Oleh A Kadir Jasin
SAYA telah bercerita mengenai anjing dalam kaitan dengan penyakit anjing gila (rabies) dan kesetiaan anjing kepada tuannya.Alhamdulillah, nampaknya penyakit anjing gila yang melanda negeri-negeri barat laut Semenanjung sudah dapat dikawal. Sebenarnya kita ada kepakaran cuma ramai yang diberi amanah malas, alpa, cuai, seleweng dan rasuah.
Kemudian sekarang berlaku pula wabak kepialu (typhoid). Adoi, bala demi bala melanda negara kita di bawah pemerintahan Perdana MenteriMappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone. Silap-silap ebola pun dibawa masuk juga.
Kali ini saya akan bercerita mengenai kerbau pula. Dalam banyak budaya, kerbau sering digambarkan sebagai haiwan bodoh, bengis dan bertindak membabi buta. Babi buta sondoi (rempuh) sana sondoi sini.
Dalam bahasa Melayu, ada kiasan berbunyi “seekor kerbau bawa lumpur habis semua terpalit” yang merujuk kepada seorang anggota masyarakat yang membuat jahat menyebabkan nama semua anggota masyarakat tercemar.
|
Kerbau berkubang untuk kesihatan
Dalam bahasa Inggeris pula ada ungkapan “bull (kerbau atau lembu jantan) in a china shop” yang menyamakan seorang yang berang dan bertindak liar dengan seekor kerbau atau lembu jantan dalam kedai menjual barang-barang porselin.
Perangai dan amalan manusia dan kerbau sepatutnya berbeza. Kerbau berlumpur perkara biasa tetapi manusia yang tercemar namanya patut dijauhi.
Kerbau berkubang dan membalut badannya dengan lumpur untuk beberapa tujuan. Pertama menyejukkan badan. Kedua menyekat gigitan lalat. Ketiga melemaskan kutu dan keempat mematikan berengga (maggots).
Jadi kerbau membawa lumpur bukanlah perbuatan kotor. Itu tabiat semula jadi kerbau. Tapi manusia membuat kejahatan itu tidak baik. Lagi-lagilah apabila kemungkarannya itu membusukkan nama ibu bapa, keturunan, masyarakat, bangsa dan agamanya.
Saya boleh bercakap dengan yakin mengenai kerbau kerana sebagai anak pesawah, saya menolong nenek dan ayah saya memelihara kerbau.
Ada waktunya, pada tahun 1950-an dan 60-an, keluarga saya memelihara hingga 30 ekor kerbau dan lembu. Bila diserang wabak penyakit kuku dan mulut, habis mati.
Kerbau Haiwan Kuasa Ibu
Kalau kita baca jurnal saintifik atau menonton saluran pendidikan di TV, kita akan tahu bahawa kerbau adalah haiwan “matriarchal” iaitu haiwan yang dipimpin oleh haiwan betina – selalunya ibu paling kanan dalam satu-satu kumpulan.
Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP menterjemahkan “matriarchal/matriarchy) sebagai kuasa ibu.
Ibu kerbau inilah yang memandu kumpulannya mencari rumput, tempat minum dan mandi serta tempat beristirahat.
Dalam masyarakat manusia pun ada masyarakat kuasa ibu di mana wanita memimpin. Antaranya adalah Minangkabau (Sumatra), Mosui (Tibet), Akan (Ghana), Bribri (Costa Rica), Garo (India) dan Nagovisi (Bougainville).
Wanita Minangkabau berkuasa ke atas masyarakatnya
Tapi ada perbezaan antara tunduk kepada sistem kuasa ibu dengan takut kepada wanita atau lebih tepat, takut kepada bini. Dalam kumpulan kerbau, kerbau jantan tidak takut kepada kerbau betina, hatta kerbau betina yang jadi matriarch.
Tabiat kerbau jantan menyendiri. Ia masuk kumpulan hanya ketika mengawan. Habis mengawan ia pun keluar kumpulan. Tapi ia akan berlaga dengan kerbau jantan lain, kadang kala sampai mati, untuk mempertahankan haknya mengawan dengan kerbau-kerbau betina dalam kumpulannya.
Memang betul kerbau boleh dijinakkan dan diperhamba. Caranya adalah dengan mengurungnya di dalam kandang dan memberinya makan rumput atau jerami untuk beberapa hari. Apabila ia cukup jinak, cucuk hidungnya dan ikat dengan tali.
Manusia jenis itu diibaratkan seperti kerbau dicucuk hidung. Mereka akan turut perintah dan buat apa saja yang diperintahkan oleh orang memberi mereka makan.
Wanita menarik kerbau yang dicucuk hidung
Manakala yang “macho” atau berlagak jantan jadilah mereka macam “bull in the china shop” yang akan menyondol apa saja tanpa mempedulikan buruk baiknya.
Kerbau yang dicucuk hidung ini kalau tidak ditambat pun ia tidak akan merayau jauh. Bila petang baliklah ia ke kandang. Lagi mudah ia balik dan masuk kandang kalau disediakan rumput atau jerami.
Selain membajak sawah ia boleh diajar menarik kereta atau anor (sledge). Kalau mahu dan berani, kita boleh menunggangnya. Jadilah ia kerbau tunggangan.
Jika dalam habitat kerbau memang suka berendam dalam lumpur, apa kurangnya badak? Kerbau masih tergolong boleh memberi manfaat kepada kehidupan manusia dari segi tenaganya dan dagingnya. Tetapi badak, hanya sumbunya sahaja yang dikatakan berguna, itu pun entah betul entahkan tidak. Pada akulah, badak langsung tiada gunanya.
ReplyDelete