| ARIF ATAN
Walaupun nyawa menjadi taruhan, Datuk Husam Musa berikrar tidak akan berganjak untuk membuat teguran yang benar mengikut hemat dan prinsip perjuangan sambil mengakui menerima ugutan.
Ini ekoran ugutan daripada seorang lelaki tidak dikenali melalui panggilan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS) pada petang 9 November lalu yang dilihat mempunyai kaitan dengan enam teguran utama beliau sebelum ini.
“Berdasarkan kandungan pesanan SMS, saya berat mengagak teguran kepada kerajaan negeri adalah punca ugutan itu diterbitkan. Tiga teguran utama adalah berkaitan pembalakan dan ladang, khususnya kelulusan hutan simpan kekal untuk tujuan perladangan,” jelasnya hari ini.
Sehubungan itu, Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor menggesa kerajaan negeri Kelantan menimbangkan teguran beliau sebelum ini secara saksama.
“Ini bagi mengelakkan pertikaian yang berlanjutan, khusus bagi kelulusan kawasan hutan simpan yang baru, sekalipun atas alasan sambungan kepada kelulusan dasar yang lama,” kata mantan Naib Presiden PAS itu.
Husam berkata, tegurannya sebelum ini telah beberapa kali dilakukan sama ada secara dalaman mahupun terbuka lantaran menyedari kesan buruk penggondolan hutan secara tidak terkawal termasuk kejadian banjir besar yang melanda Kelantan akhir tahun lalu.
Pada masa sama, beliau berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan bersungguh-sungguh demi mengelakkan provokasi dan kejadian yang lebih buruk.
“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang sedia berkongsi dan bersimpati. Allah sebaik-baik Penolong dan sebaik-baik Pelindung. Kepada Allah saya bertawakal,” ujarnya lagi.
Husam dan isterinya membuat laporan polis masing-masing di Balai Polis Jalan Tun Razak dan Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kota Bharu pada hari yang sama selepas isteri beliau menerima ugutan melalui telefon pada 9 November lalu.
Beliau pada 3 Oktober lalu mendedahkan kerajaan negeri Kelantan telah meluluskan seluas 4,500 hektar kawasan hutan kepada sebuah syarikat dengan pemiliknya telah banyak kali memperoleh kelulusan yang sama.
Menurutnya, Kelantan menjadi antara negeri terbesar di Semenanjung Malaysia yang meluluskan kawasan hutan tebang habis iaitu hutan sedia ada ditebang termasuk balak kecil sekaligus menjadi gondol sepenuhnya.
Syabas saudaraku husam..
ReplyDeletePaul Hj. Hadi stadlen, the real apco......Pasapco lekor!
ReplyDeleteKami doakan keselamatan dan kesejahteraan keluarga kamu, husam. Allahu akbar.
ReplyDeleteSemoga Allah melindungi kamu sekeluarga DHM.Teruskan perjuanganmu demi Kelateku.
ReplyDelete