika Latin.
Amerika melihat China sedang mengembangkan layar mencari tanah jajahan melalui ekonomi yang kuat.
Wilayah pertama yang sedang menjadi medan perebutan ialah di Laut China Selatan. Mengikut risikan satelit Amerika, China sedang mendirikan pelabuhan tentera laut yang besar di Pulau Spratly. Wilayah kepulauan ini juga dituntut oleh Vietnam, Filipina dan Malaysia. Justeru, tiga negara ini menjadi penting dalam Pasak Asia dan TPPA.
Dalam persaingan ekonomi antara China dan Amerika, dunia sedang melihat kemunculan negara BRIC - Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Kumpulan negara ini berani bangun untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika.
Negara-negara BRIC ini menjadi satu kelompok ekonomi yang mendapat sokongan dari China yang kaya dengan simpanan dolar.
China juga telah menubuhkan AIIB - Asian Infrastruture Investment Bank dengan pelaburan sebanyak 1 trilion Yuan. Bank ini berpotensi untuk menandingi Asian Development Bank – milik Bank Dunia. AIIB ini akan menjadi alternatif kepada International Monetary Fund.
China juga sedar bahawa Amerika sedang mengepung melalui TPPA. Justeru untuk memecahkan kepungan itu, China mewujudkan RCEP – Regional Comprehensive Economic Partnership.
Sepuluh negara Asean menjadi ahli bersama India, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand. Amerika Syarikat tidak dijemput, sama saperti Amerika tidak menjemput China dalam TPPA.
Jelas, semua ini adalah persaingan yang amat sengit. Grand Finale persaingan ini pastilah perang. Dan Laut China Selatan akan menjadi medan utama.
China, Amerika, Malaysia, Filipina dan Vietnam bukan berebut mencari kerang atau hak memasang lukah. Apa yang direbut di Laut China Selatan bukan ikan pari atau tenggiri tetapi minyak mentah dan gas yang masih tersimpan dalam perut bumi.
TPPA dan Pasak Asia ini adalah strategi berjangka panjang Amerika. Empayar Amerika sedang membuat persediaan. Amerika sedar akan potensi BRIC. Amerika juga sedar tentang kerjasama antara Rusia dan China.
Pada satu ketika dahulu – ketika Perang Dingin – China dan USSR dari blok Sosialis bertelagah tentang ideologi. Mereka bermusuhan dari segi membaca Marx dan Lenin.
Sesudah runtuhnya USSR, China dan Rusia kelihatan semakin intim. Dua negara ini membuat perjanjian perniagaan yang maha besar termasuk perjanjian pertahanan.
PLA - People Liberation Army China memberi kawad hormat di Victory Parade di Red Square Moscow pada Mei tahun ini. Dalam bulan September tahun ini Tentera Merah Rusia juga berkawad di Bejing untuk menyambut ulang tahun ke-70 kemenangan China mengalahkan Jepun.
Di podium, Vladimir Putin diiringi oleh Presiden China Xi Jinping. Semiotiknya cukup jelas bahawa Rusia dan China kini telah menjadi negara ‘abang adik’. Semiotik ini jelas ditujukan kepada Obama dan kuasa imperial Amerika.
Bila Grand Finale ini akan sampai? Mengikut hukum sosial, ianya pasti akan sampai. Tanda-tanda semakin jelas. Saddam Hussein dibunuh kerana dia meninggalkan dollar. Gadaffi dibunuh kerana dia berniat ingin menggantikan dolar dengan dinar emas.
Pada hari ini China, Rusia dan negara BRIC telah mula meninggal dolar dalam urus beli perniagaan. Tetapi dolar masih diguna pakai lagi. Akan tiba masa apabila Yuan dan Ruble menjadi ganti dolar maka ketika itu semua akan meledak.
Sayang sekali Bani Melayu tidak memiliki kesedaran tentang pekara ini. Sayang sekali Tanah Melayu akan dijual kepada korporat Amerika.
Sekali lagi Tanah Melayu akan dijajah saperti Portugis datang ke Melaka 500 tahun dahulu. Cuma kali ini penjajah bukan datang dengan kapal perang dan soldadu tapi dengan kertas perjanjian TPPA.
LIHATLAH BETAPA BODOHNYA PEMIMPIN KITA NAJIB..SEDIA MENJUAL NEGARA PADA YAHUDI DAN NASRANI..SESUNGGUHNYA NAJIB MEMANG TIDAK PERNAH MENGKAJI AL-QURAN DAN HADIS2..INILAH CONTOH PEMIMPIN AHLI NERAKA..NA'UZUBILLAH..
ReplyDelete