WARTAWAN SINAR HARIAN
18 NOVEMBER 2015
Rokiah menunjukkan gambar Nur Zalila yang hilang dua tahun lalu dan menyifatkan terlalu awal untuk kaitkan penemuan serpihan tulang di kampung Pak Keral dengan anaknya.
TUMPAT - "Kami tunggu keputusan ujian DNA dulu... terlalu awal nak kaitkan serpihan tulang dipercayai rangka manusia yang ditemui di Kampung Pak Keral itu sebagai adik saya," kata Nurul Huda Ibarhim, 20.
Nurul Huda merupakan kakak kepada Nur Zalila Ibrahim, 12, yang dilaporkan hilang pada Jun 2013 dan dipercayai dilarikan oleh seorang 'tomboy' dikenali dengan nama Along.
Mangsa dikatakan dilarikan oleh 'tomboy' berkenaan selepas suspek menumpang tinggal selama beberapa hari di rumah mangsa di Kampung Jejulok, Pengkalan Kubor, dekat sini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Gempar jumpa serpihan tulang, korset tepi tali air]
Turut lesap pada masa kejadian adalah motosikal jenis Honda EX-5 berwarna merah dengan nombor pendaftaran DBV 5347 yang dipercayai dinaiki suspek pada malam kehilangan Nur Zalila.
Menurut Nurul Huda, orang ramai mengaitkan penemuan serpihan tulang di Kampung Pak Keral dengan adiknya kerana sebelum ini, motosikal dilarikan suspek ditemui di dasar tali air berkenaan selepas tersangkut pada jala direntangkan penduduk.
"Polis ada panggil saya untuk buat pengecaman berhubung penemuan motosikal itu pada Ogos lalu di Balai Polis Pengkalan Kubor. Memang benar itu motosikal milik keluarga saya yang dilarikan oleh tomboy berkenaan.
"Sekarang ini bermacam-macam cerita tersebar mengenai penemuan serpihan tulang itu dan ada yang mengatakan ia adalah rangka 'tomboy' berkenaan, malah ada juga mengaitkan serpihan tulang itu dengan adik saya," katanya.
Tambahnya, mungkin lokasi serpihan tulang dan motosikal terbabit ditemui berdekatan dan hanya dipisahkan oleh pintu air menyebabkan bermacam cerita sebegitu tersebar.
Bagi mengesahkan identiti rangka itu, Nurul Huda memberitahu, darah ibunya, Rokiah Awang, 46, telah diambil untuk dilakukan ujian DNA di Hospital Raja Peprempuan Zainab II (HRPZ II).
“Kami juga berdebar menunggu keputusan ujian DNA itu kerana bertahun kami tunggu kepulangan Nur Zalila. Jika benar itu rangka adik saya, kami sekeluarga reda,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa