WARTAWAN SINAR HARIAN
9 NOVEMBER 2015
[KEMASKINI] CEK Mek Molek. Itu frasa masyhur menggambarkan betapa cantiknya wanita Kelantan. Dan di Kelantan, yang paling cantik daripada sekalian yang cantik itu adalah wanita Pasir Mas.
Jangan terus bertanya benar atau tidak gambaran yang diberi tetapi bacalah dahulu ...
Di Pasir Mas, antara kawasan yang terkenal dengan kecantikan wanitanya ialah Kampung Seberang Pasir Mas, Lemal, Tok Uban, Pengkalan Batu, Bunut Susu, Slow Machang dan Kubang Bemban.
Jangan salah faham!
Janganlah dikatakan rencana ini menafikan kecantikan wanita dari kawasan lain, jajahan lain ataupun negeri lain. Namun oleh sebab mahsyurnya Kelantan, juga jajahan Pasir Mas dengan kecantikan wanitanya, dirasakan ada sesuatu yang perlu dihuraikan di sebalik tanggapan itu.
Tokoh budayawan yang juga ahli akademik asal Kelantan, Dr Lim Swee Tin berkata, apa yang diperkatakan mengenai kecantikan wanita Pasir Mas memang ada asasnya.
“Pasir Mas pada zaman silam adalah pusat ekonomi terkemuka. Banyak pedagang dari Pakistan, India, Tanah Arab, China dan Thailand berhijrah ke sini.
“Justeru banyak berlaku perkahwinan campur yang melahirkan keturunan berdarah kacukan yang mempunyai rupa paras bukan sahaja cantik, malahan juga unik untuk terus berkembang biak di sini,” katanya.
Kenyataan itu diperakui oleh bekas Adun Lemal, Noor Mohamed Din, 75, yang anggota keluarganya dikenali memiliki wajah dan rupa paras yang menarik dalam kalangan penduduk Pasir Mas.
Menurut Noor, beliau sendiri generasi ketiga pedagang Arab, Syed Mahmood yang berhijrah ke Pasir Mas pada 1917.
“Moyang saya (Syed Mahmood) dua kali berkahwin di sini. Kali pertama dengan wanita tempatan dan kedua dengan anak pedagang Pakistan yang bernama Haji Murab. Kedua-dua perkahwinan ini melahirkan keturunan berdarah kacukan. Saya sendiri berdarah Arab, Melayu dan Pakistan,” katanya.
Di Kelantan, mereka yang memiliki darah campur seperti ini dikenali sebagai keturunan Tok Syeikh.
Ketika itu, kata Noor, golongan Tok Syeikh atau pedagang dari luar ini banyak berkahwin dengan wanita dari kawasan Seberang Salor yang sebahagian daripada Pasir Mas.
Selain itu, rupa paras mereka juga dikatakan turut dipengaruhi cara pemakanan.
Budu
Dalam keluarga Noor sendiri, budu dan belacan yang sinonim dengan rakyat Kelantan dilarang keras.
“Moyang saya tak benarkan budu atau belacan dibawa balik. Kalau ada yang ingkar, dia suruh bawa keluar masa itu juga. Sebabnya, makanan yang diperam seperti itu katanya tidak baik untuk kesihatan dan tidak digalakkan dalam agama.
“Moyang saya memberi penekanan terhadap soal kesihatan dan juga sahsiah peribadi menerusi pemakanan,” katanya.
Inilah juga mungkin antara faktor yang mempengaruhi kecantikan rupa paras keturunan mereka.
Salah seorang anak Noor, Noor Suriyati pernah memenangi anugerah Dewi Remaja manakala cucunya, Neelofa kini artis yang cukup terkenal dengan kecantikan rupa parasnya.
Puteri Saadong
Selain faktor-faktor yang disebutkan, ada juga yang mengaitkan cantiknya wanita Pasir Mas konon kerana mereka daripada keturunan Puteri Saadong, pemerintah wanita Kelantan yang kedua (selepas Cik Siti Wan Kembang) yang memerintah pada 1667-1671).
Kecantikan Puteri Saadong memang menjadi cerita legenda kerana rupa parasnya, baginda pernah ditangkap dan dilarikan ke Siam untuk dipaksa berkahwin dengan raja negara Gajah Putih itu.
Raja Balqis Raja Mukhtar, 30, seorang waris keturunan Raja Jembal yang ada hubung kait dengan Puteri Saadong berkata, datuknya ada memberitahu bahawa wanita dalam keluarga mereka sesetengahnya mewarisi rupa paras legenda itu.
Beberapa dekad lalu, sering berlaku pergaduhan membabitkan lelaki tempatan dengan orang luar, juga sesama warga Pasir Mas yang berpunca kerana berebut wanita.
SKMK
Bagi orang luar pula, apabila seseorang lelaki termasuk yang sudah berkahwin datang ke Kelantan, terutama Pasir Mas, ada satu frasa masyhur yang selalu dikaitkan dengan mereka iaitu SKMK – Sampai Kelantan Mesti Kahwin – yang diubah daripada akronim nama Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan.
Ini sebagai gambaran betapa cantiknya wanita Kelantan terutama di Pasir Mas hingga sering mempesonakan lelaki luar untuk mengahwini mereka.
Tidak cukup dengan itu, ada juga cerita kononnya seorang lelaki yang pernah patah hati kerana cintanya ditolak gadis idaman pernah menyumpah wanita dari Kampung Pengkalan Batu, Pasir Mas tidak akan bertemu jodoh sepanjang hayat mereka.
Wallahua’lam. Tidak dapat dipastikan sama sumpahan itu menjadi ataupun tidak! Apa pun, ini tetap jadi gambaran betapa tingginya saham wanita Pasir Mas.
Ilmu hitam
Kerana rupa, ada yang hidup teraniaya. Ini berlaku pada sesetengah wanita yang jadi mangsa ilmu hitam kerana menolak lelaki yang terlalu menggilai mereka hingga terlupa hukum hakam dan takdir dirinya.
Bagi Wan Noor Solehah Wan Kamal Ruzaman, 28, itu rencah kehidupan yang terpaksa dihadapi oleh wanita setiap kali melangkah keluar dari rumah.
Wan Noor sendiri sudah punya dua anak namun ada anak muda yang lebih muda masih berani bermain kenyit-kenyit mata terhadapnya.
“Saya anggap mereka bergurau saja. Ini bukan soal bangga diri tetapi kita wanita, tanggung jawab untuk jaga maruah diri, maruah suami perlu sentiasa diingat,” katanya.
Orang tidak tahu, julukan cantik yang diberi kepada wanita Pasir Mas ada kalanya jadi beban dan mengganggu mereka sendiri.
Antaranya, Nursyahida Alam, 29. Kata Syahida, dia kadang kala segan hendak mengaku berasal dari Pasir Mas dan respons yang paling tidak diingininya ialah “patutlah cantik”.
“Bagi saya cantik itu subjektif dan ia bergantung kepada orang yang mentafsirkannya,” katanya.
Berkahwin dalam usia yang muda, seawal 18,19 atau 20 tahun tidak asing bagi wanita Pasir Mas. Ini juga ada hubung kait dengan rupa paras mereka yang lawa.
Bagi mengelak timbul masalah, jadi rebutan hingga mungkin menyebabkan konflik, sesetengah ibu bapa membuat keputusan untuk mengahwinkan anak-anak gadis mereka dalam usia yang muda.
Perkahwinan juga adalah ruang buat pasangan itu membuka lembaran baharu dalam kehidupan mereka secara berdikari dan lebih bertanggungjawab.
Apabila usia anak-anak meningkat remaja, rupa paras ibu yang masih bertahan menyebabkan mereka kelihatan sebaya.
Apa pun, soal kecantikan bagi kebanyakan orang bukan pada rupa paras semata-mata. Kecantikan dalaman lebih penting!
Komen lelaki luar
"Sejak menuntut di UiTM saya sudah dengar cerita kecantikan wanita Pasir Mas. Ayah saya sendiri yang asal dari Tok Uban pun ada cakap perkara sama. Sekarang saya dapati apa yang dikatakan itu memang benar." - Firdaus Hassan, 29, Pahang
"Bukan saja rupa, intonasi suara mereka juga seakan sama." - Wahidin Salim, 31, Negeri Sembilan
Perkara itu diakui sendiri oleh salah seorang anak rantau dari Pahang, Firdaus Hassan,29, yang mulai bertugas di negeri Che Siti Wan Kembang sejak April lalu.
Firdaus berkata, sebelum merantau ke negeri ini rakan-rakannya sempat berpesan supaya singgah ke Pasir Mas kerana wanita di situ lawa-lawa kata mereka.
“Jika kamu ke Kelantan, tempat pertama kena singgah ialah Pasir Mas kerana orang perempuannya lawa-lawa,” katanya.
Menurutnya, bagi melihat dakwaan itu dia meluangkan masa ke jajahan tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung perkara berkenaan.
Dakwaan itu benar
Firdaus berkata, cerita yang di dengarinya berhubung kecantikan wanita Pasir Mas itu memang betul dan berasas sama sekali selepas beberapa kali berkunjung ke jajahan itu.
Katanya, kebanyakkan mereka mempunyai hubungan keluarga dengan masyarakat Melayu di Selatan Thailand yang turut terkenal memiliki rupa paras yang cantik.
“Maka tidak hairanlah jika tempias itu turut kena kepada wanita di Pasir Mas kerana ia bersempadan dengan Selatan Thailand malah menjadi pintu masuk utama untuk ke negara ini melalui Rantau Panjang,” katanya.
Cerita sejak zaman universiti
Anak kelahiran Jerantut Pahang itu berkata, perihal kecantikan itu diketahuinya sejak mula-mula melangkah masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Katanya, kebanyakkan rakan-rakan yang berasal dari Kelantan akan bercerita tentang kecantikan paras rupa wanita Pasir Mas.
“Bukan itu sahaja, ayah saya yang berasal dari Tok Uban, di sini turut bercerita perihal yang sama. Hujah itu semakin kuat, ketika zaman belajar itu saya lihat memang betul pelajar wanita dari Pasir Mas memiliki raut wajah yang cantik.
“Bukan itu sahaja, kebanyakkan mereka berkulit putih dan cerah, bahkan mereka lebih lawa berbanding dengan wanita-wanita yang tinggal di jajahan-jajahan lain.
“Bagaimanapun itu hanyalah pandangan saya berdasarkan kepada pemerhatian yang dibuat,” katanya.
Bukan sahaja lawa, tapi lemah lembut
Seorang lagi anak perantau Wahidin Salim, 31, berasal dari Negeri Sembilan turut setuju dengan dakwaan mengatakan wanita di sini lawa dan berpewatakan menarik.
Katanya, bukan itu sahaja wanita Pasir Mas turut mempunyai sifat lemah lembut yang dikatakan cukup sinonim dengan masyarakat Kelantan.
“Sifat itu boleh dilihat setiap kali mereka bertutur dengan susunan ayat serta intonasi suara yang hampir sama,” katanya.
Naiklah saham anak dara Pasir Mas macam ni:)
ReplyDeleteMmg anak dara pasir mas comey lote..
ReplyDeleteTp pompuan melayu terakhir jatuh kpd kak mah kaki joli..
Kah kah kah
Wakaf Mek Zainab kat Pasir Mas juga ke? Harap2 tak lah sebab betina2 kat situ nampak brutal.
ReplyDeleteHuh nasib baik ibrahim Ali x termasuk dalam kategori cantik..blueekkk
ReplyDeleteAnon 5:32 PM
ReplyDeleteWakaf Mek zainab di bandar Kota Bharu