mk -
Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menyatakan betapa beliau merindui mendiang ayahnya, Jose Dinis Aveiro dan mengenang jasa bekas pengurus Manchester United (Man United), Alex Ferguson.
Dalam satu wawancara dengan The Times, Ronaldo berkata, ayahnya meninggal dunia pada September 2005 akibat penyakit hati dan ketika itu dia baru dua tahun menyertai Man United.
Sebelum meninggal dunia Aveiro dirawat di sebuah hospital di London, United Kingdom, manakala Ronaldo tinggal di Manchester.
Keadaan itu memberi kesukaran untuk Ronaldo untuk menjenguk ayahnya, tetapi dia tetap berusaha untuk dapat melihat keadaan orang tuanya di hospital.
Menceritakan situasi dialami ketika itu, pada suatu hari katanya, dia meminta izin kepada Ferguson untuk menziarahi ayahnya.
"Ketika di hospital, keadaan ayah saya agak tenat.
"Saya minta kepada pengurus untuk menziarahi ayah dan saat itu kami (Man United) melalui situasi kritikal pada musim tersebut," kata pemain dari Portugal itu.
"Ferguson berkata, 'bola sepak tiada apa-apa berbanding ayahmu. Pergilah jika kamu mahu'.
"Saya akan sentiasa menghargai keprihatinan beliau," kata Ronaldo mengenangkan bekas jurulatihnya itu.
Ronaldo disifatkan mempunyai hubungan rapat dengan Ferguson, malah pengurus itu diibaratkan sebagai bapa dalam bola sepak.
"Beliau menjemput saya makan tengah hari bersama dan minum teh. Bersama rasa seperti berkeluarga. Dia bapa dalam bola sepak," tambahnya.
Hubungan profesional Ronaldo dan Ferguson berakhir pada tahun 2009.
Selepas gagal mempertahankan trofi Liga Juara-juara buat Man United, Ronaldo mengambil langkah meneruskan kerjaya bersama Real Madrid dengan status pemain termahal di dunia ketika itu.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa